Berbuat baik kepada kedua ibubapa
Assalamualaikum W.B.T. Salam Fitrah untuk semua pengunjung laman web ini.Sedikit Tazkirah ringkas sebagai peringatan bersama.
Sejak kita dilahirkan, kita telah dijaga, dibelai, dididik dan diasuh dengan begitu perihatin oleh kedua ibu bapa kita. Sewaktu kecil, apabila kita merengek di tengah malam buta, ibu kita dengan kerelaan hatinya terpaksa bersengkang mata untuk memujuk dan memberikan susu. Manakala ayah pula sibuk berusaha memastikan kehidupan keluarganya dalam keadaan yang baik agar kita dapat hidup dengan selesa dan sempurna.
Lihatlah betapa besarnya jasa dan pengorbanan kedua ibu bapa kita. Apakah tindakan kita yang sewajarnya untuk membalas jasa mereka ini? Pernahkah selama ini kita membuatkan mereka kecil hati? Sesungguhnya ingatlah syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Derhaka kita kepada mereka bererti derhaka kita kepada Allah Taala. Taatilah mereka selagi mana tidak bercanggah dengan hukum Islam. Berusahalah membahagiakan mereka. Sentiasalah berdoa akan keselamatan dan kesejahteraan mereka di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya doa daripada anak-anak yang soleh inilah yang akan menerangi kehidupan mereka di alam barkzah nanti. Ingatlah suatu hari nanti kita juga bakal menjadi ibu dan ayah dan kita pasti akan mengharapkan agar dikurniakan anak-anak yang soleh sepertimana harapan ibu dan bapa kita juga.
Mutiara Hati: Adab berjiran
SIBUK mengejar kemewahan material membuatkan ada antara kita tidak sempat bertegur sapa dengan jiran walaupun di sebelah rumah sehingga perhubungan menjadi hambar.
Kegagalan memahami konsep kejiranan menyebabkan ber laku perselisihan faham, bertekak dan bermasam muka, malah lebih serius hingga peringkat mencederakan dan membunuh jiran.
Keadaan seperti itu pasti merosakkan perpaduan dan mem bangkitkan permusuhan di kalangan masyarakat sedangkan Islam adalah agama yang mendambakan perhubungan baik sesama manusia.
Islam amat menitikberatkan hubungan kejiranan kerana ia adalah satu daripada cara hidup yang dituntut Allah kerana amalan kejiranan yang sempurna memupuk semangat ke bersamaan, persefahaman dan keharmonian.
Kemakmuran sesebuah negara juga bergantung kepada kemantapan dan keutuhan hubungan pada setiap lapisan masyarakatnya.
Malah, ciri masyarakat berkualiti dan masyarakat contoh juga tergambar melalui persefahaman dan hubungan yang erat.
Justeru, Islam menekankan umatnya menjaga hubungan dalam kehidupan bermasyarakat dan ia tidak terbatas kepada sesama masyarakat Islam, malah melepasi batas agama, bangsa, keturunan, warna kulit dan bahasa pertuturan.
Dalam kejiranan, umat Islam wajib mengekalkan hubungan baik dan menyemai kemesraan kerana sifat sebegitu akan membentuk kehidupan aman dan harmoni, malah jika berdepan masalah, ia diselesaikan dengan baik.
“Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki.” (an-Nisaa’: 36)
Perunding Motivasi Fitrah Power Resources, Ahmad Shukri Yusof, berkata dalam Islam ada dua konsep utama iaitu hubungan manusia dengan Tuhan dan hubungan sesama manusia.
“Menyentuh mengenai kejiranan ia membabitkan konsep hubungan manusia sesama manusia dan apabila mem babitkan perhubungan sesama manusia yang lebih diuta makan ialah nilai akhlak, perangai, tingkah laku atau ke peribadian.
“Nilai akhlak ini perlu diterapkan dalam budaya kejiranan. Jika kita orang Arab walaupun mereka terkenal sebelum ini dengan permusuhan, tetapi mereka kuat berjiran,” katanya.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Jibril sentiasa berwasiat kepadaku mengenai jiran, sehingga aku menyangka jiran itu akan saling mewarisi.”
Dalam realiti kehidupan hari ini manusia tidak boleh lari daripada hidup berjiran, baik di kota mahupun di desa.
Suka atau tidak terpaksa berdepan dengan jiran, walaupun mempunyai minat dan cita rasa berbeza, malah ragam yang berlainan.
