Jangan Memohon Kematian
Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah salah seorang di antara kamu mengharapkan kematian. Jika dia adalah orang yang melakukan kebaikan, maka boleh kebaikan akan bertambah dan jika dia adalah orang yang melakukan kejahatan maka boleh jadi dia akan memohon keampunan.”
[HR Bukhari]
Hadis ini jelas sekali merupakan larangan yang telah disebut oleh Rasulullah s.a.w kepada kita. Sekalipun kita mungkin banyak melakukan kesilapan dan dosa terhadap Allah SWT, namun memilih kematian sebagai destinasi bukanlah satu penyelesaian kepada masalah. Setiap kesalahan atau kemungkaran yang kita lakukan sebenarnya masih berpeluang untuk mendapat keampunan dari Allah.
Bunuh diri kerana menyangka bahawa kehidupan dan kesusahan akan berakhir begitu sahaja sudah tentu prinsip hidup yang tidak betul. Bagi umat Islam kematian mempunyai hubungan dengan kehidupan sebelumnya. Sekiranya memilih kehidupan berakhir dengan cara yang menzalimi diri sendiri, maka kematian pasti akan mendapat balasan yang berat di sisi Allah.
Situasi mengharapkan kematian seumpama ini selalunya apabila seseorang individu menghadapi tekanan hidup yang teruk sehingga merasakan bahawa kehidupan tidak lagi bernilai untuk diteruskan. Jauh menyimpang dari landasan ajaran Islam adalah punca utama manusia gagal bertahan dari ujian Allah, walaupun hakikatnya ujian tersebut memberi peluang untuk mengangkat martabat
dirinya dekat dengan Pencipta.
Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak

Assalamualaikum. Salam Fitrah kepada semua.
Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak dari saya Ahmad Shukri Yusoff dan warga kerja Fitrah Power Resources terutama kepada semua kementerian, jabatan kerajaan dan organisasi-organisasi yang telah memberikan kepercayaan kepada kami untuk memberikan perkhidmatan kami dan juga tidak dilupakan kepada semua Sahabat Fitrah yang sentiasa memberikan sokongan di laman web kami. Mudah-mudahan Ramadhan ini akan memberikan makna yang tersendiri untuk diri kita semua. Untuk itu marilah kita sama-sama menghayati ayat Allah tentang kewajipan berpuasa:
Firman Allah SWT:

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas
orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” [Surah Al-Baqarah: 183]
Ahmad Shukri Yusoff
www.fitrahpower.com
Cara Terbaik Membayar Hutang
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Sahabat fitrah yang dikasihi, semoga kita berada dalam payung naungan Allah SWT.

cara terbaik membayar hutang dengan memberikan lebihan dari jumlah sebenar
Apabila berbicara tentang hutang, kita sebenarnya dibenarkan berhutang sekiranya benar-benar terdesak dan memerlukan pertolongan. Rasulullah s.a.w sendiri pernah berhutang di ketika usianya. Namun Rasulullah menganjurkan kepada kita cara yang terbaik untuk kita membayar hutang.
Abu Hurairah berkata, bahawa seorang lelaki pernah menagih hutang pada Nabi s.a.w dengan sikap yang sangat tidak sopan, dan para sahabat tidak senang dengan cara lelaki tersebut, tetapi Nabi berkata, “Biarkan saja ia, sebab orang yang mempunyai hak itu boleh berbicara, dan belikan ia seekor unta dan berikan unta itu kepadanya. Ketika mereka menceritakan kepada Nabi bahawa mereka memperolehi seekor unta yang lebih bagus dari yang dituntut oleh orang itu, Nabi mengatakan, “Belilah unta itu dan berikan kepadanya, sebab yang paling baik di antara kalian adalah orang yang membayar hutangnya dengan cara yang terbaik.” [Bukhari dan Muslim]
Abdullah ibn Abi Rabi’ mengatakan bahawa Nabi pernah meminjam darinya empat puluh ribu dirham dan ketika membayar Nabi mengatakan, “Semoga Allah Yang Maha Tinggi memberkahi keluarga dan hartamu. Satu-satunya penghargaan untuk suatu pinjaman adalah pujian dan pembayaran kembali.[Nasa'e]
Begitulah kehidupan yang diamalkan oleh baginda Rasulullah. Kehidupan baginda tidak jauh berbeza dengan kehidupan manusia lainnya. Bahkan Rasulullah s.a.w lebih susah hidupnya. Tetapi dalam menjelaskan hutang baginda tetap melakukan yang terbaik untuk hubungan yang baik sesama manusia.
Apa Matlamat Hidup Kita?
Assalamualaikum wbt. Salam fitrah untuk semua sahabat yang masih memberikan sokongan kepada laman web ini.
“Sesungguhnya solatku, ibadahku, kehidupanku dan kematianku adalah kerana Allah SWT, Tuhan sekalian alam.” [Al-An'am: 162]
Kita sebagai insan sering lalai apakah matlamat hidup kita. Walaupun sebenarnya sebagai muslim kita amat mempunyai matlamat hidup yang sangat jelas. Cuma penghayatan diri terhadap matlamat ini yang menjadikan diri kita tidak menyedari.
Ayat di atas merupakan ayat yang selalu kita ulang dan ulang di dalam 5 kali solat fardhu yang kita tunaikan. Jelas sekali bahawa kehidupan ini sememangnya perlu dikhususkan hanya kerana Allah. Bahkan juga kematian kita selepas kehidupan yang fana ini adalah bermatlamatkan Allah.
Antara perkara penting yang perlu kita utamakan ialah ibadah kita adakah kita laksanakan ibadah kerana Allah atau sebaliknya. Satu kekeliruan yang berlaku dalam masyarakat kita ialah skop ibadah hanya terfokus pada aktiviti-aktiviti yang berbentuk spiritual.
Sedangkan ibadah meliputi segala aspek kehidupan termasuk bekerja, bermuamalat sesama manusia, berbuat baik kepada haiwan bahkan melihat alam ciptaan Allah SWT juga dikira sebagai ibadah sekiranya melihat dengan cara merenung kebesaran yang Allah ciptakan.
Dalam ruang Syaaban yang masih bersisa ini, seeloknya kita cuba mencari keberkatan ibadah dengan kita meningkatkan amalan-amalan kehidupan kita dengan kita menyandarkan segala amalan harian kita kepada Allah. Mudah-mudah seluruh kehidupan kita hanya kerana-Nya.

