Belajar Memaafkan Orang Lain
Assalamualaikum kepada semua Sahabat Fitrah yang saya kasihi.
“Ya Allah berilah hidayah kepada kaumku sesungguhnya mereka tidak mengetahui “.
Inilah doa yang dibaca oleh Rasulullah s.a.w tatkala Rasulullah diperleceh sambil dilontarkan batu oleh penduduk Taif, tiada dendam dan tiada menaruh kemarahan yang dizahirkan oleh Ar-Rasul walaupun dalam keadaan yang begitu kritikal.
Orang yang berjiwa besar ialah orang yang mampu memaafkan kesalahan orang lain walaupun betapa sakit hati ketika kesalahan itu dilakukan ke atas dirinya kerana menyedari bahawa kemaafan meraih kasih sayang Allah SWT, tidakkah Allah antara namaNya “ Al-Afuwwu” Maha Pemaaf, maka ketika kita memaafkan kesalahan orang lain kita sedang berusaha merapatkan diri dengan Maha Pemaaf!
Hakikatnya bukannya mudah memaafkan kesalahan orang lain tetapi kita gunakan perkataan belajar memaafkan orang lain bagi memberi ruang yang lebih luas dalam hidup kita untuk memperbaiki diri. Perhatikan hubungan kekeluargaan yang hambar kesan dari pasangan suami isteri, adik beradik, jiran tetangga dan sanak saudara yang tidak mempraktikkan belajar memaafkan orang lain.
Marilah kita berusaha mencontohi keperibadian Qur`ani:
“Iaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya samada di waktu senang atau susah dan orang-orang yang menahan kemarahan serta memaafkan kesalahan orang lain” (Ali Imran : 134)
Ahmad Shukri Yusoff
www.fitrahpower.com
Allah Bersama Sangkaan Hamba Terhadap-Nya
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:
Allah berfirman:
“Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya ketika dia mengingati-Ku. Apabila dia mengingati-Ku dalam dirinya, nescaya Aku juga akan mengingatinya dalam Diri-Ku. Apabila dia mengingati-Ku dalam suatu kaum, nescaya Aku akan mengingatinya dalam suatu kaum yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekati-Ku dalam jarak sejengkal, nescaya aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepada-Ku dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya aku akan datang kepadanya dalam keadaan berlari.” [HR Muslim]











