Archive for September, 2008

Nuzul Quran

Nuzul al-QuranAssalamualaikum wbt. Salam Fitrah kepada semua Sahabat Fitrah yang sentiasa setia untuk mencari ilmu-ilmu sebagai santapan rohani.

Dalam bulan Ramadan terdapat dua kelebihan utama yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hambaNya beriman. Salah satu kelebihan yang kita maklum ialah malam al-qadr yang diterima semua amalan hamba-hambaNya yang menemui malam tersebut. Malam al-qadr yang diturunkan malaikat oleh Allah SWT untuk menghimpunkan setiap doa hamba-hambaNya ang beriman.

Dan salah satu peristiwa penting yang menjadi anugerah Allah di dalam bulan ini ialah penurunan kitab suci al-Quran. Kitab yang menjadi petunjuk dan hidayah kepada semua manusia. Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam surah al-Baqarah 185:

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan, yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

Sesungguhnya al-Quran yang menjadi panduan kita hari ini telah diturunkan secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad s.a.w selama 23 tahun sebagai satu metod pembelajaran yang perlu disampaikan oleh baginda Rasulullah s.a.w kepada sekalian umat. Bila kita mengingati peristiwa penurunan kitab Allah ini, maka dalam masa yang sama kita perlu menghayati sirah perjuangan baginda s.a.w dalam menegakkan ajaran kitab suci ini.

Rasulullah dan al-Quran tidak boleh dipisahkan kerana Jibril a.s telah menurunkan kalam Allah ini melalui junjungan besar s.a.w. Sebab itu Ramadan juga dikenali sebagai bulan al-Quran kerana peristiwa nuzul Quran yang menjadi titik permulaan agama Islam umat Islam.

Al-Quran yang menjadi mukjizat baginda s.a.w ini sangat agung, kerana penurunannya begitu dimuliakan oleh makhluk Allah yang lain. Sebagaimana yang disebut oleh Allah SWT di dalam surah al-Hasyr ayat 21:

“Sekiranya Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung nescaya engkau dapat melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat manusia supaya mereka berfikir.”

Justeru itu, kita amat dituntut untuk mengisi Ramadan ini dengan memperbanyakkan membaca mukjizat agung ini sebagai salah satu penghormatan yang perlu diingati di samping kita sama-sama mencari keredhaan Allah SWT. Namun apa yang perlu diingatkan dalam kita bertadarus dan membaca al-Quran, bukan khatam yang perlu kita kejarkan, tetapi apa yang lebih penting tadabbur serta penghayatan akan menjadikan peristiwa nuzul quran ini terkesan di hati kita. Baginda Rasulullah s.a.w menganjurkan kita dalam kita membaca al-Quran ini, bahawa mereka mempelajari isi kandungan al-Quran dengan mempelajari beberapa ayat, kemudian diiringi dengan penerangan mengenai ayat tersebut.

Sabda Rasulullah s.a.w: “Adalah seorang dari kami jika mempelajari sepuluh ayat maka ia tidak menambahnya sampai ia memahaminya dan mengamalkannya.”[HR Ibn Mas'ud]

Mudah-mudah sambutan Nuzul Quran kali ini menjadi titik perubahan kepada kita dalam menghayati ayat-ayat Allah agar segala isi kandungannya akan lebih menambahkan lagi keyakinan kita terhadap agama Allah.

1 comment - What do you think?

Tazkirah – Menggapai Lailatul Qadr

Assalamualaikum wbt.

Salam Ramadhan buat semua pelawat dan pembaca yang budiman.

Makna Lailatul Qadr

Lailatul Qadr adalah malam diturunkannya al-Quran oleh Allah Ta’ala. Namun begitu terdapat beberapa makna malam lailatul qadr berdasarkan pendapat para ulama seperti berikut.

Pertama: maknanya adalah malam keputusan; atau malam penetapan. Dinamakan demikian kerana pada malam itu Allah Ta’ala menetapkan perintah-Nya yang Dia kehendaki, berupa kematian, ajal, rezeki dan lainnya sampai malam Al-qadr tahun berikutnya. Ini pendapat Ibnu Abbas, Ikrimah dan Sa’id bin Jubair.

