Archive for July, 2008

Bagaimana Mengurus Dan Membersihkan Hati Anda?

ASSALAMUALAIKUM… Buat semua Sahabat Fitrah. Hati ibarat ketua dalam diri anda manakala anggota tubuh adalah pekerjanya. Jika kuat ketuanya, maka pekerjanya juga akan kuat. Begitu juga apabila ketuanya positif dan berwawasan maka pekerjanya juga positif dan aktif bergerak merealisasikan wawasan ketua.

Setiap manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah hati yang suci murni. Namun jika hati tidak diurus dan dijaga dengan bersungguh-sungguh, ianya secara semulajadinya amat mudah dikotori dan dicemari. Namun, bagaimanakah caranya menguruskan dan membersihkan hati? Berikut adalah cara terbaik yang dianjurkan untuk membantu kita menyucikan kembali hati yang kurang jernih.

Sebagaimana hadis Riwayat Muslim:
“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh badan kamu, tidak juga kepada rupa kamu tetapi ia melihat kepada hati dan amalan kamu”.

1. Banyak meluangkan masa untuk muhasabah diri.

Waktu terbaik untuk muhasabah diri adalah selepas selesai solat fardhu. Ambillah sedikit masa untuk duduk diam seketika selepas selesai solat dengan melihat dan merenung kembali kekurangan dan kelemahan yang wujud dalam diri. Mengingati kekurangan dan kelemahan bukanlah untuk disesali tetapi untuk diperbaiki.

Waktu yang terbaik juga untuk muhasabah diri adalah beberapa ketika sebelum terlelap pada waktu malam. Soalan yang harus ditanyakan dalam diri ialah “ Apa yang sudah saya lakukan sepanjang hari ini?”

2. Terima hakikat tiada kejayaan sebenar di dunia ini.

Terimalah hakikat bahawa kejayaan di dunia ini bukanlah ukuran kejayaan yang hakiki, sebaliknya kejayaan sebenar adalah apabila kita bertemu dengan Allah SWT, kita dikurniakan syurga. Kejayaan yang dikecapi di dunia adalah subjektif, dan ianya berbeza mengikut individu. Hati akan mudah terubat apabila kita membisikkan “ tidak ada yang sempurna di dunia ini,” apabila menemui kegagalan di dalam sesuatu usaha.

3. Berusaha mendapatkan ilmu berkaitan diri sendiri

Ramai yang tidak percaya akan kewujudan dan kepekaan pancaindera yang keenam iaitu “pandangan mata hati”. Namun begitu, ilmu berkaitan dengan diri sendiri mudah diperoleh jika kita menggunakan pancaindera ini, dan dengannya juga kita mampu melihat dan menilai segala kekuatan dan kelemahan yang ada dalam diri. Namun bagaimanapun pancaindera ini akan lebih efektif sekiranya diri kita selalu dekat dengan Allah dan patuh kepada setiap perintah-Nya.

4. Belajar daripada orang lain.

Belajar daripada orang lain adalah sebahagian daripada proses kehidupan dan perkembangan seseorang manusia. Proses pembelajaran ini akan lebih berkesan dengan melihat setiap perkara yang berlaku di sekeliling dengan kaca mata seorang pelajar dan digabungkan dengan pandangan mata hati hendak belajar. Melalui proses inilah segala yang buruk dapat dijadikan pengajaran untuk dihindari manakala perkara baik yang ditemui, tempuhilah sebagai pedoman untuk terus memperbaiki diri. Ingatlah, orang yang bijaksana menjadikan semua perkara di sekelilingnya sebagai tempat belajar dan sentiasa memperbaiki kualiti hatinya.

6 comments - What do you think?

10 Cara Memenangi Hati Ibu Mertua

Assalamualaikum. Salam Fitrah untuk semua pengujung. Hari ini saya akan kongsikan 10 tips atau petua bagaimana memenangi hati ibu mertua.

Sebaik sahaja selesai diijab kabul, secara rasmi kita menjadi miliknya.Kalau dulu hanya sebagai kekasih, tetapi kini sebagai suami/isteri yang sah. Namun kita sebenarnya bukanlah hanya berkahwin dengan dirinya, bahkan juga seluruh anggota keluarganya.

