Logo Background RSS

» 2008 » September

  • Ucapan Selamat Hari Raya
    September 27th, 2008 | 31 Komen31 Comments Comments

    Andai jemari tidak sempat berjabat. Andai mata tidak dapat bertatap. Seiring beduk yang bergema, seruan takbir yang berkumandang. Kami hulurkan salam menyambut Hari Raya Aidl Fitri. Jika ada kata-kata serta kesilapan dan kekurangan sepanjang kami menjalankan kursus mahupun sepanjang penulisan kami di laman ini, kami mohon maaf zahir dan batin.

    Di kesempatan ini saya juga memohon kemaafan bagi pihak Sahabat Fitrah di atas kesalahan dan kekurangan yang mungkin berlaku. Maaf zahir dan batin. Saya bersyukur kerana diberikan ruang ini untuk sama-sama kita mengingati antara satu sama lain. Kepada sahabat-sahabat yang pulang ke kampung, berhati-hati ketika memandu. Salam Aidilfitri dari saya dan krew Fitrah Power Resources untuk semua Sahabat Fitrah. Terima kasih kerana sentiasa memberi sokongan di laman ini.

    Selamat Hari Raya Aidl Fitri 1429H.

  • Antara Dua Cinta
    September 26th, 2008 | 2 Komen2 Comments Comments

    Antara dua cinta, memang sesuatu yang merumitkan kerana kita terpaksa membuat dua pilihan. Membuat pilihan adalah satu perkara yang agak membebankan, tetapi nukilan kali ini tidak akan menyentuh agar kita memilih yang mana satu tetapi kita harus memilih kedua-duanya kerana dengan memilih keduanya kita tidak berada dalam golongan orang-orang yang rugi malah kita akan merasa lebih bahagia dan berjaya.

    Antara dua cinta yang ingin disentuh di sini ialah cinta dunia dan cinta akhirat. Kita tidak boleh memilih mana-mana untuk mencintai tetapi kita harus memilih kedua-duanya  dan berlaku adil padanya. Tetapi kebanyakan dari kita hari ini telah membuat pilihan untuk mencintai dunia dan melupakan akhirat. Dan ada pula segelintir yang mencintai akhirat dan tidak mempedulikan dunia. Ramai di antara kita mengimpikan rumah besar, kereta besar dan mengejar kemewahan dunia yang sementara. Tak ramai di antara kita yang mengimpikan jannatul firdaus dan taman –taman syurga yang lain yang jauh lebih baik dan kekal.

    Cinta dunia hanyalah cinta yang sementara, dunia hanyalah persinggahan untuk menuju ke akhirat. Mengejar cinta dan kemewahan dunia semata tidak akan membawa kita ke mana-mana malahan ia boleh melalaikan kita untuk mencari cinta yang sebenarnya yang lebih kekal abadi. Firman Allah:

    “Dan (Ingatlah) hari (ketika) orang kafir dihadapkan ke neraka (kepada mereka dikatakan):
    Kamu sudah menghabiskan rezekimu yang baik dalam kehidupan duniawimu (saja) dan kamu sudah bersenang-senang menikmatinya.”
    (Surah al-Ahqaf, ayat 20)

    Alangkah ruginya memiliki segala kemewahan dunia tetapi setakat dirasa selama 60 tahun saja. Bahkan ketika ditanya berapa lama kamu hidup di dunia? Mereka menjawab tidak lebih daripada setengah hari saja.

    Bermimpi untuk memilih rumah anda di syurga dengan amalan yang sederhana dan mudah dilakukan, seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
    “Tidaklah salah seorang kamu mengambil wuduk kemudian memperbaiki wuduknya dan mengerjakan sembahyang dua rakaat melainkan wajib baginya syurga.”
    (Hadis riwayat Abu Daud, disahihkan oleh al-Albani)

  • Mengajar Famili Mengurus Pakaian
    September 25th, 2008 | Tiada Sebarang Komen Comments

    Ramai para ibu yang selalu mengeluh kerana tidak ada masa untuk menguruskan pakaian kerana masa yang perlu diperuntukkan untuk waktu bekerja. Namun tip-tip di bawah ini mungkin sedikiat sebanyak dapat membantu para ibu menghadapi situasi ini.

    1. Berikan pendedahan dan latihan awal kepada anak-anak dalam menguruskan pakaian seperti membasuh, melipat dan menyimpan pakaian masing-masing.

    2. Mengajarkan anak-anak untuk membasuh pakaian dengan memberikan panduan menggunakan mesin basuh kepada mereka. Anak-anak yang di awal usia amat mudah untuk diberikan panduan sebegini.

    3. Menyediakan ruang simpanan yang khas untuk anak-anak. Jika perlu tuliskan nama untuk almari pakaian mereka. Ini akan memberi rangsangan untuk mereka berdikari dan menjaga pakaian mereka.

    4. Sediakan bakul pakaian kotor untuk anak-anak lebih mudah mengasingkan pakaian yang telah mereka gunakan.

    5. Latihlah suami menggosok pakaian mereka sendiri jika ada ruang waktu. Di samping dapat mengeratkan hubungan, jika kena caranya suami akan lebih selesa mengurus pakaiannya sendiri.

    6. Gunakan seterika padam secara automatik di rumah. Ini lebih mudah untuk melatih anak-anak menggosokkan pakaian mereka.

    7. Belilah stokin warna yang sama. Ini akan memudahkan untuk memadankan stokin sekiranya berlaku kehilangan.

    8. Ajarkanlah juga anak-anak untuk mengemas pakaian mereka sendiri untuk keluar atau balik  kampung. Tuliskan kepada mereka senarai keperluan mereka untuk memudahkan mereka.

    9. Pantau kegunaan kain baju famili dari masa ke semasa. Pakaian yang tidak sepadan lagi dengan anak-anak atau suami anda, anda boleh berikan kepada saudara-mara atau jiran-jiran. Ini akan mengelakkan kuantiti pakaian yang sentiasa bertambah di samping melakukan amal jariah.

    10. Beli pakaian mengikut keperluan sahaja. Ini akan membantu mengawal kuantiti pakaian yang terlalu banyak di rumah.