Kedua: maknanya adalah malam kemuliaan. Dinamakan demikian kerana keagungannya, dan kemuliaannya. Ini pendapat az-Zuhri dan lainnya. Ada juga yang mengatakan dinamakan demikian kerana perbuatan-perbuatan ketaatan pada malam itu memiliki nilai yang agung dan pahala yang banyak. Abu Bakar al-Warraq berkata: “Dinamakan demikian kerana orang yang tidak punya kemuliaan dan keutamaan akan mendapatkannya, jika dia menghidupkan malam tersebut.” Ada juga yang mengatakan dinamakan demikian kerana pada malam itu Allah Ta’ala menurunkan Kitab (al-Quran) yang memiliki kemuliaan, kepada Rasul (Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam) yang memiliki kemuliaan. Pendapat lain menyatakan, kerana pada malam itu para malaikat yang memiliki kemuliaan dan kepentingan turun ke bumi. Pendapat lain menyatakan, kerana pada malam itu Allah Ta’ala menurunkan kebaikan, berkah dan ampunan.

Ketiga: maknanya adalah malam yang sempit. Dinamakan demikian kerana pada malam itu bumi sesak/sempit dengan para malaikat. Ini dinyatakan oleh al-Khalil. (Lihat semua keterangan di atas dalam Tafsir al-Qurthuby surat al-Qadr).

Keutamaannya

Cukuplah sebagai keutamaannya bahawa lailatul qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Allah berfirman (yang artinya): “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.” (QS. al-Qadr 1-3). Kebanyakan ahli tafsir menyatakan bahawa yang dimaksudkan adalah suatu amalan yang dilakukan pada malam itu lebih baik daripada amalan yang dilakukan seribu bulan yang tidak ada lailatul qadr padanya. Ini dikatakan oleh Mujahid, Qatadah, as-Syafi’i, dan lainnya. (Lihat Tafsir Ibnu Katsir, al-Qurthuby, as-Sa’di dan lainnya dalam surat al-Qadr).

Oleh kerana itulah lailatul qadr merupakan malam yang diberkahi. Allah Ta’ala berfirman (yang maksudnya):
Haa Miim. Demi Kitab (al-Quran) yang menjelaskan. Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkahi dan sesungguhnya Kami lah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah. (Iaitu) urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah yang mengutus rasul-rasul sebagai rahmat dari Rabb-mu. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (QS ad-Dukhan 1-6).

Waktunya

Ada riwayat dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bahwa lailatul qadr terjadi pada malam Ramadhan ke 21, 23, 25, 27, 29 dan akhir malam bulan Ramadhan. Pendapat terkuat waktunya adalah pada malam-malam ganjil bulan Ramadhan. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Carilah lailatul qadr pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan”. (HR. Bukhari, Muslim no. 1169 dari ‘Aisyah).

Dan memang ilmu tentang hal tersebut telah diambil oleh Allah daripada Nabi gara-gara kesalahan (iaitu pertengkaran) yang dilakukan oleh dua lelaki di antara umat beliau. ‘Ubadah bin as-Shamit berkata: “Bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar akan memberitahukan tentang lailatul qadr, lalu ada dua lelaki di antara kaum muslimin bertengkar maka beliau bersabda: “Sesungguhnya aku keluar untuk memberitahukan kalian tentang lailatul qadr. Tetapi sesungguhnya si Fulan dan si Fulan bertengkar sehingga diangkatlah (ilmu tentang waktu lailatul qadr). Namun mudah-mudahan hal itu lebih baik bagi kalian. Carilah lailatul qadr pada malam tujuh, sembilan dan lima (yang terakhir).” (HR. al-Bukhari).

