Nisfu Syaaban
Assalamualaikum kepada semua Sahabat Fitrah,
Semoga kita semua masih berada di bawah lindungan Allah SWT.
“Dari Abi Salmah, dari Aisyah Radiallahuanha berkata: Adalah Rasulullah s.a.w sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa Baginda berpuasa berterusan dan Baginda sering berbuka sehingga kami menyangka bahawa Baginda akan berbuka seterusnya. Aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat lebih banyak daripada puasa di bulan Syaaban”.
Inilah antara kelebihan-kelebihan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang mengisi bulan Syaaban dengan penuh kesyukuran dan pengabdian kepada Allah SWT. Baginda Rasulullah s.a.w amat menghormati bulan ini dengan memperbanyakkan ibadah puasa sebagai satu tazkiah atau penyucian jiwa kepada Allah SWT. Bulan Syaaban sebenarnya adalah latihan awal sebelum umat Islam menghadapi Ramadhan yang mewajibkan kita untuk berpuasa.
Mudah-mudahan dalam kesibukan kita dengan urusan duniawi seperti urusan kerja, pejabat, sekolah, keluarga dan sebagainya, kita masih mempunyai ruang untuk mendekatkan diri kepada Allah dan memperbanyakkan amal ibadat sebagai bekalan untuk hari akhirat. Memperbanyakkan zikrullah, sedekah dan membaca Al-Quran untuk sama-sama kita menghidupkan hari dan bulan yang mulia ini.
Mencari Keberkatan Rezeki
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Seseorang yang terbiasa dengan meminta-minta, dia akan datang pada hari kiamat tanpa secebis daging pun di wajahnya.”
Riwayat Bukhari dan Muslim
Islam menuntut umatnya supaya bekerja dan berusaha sehingga bebas daripada belenggu kemiskinan.Kemiskinan boleh menggelincirkan iman kerana seseorang yang lemah imannya akan sanggup menggadaikan aqidahnya dengan melakukan pekerjaan yang terlarang serta menuturkan kata-kata yang menolak kebesaran Allah seperti menafikan keadilan Allah dan sebagainya.
Setiap pekerjaan yang dilakukan oleh manusia untuk meneruskan kelangsungan hidup di dunia merupakan ibadat iaitu selagi ia dilakukan dengan niat yang baik dan tidak melanggar hukum-Nya.Rezeki yang berkat adalah rezeki yang dicari dengan titik peluh sendiri, bukan dengan cara menunggu pemberian daripada orang lain seperti meminta sedekah, derma dan sebagainya padahal tubuh badan masih lagi kuat dan sihat. Hal ini amat dilarang keras oleh Islam kerana ia merupakan perbuatan yang memalukan dan menghinakan.
Sesungguhnya Amanah Itu Berat
Dari Abdur Rahman bin Samurah r.a katanya: “Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku:”Hai Abdur Rahman! Janganlah engkau meminta-minta hendak jadi pembesar negara kerana jika engkau jadi pembesar kerana permintaan, tanggungjawabmu akan besar sekali. Dan jika engkau diangkat tanpa permintaan, engkau akan dibantu orang dalam tugasmu.” (Muslim)
Tanggungjawab jika dilaksanakan secara kolektif dan penuh keikhlasan akan menerbitkan semangat untuk berkhidmat dengan lebih baik. Oleh itu tidak dinafikan bahawa tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin bukannya mudah. Akan ada kawan dan lawan.
Sebagai rakyat pula, kita tentulah berharap agar setiap pemimpin itu akan sentiasa memberikan yang terbaik, bukan membelakangkan kepentingan rakyat. Demikian juga sebagai pemimpin, tidak sepatutnya mereka mementingkan populariti, menceburkan diri dalam arena politik semata-mata untuk menambah harta dan kekayaan peribadi, menggunakan wang dan menyalahgunakan kedudukan politik untuk menarik sokongan.
Kuasa yang ada sebenarnya adalah amanah dan hendaklah digunakan untuk menjamin kesejahteraan rakyat. Namun apa yang berlaku ialah tidak semua pemimpin mempunyai keikhlasan dalam memikul tanggungjawab mereka bahkan tidak menyedari tentang beratnya tanggungjawab dan amanah yang dipikul. Mereka menjadikan jawatan sebagai batu loncatan untuk menjadi jutawan.
Oleh sebab itu janganlah kita merasa hairan apabila ramai yang berani menampilkan diri untuk menjadi pemimpin malah berlumba-lumba untuk menjadi pemimpin padahal dalam hati mereka sendiri tidak ada keikhlasan. Maka di sinilah pentingnya peranan rakyat dalam memilih bakal pemimpin mereka. Adakah dia benar-benar layak atau sebaliknya kerana jika kita tersilap dalam memilih, padahnya adalah kepada kita sendiri sebagai rakyat dan negara juga akan ditimpa mudharat.
Kunci Kemurahan Rezeki
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Berilah (belanjalah) dan jangan kamu selalu menutupi kepunyaanmu, kerana dengan itu nanti Allah akan menutupi rezekimu.”
Riwayat Bukhari & Muslim
Pengajaran yang kita dapat ambil daripada hadis ini ialah Allah yang mewujudkan sifat semulajadi dalam diri manusia iaitu sifat belas kasihan yang menggerakkan seseorang itu untuk bersedekah. Firman Allah S.W.T yang maksudnya “Bandingan (perbelanjaan/derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai: tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji benih. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah amat luas (rahmat) kurnian-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”(al-Baqarah:26)
Syarat bersedekah adalah keikhlasan. Tidak kira wang ringgit atau sebagainya asalkan ia dapat memberi kesenangan terhadap orang yang memerlukannya kerana kesenangan (kekayaan) yang diberi oleh Allah kepada hamba-Nya merupakan satu perkongsian dan tanggungjawab terhadap sesama manusia di muka bumi ini. Sifat suka bersedekah lawannya adalah bakhil. Sifat bakhil dicetuskan oleh Allah kepada hamba-Nya yang lupa akan kewajipannya dan sangat cinta kepada harta kekayaannya.
Oleh itu demi mencari keredhaan Allah kita hendaklah menggunakan waktu yang ada dengan beringat-ingat kepada yang susah dan memberi sedikit bantuan mengikut kemampuan. Sebenarnya di sebalik amalan bersedekah akan dapat mewujudkan perasaan kasih sayang sesama manusia dan sesungguhnya amalan yang baik akan dibalas baik oleh Allah S.W.T.

