Spiritual Leadership Training

Assalamualaikum wbt. Salam Fitrah untuk semua.
Aktiviti terdekat yang akan dijalankan oleh Fitrah Power Resources ialah Spiritual Leadership Training (SLT) untuk Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu. Kursus yang bertempat di Impiana Resort Cherating ini akan dijalankan pada 15-17 Julai 2008 dengan kehadiran peserta seramai 30 orang peserta yang merupakan para pegawai di peringkat pengurusan tertinggi di PMINT. Kursus ini adalah siri yang ke-2, berkat kerjasama antara PMINT dan Fitrah Power Resources.
“Spiritual Leadership Training adalah satu kursus yang memberikan anjakan baru dalam memantapkan kepimpinan dengan mengetengahkan elemen-elemen spiritual sebagai intipati utama dalam melahirkan pemimpin spiritual yang hebat. Kupasan yang mendalam mengenai tajuk oleh penceramah-penceramah yang berpengalaman luas akan memberikan sesuatu momentum yang baru dan berkesan kepada para peserta.”
Testimoni Peserta Spiritual Leadership Training (siri 1)
“Komen saya mengenai kursus ini adalah sangat bersesuaian dengan zaman ini, di mana dalam era dunia yang semakin maju ini, kepimpinan spiritual mampu memastikan dunia berkembang dengan lebih baik.”
Pn. Noorina Bt. Ibrahim – Penolong Pengurus
“Satu pendekatan kursus yang menepati kehendak spiritual. Tahniah!”
En. Rozmi Muji – Penolong Pengurus
Qalbu Raja Dalam Diri (siri 1)

Assalamualaikum wbt.
Salam Fitrah buat semua Sahabat Fitrah.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Rasulullah saw bersabda:
“Ketahuilah sesungguhnya di dalam tubuh ada segumpal daging. Bila ia baik maka baiklah seluruh badannya, dan bila buruk, maka buruklah semuanya. Ia adalah hati.”
Jelas sekali qalbu atau hati menjadi raja dalam mengawal setiap pergerakan dan perlakuan manusia. Bahkan qalbu jugalah yang menjadi paksi sebenar untuk mencungkil dan menggilap potensi yang ada di dalam diri setiap individu. Qalbu adalah anggota badan manusia yang paling mulia kerana qalbu mampu menjadi sumber inspirasi akal, ilmu, kesabaran, keberanian, kemuliaan, cinta, kehendak dan seluruh sifat-sifat terpuji. Tetapi qalbu juga akan menjadi tempat bersarangnya hasad, cemburu buta, kesedihan, marah, dendam kesumat yang akan menjatuhkan maruah dan jati diri insan.
Abu Hurairah r.a berkata: “Hati adalah raja dan anggota badan sebagai bala tenteranya. Bila rajanya baik, baik pula pasukannya dan bila jahat, maka jahat pula pasukannya.”

















