Menggapai Keutamaannya

Jika kita telah mengetahui hal-hal di atas, hendaklah kita memperbanyak berbagai amalan ketaatan pada waktu-waktu di atas. Amalan-amalan itu seperti solat  terawih, membaca al-Quran, sedekah, zikir, berdoa dan lain-lain. ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata: “Kebiasaan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam jika telah masuk sepuluh akhir Ramadhan, beliau menghidupkan malamnya, membangunkan isterinya, bersungguh-sungguh (beribadah) dan mengencangkan sarungnya (tidak menggauli isterinya).” (HR. Bukhari dan Muslim 1174).

‘Aisyah juga pernah bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat anda jika aku mengetahui waktu lailatul qadr, apa yang aku ucapkan di malam itu?” Beliau menjawab: “Ucapkanlah: Allaahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘annii (wahai Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Engkau suka memaafkan, maka maafkanlah daku).” (HR. Ibnu Majah dan at-Tirmidzi dengan sanad yang shahih)
Tanda-tandanyaRasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah memberitahukan tanda-tanda lailatul qadr di dalam beberapa hadisnya, antara lain: Dari Abu Hurairah dia berkata: “Kami memperbincangkan lailatul qadr di sisi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu beliau bersabda: ”Siapa diantara kalian yang mengingat ketika bulan muncul, yang bulan itu seperti separuh piring”. (HSR. Muslim).Al-Qadhi ‘Iyadh berkata: “Padanya terdapat isyarat bahwa lailatul qadr hanyalah akan terjadi pada akhir-akhir bulan, karena bulan tidak akan demikian munculnya kecuali pada akhir-akhir bulan”. (Sifat Shaum Nabi, hal. 90). Ubay bin Ka’b berkata: “Demi Allah, sesungguhnya aku mengetahui bila lailatul qadr itu, iaitu malam yang kami diperintahkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam untuk solat padanya. Iaitu malam yang esok paginya (adalah hari ke) dua puluh tujuh. Adapun tandanya adalah matahari akan terbit pada pagi harinya dalam keadaan putih tidak menyilaukan.” (HSR. Muslim no. 762, Tirmidzi, Abu Dawud, al-Humaidi dan lainnya).
Ibnu Abbas berkata: “Lailatul Qadr adalah malam yang lembut, sedang, tidak panas, tidak dingin; matahari akan terbit pada pagi harinya dalam keadaan lembut, merah“. (HR. at-Thayalisi 349, Ibnu Khuzaimah dan al-Bazzar dengan sanad yang hasan)

Sekian, Wallahu A’lam…

3 comments - What do you think?

Mengapa Diwajibkan Zakat Fitrah

bayar-zakat.jpg 

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: “Rasulullah s.a.w memerintahkan agar zakat fitrah ditunaikan sebelum orang ramai keluar untuk mendirikan sembahyang Hari Raya.”

Antara hikmah mengapa Allah SWT memfardhukan rukun ini kepada umat Islam, yang keduanya ialah untuk membersihkan hati kita dari sifat terlalu sayangkan harta. Himpunan harta kekayaan yang banyak sudah tentu akan dalam hati kecil kita perasaan sayang, lebih-lebih lagi bila mengingatkan usaha dan komitmen yang tinggi telah kita korbankan untuk menyimpan harta tersebut.
Hati yang terlalu cintakan harta dunia ini, akan menjadi lebih teruk sekiranya tidak disertai dengan rasa ketakwaan kepada Allah SWT.

Sebab itu dalam mendidik jiwa dan hati manusia terhadap harta kekayaan, Allah SWT mewajibkan zakat sebagai satu latihan jiwa kepada kita untuk menjauhkan diri dari terlalu menyayangi harta benda. Dan yang lebih buruk di sisi Allah apabila rasa sayang kepada harta ini akhirnya dihinggapi rasa bakhil untuk mengeluarkan zakat dan bersedekah.

Dr. Yusof al-Qaradawi telah menyebut tentang empat ciri-ciri zakat fitrah di dalam kitabnya ‘Mushkilah al-faqr wa kaifa a’lijuha al-Islam’untuk membezakan kewajipan zakat ini dan zakat harta.

Yang pertamanya: zakat fitrah adalah umpama cukai kepala ke atas individu dan bukan ke atas harta.