Bagi yang sudah biasa bertemu dengan mertua sebelum berkahwin, tentu tidak menjadi soal. Bagaimana bagi yang tidak pernah bertentang mata dengan keluarga mertua? Pasti diselubungi rasa bimbang, apatah lagi bila memikirkan cara untuk menyesuaikan diri dengan mertua.Bagi menangani masalah tersebut, pastikan anda menyiapkan diri dengan beberapa tips yang diberikan. Persediaan diri sebenarnya bukan hanya bermula selepas sah bergelar suami/isteri, seeloknya sedari awal pertunangan lagi. Kalau kena gaya dan caranya, tidak mustahil anda akan jadi menantu kesayangan.

1. Sebaik sahaja anda sah sebagai tunangannya, mulakan berkenal kenalan dengan keluarga mertua. Andai tinggal berjauhan, hubungilah mereka melalui telefon sekadar untuk bertanya khabar. Jika duduk berhampiran, cuba sesekali luangkan waktu berkunjung ke rumahnya.

2. Ketika berkunjung, bawalah buah tangan bersama. Sekurang-kurangnya dengan membawa kuih ataupun buah-buahan. Tetapi lebih elok jika anda membawa sesuatu yang boleh dibuat cenderahati. Misalnya dengan memberikan sepasang kain sebagai tanda kenangan.

3. Kenali sikap sebenar mertua anda. Tanya kepada pasangan anda, apa yang disukai dan dibenci oleh mertua. Jika anda tahu apa yang disukai dan dibenci, secara tidak langsung ini boleh memberikan persediaan ketika sudah menjadi ahli keluarganya kelak.

4. Setelah berkahwin, jangan sesekali anda memarahi anaknya dihadapan mereka. Keadaan ini memberikan gambaran sebenar sikap anda terhadap anak mereka. Situasi ini mungkin akan menimbulkan kebencian dihati mertua.

5. Setiap kali bertandang, cuba mengambil hatinya dengan bercerita tentang pengalaman lucu yang boleh menghiburkan hatinya. Jangan lupa bercerita dengan sepenuh perhatian agar dia tidak rasa jemu. Ingat, jangan pula anda bercerita sesuatu yang dianggap bodoh dan boleh memalukan diri sendiri.
Read more…

39 comments - What do you think?

Bagaimana Menggilap Potensi

Alhamdulillah segala puji dan puja kepada Allah SWT yang telah memberikan bakat dan potensi kepada kita sebagai insan. Terima kasih kepada Yayasan Selangor (YS) kerana telah memberi kepercayaan kepada Fitrah Power Resources (FPR) untuk mengendalikan Kursus Motivasi Potensi Diri di Hotel Seri Malaysia, Port Dickson pada 18-20 Julai 2008 sebagai satu suntikan semangat kepada para peserta untuk terus membina kejayaan dalam hidup.Penyertaan 40 orang peserta daripada Yayasan Selangor menjadi tanda positif dalam memulakan hubungan baik antara FPR dan Yayasan Selangor. Terima kasih juga buat semua peserta-pesertaKursus Motivasi Potensi Diri YS kerana komitmen yang sangat baik. Anda semua memang berpotensi!

Peserta-peserta kursus dari Yayasan Selangor

1.jpg

Be the first to comment - What do you think?

Jangan Mudah Menilai

Assalamualaikum kepada semua sahabat,

Dalam kehidupan seharian yang kita lalui, kita mudah sekali menilai orang lain, dengan sekali pertemuan kita mudah sekali melabel orang itu dan ini, sedangkan tidakkah ketika kita bertemu orang yang kita labelkan sombong itu sebenarnya tidak begitu, orang yang kita labelkan pendiam adalah sebaliknya. Kita harus memahami dengan umur yang Allah s.w.t berikan ini kita sebenarnya masih belum mengenali diri kita sendiri, justeru itu bagaimana pula dengan waktu yang singkat kita boleh menilai orang lain.

Penilaian kita terkadang hanyalah sebuah refleksi dari paradigma kita sendiri dan bukanlah satu realiti!Maka yang paling layak membuat penilaian ialah Allah s.w.t, Dia bukan sahaja mengetahui apa-apa yang dilakukan oleh manusia malah apa yang difikirkan termasuk segalanya yang ada dalam naluri manusia yang kadangkala tidak kita sedari.

Ini dapat kita fahami melalui firmanNya:
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya
dan Kami lebat dekat kepadanya daripada urat lehernya.” ( Surah Qaf : 16 )

Maka dalam ajaran Islam kita tidak dianjur untuk menilai seseorang, berprasangka dan membuat tohmahan dan sebagainya tetapi diajar kepada untuk membuat muhasabah terhadap diri sendiri supaya kita dapat mengenali sebenarnya potensi fitrah kita.

Ahmad Shukri Yusoff
www.fitrahpower.com

Be the first to comment - What do you think?