Read more…
Wasiat Rasul – Bertawakkal Dan Berharap
Assalamualaikum wbt. Salam Fitrah untuk semua pengunjung laman web ini.Pada hari yang penuh rahmat ini, marilah kita sama-sama mengingati wasiat baginda Rasulullah s.a.w sebagai satu motivasi untuk memandu hidup kita selama mana kita masih di atas hamparan bumi Allah SWT ini.Dari Umar bin Khattab berkata, Rasulullah saw bersabda: “Jika kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, tentu Dia akan memberikan rezeki kepada kamu seperti burung yang diberi rezeki, pergi dalam keadaan lapar dan pulang dalam keadaan kenyang.”
[HR At-Tirmidzi]
Hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekalian,
Sebenarnya antara punca kegagalan dan juga kesusahan yang selalu menimpa kehidupan kita antaranya ialah kealpaan insan dalam menyerahkan segala urusan kepada kepada Yang Maha Berkuasa. Kita terlupa untuk menjadikan tawakkal dan harapan sebahagian dalam bentuk perancangan kita. Sekalipun kita mempunyai perancangan yang teliti dan teratur, namun tanpa dua elemen ini akan menyebabkan lemah emosinya serta tidak redha dengan kemungkinan yang akan menimpa.
Konsep tawakkal dan meletakkan harapan kepada Allah akan mengangkat martabat insan serta meningkatkan nilai spiritual meskipun perancangan kita menemui kegagalan atau mungkin kita menerima musibah yang sangat berat, bencana alam, kematian orang yang tersayang. Tawakkal kepada Allah juga dapat mendatangkan rezeki sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dalam hadis di atas. Rahmat dan kasih sayang Allah SWT akan sentiasa bersama kita seandainya kita meletakkan pengharapan yang tinggi kepadaNya.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“….barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan penyelesaian. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendakinya). Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” Contoh dan tauladan yang baik ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w ketika bersama dengan Abu Bakar r.a di dalam gua persembunyiannya, sedang Abu Bakar merasa bimbang dengan keselamatan Nabi s.a.w dengan perasaan yang lebih berat daripada kebimbangannya terhadap keselamatan dirinya sendiri. Abu Bakar berkata: “Wahai Rasulullah, seandainya seseorang di antara mereka melihat kita berdua. Kerana itu, tiada laian di antara kita dan kebinasaan selain hanya pandangan (mereka) ke arah bawah.” Baginda s.a.w dengan tenang: “Wahai Abu Bakar, bagaimanakah sangkaanmu terhadap dua orang sementara pihak ketiganya adalah Allah SWT. (HR Bukhari)Inilah tawakkal dan harapan yang hakiki. Meletakkan pertolongan dan menyerahkan segala keresahan dan kebimbangan kepada Allah SWT.
Menteri Yang Kudung Kaki Dan Tangan
Ibnu Ata’ yang beriktikad seperti Al-Hallaj telah dituduh sebagai seorang ahli bid’ah oleh Wazir bin Isa . Ibnu Ata’ telah menjawab segala tuduhan itu dengan kata-kata yang kasar sehingga menyebabkan Wazir Ali marah dan meradang. Dia telah memanggil hamba-hambanya agar memukul Ibnu Ata’ dengan kasutnya sehingga mati. Kepala Ibnu Ata’ pecah-pecah, mukanya lebam dan darah mengalir di sekujur tubuhnya.
Ketika dalam penyeksaan itu, Ibnu Ata’ mengutuk Wazir Ali dengan berdoa: “Semoga Allah memotong kaki dan tangan engkau.” Mendengar itu, Wazir Ali menjadi gerun dan takut, tapi dia malu untuk meminta maaf. Malah dia bertambah marah dan menyuruh agar penyiksaan terhadap tokoh sufi itu diperhebat sehingga Ibnu Ata’ wafat tujuh hari kemudian. Di suatu ketika apabila Ibnu Ata’ telah wafat, khalifah murka kepada Wazir Ali bin Isa dan memerintahkan agar dia dihukum potong tangan dan kakinya. Maka dijalankanlah hukuman ke atas Wazir yang telah menyeksa Ibnu Ata’ itu. Kini Wazir Ali bin Isa telah menjadi kudung tangan dan kaki sesuai dengan doa Ibnu Ata’. Beberapa ulama sufi menyalahkan Ibnu Ata’ dengan berkata: “Jikalau melalui doa-doanya dia dapat memperbaiki manusia, mengapa dia mengutuk Wazir Ali bin Isa? Seharusnya dia mendoakan untuk keselamatannya.” Akan tetapi sesetengah tokoh sufi yang lain membela Ibnu Ata’ dengan berkata: “Mungkin sekali Ibnu Ata’ mengutuk si Wazir untuk membela kaum Muslimin yang lain kerana dia terkenal sebagai seorang wazir yang zalim.