Kedua: zakat fitrah ini difardhukan kepada semua lapisan manusia. Rasulullah s.a.w telah mewajibkannya ke atas setiap muslim tanpa mengira sama ada hamba sahaya atau orang merdeka, lelaki atau perempuan dan kaya atau miskin. Zakat fitrah tetap diwajibkan kepada gologan miskin sekiranya mereka memiliki wang yang cukup dan memiliki wang yang cukup untuk keperluan makan minum sekeluarga pada hari raya Aidil Fitri.

Ketiga: zakat fitrah bukan hanya diwajibkan untuk dirinya sahaja, tetapi dia juga perlu membayar zakat fitrah bagi setiap individu yang menjadi tanggungannya.

Dan keempat: ialah Islam telah mengecilkan kadar pembayaran zakat fitrah sebagai satu kemudahan untuk umat Islam menunaikannya.

Rahsia yang kita perolehi daripada ciri-ciri zakat fitrah ini, Allah SWT menghendaki manusia memahami konsep dalam membina hubungan dengan Tuhan, kita juga sebenarnya mempunyai kewajipan yang perlu ditunaikan sesama manusia.

Oleh kerana itulah antara tujuan Allah SWT mewajibkan zakat fitrah untuk semua golongan adalah untuk memberi penjelasan tentang hubungan sesama manusia yang perlu ditunaikan oleh kita. Sebagai manusia kita perlu memuliakan golongan fakir miskin kerana mereka juga adalah saudara seagama kita dan mudah-mudahan dengan pertolongan kita itu akan dapat membantu mereka untuk
sama-sama menyambut kemeriahan Aidil Fitri bersama-sama.

2 comments - What do you think?

Jangan Biarkan Tangki Kasih Sayang Bocor!

Assalamualaikum wbt.
Semoga Sahabat Fitrah terus untuk menguatkan ibadah di dalam fasa kedua Ramadan ini.

Ramai ibu bapa hari sering mengeluh, mengapa anak-anak mereka tidak mahu mendengar kata-kata mereka. Kadang-kadang belum sempat ibu bapa memberikan nasihat anak-anak terlebih dahulu sudah menunjukkan memek muka bahawa mereka enggan mendengar apa yang diperkatakan.

Wahai ibu bapa, satu yang perlu difahami mulai sekarang, bahawa sebenarnya anak kita ibarat sedang menatang sebuah tangki kasih sayang. Tahukah ibu bapa bahawa anak-anak sangat mengharapkan tangki kasih sayang mereka dipenuhi? Tidak susah sebenarnya untuk membuat anak-anak menghargai setiap nasihat dan mendengar kata-kata kita. Tetapi syaratnya kita perlu memberikan
mereka balasan dengan mengisi tangki kasih sayang mereka. Apabila anak-anak kita sudah tidak mahu mengambil kisah tentang apa jua nasihat yang kita sampaikan, apa yang perlu kita lakukan ialah kita periksa terlebih dahulu tangki kasih sayang anak kita kerana berkemungkinan tangki kasih sayang mereka telah bocor.

Periksalah Tangki Kasih Sayang Anak-Anak

Dan apabila berlaku kebocoran maka tidak guna untuk kita memberikan nasihat kepada mereka. Mengisi tangki kasih sayang tidak memerlukan modal yang besar seperti mana kita memerlukan wang ringgit dengan nilai tertentu untuk memenuhkan tangki petrol kita. Apa yang perlu kita lakukan hanyalah merenung kembali mungkin sepanjang kehidupan kita, jarang kita memberikan ruang masa untuk mereka merasa dikasihi.

Cuba renung kembali, mungkin kita pernah berjanji sesuatu dengan mereka tetapi masih belum kita tunaikan, mungkin juga ada sesuatu yang anak-anak kita ceritakan tentang perihal mereka di sekolah tetapi kita hanya diamkan sahaja, mungkin juga anak kita mendapat kejayaan-kejayaan tertentu, tetapi kita belum menghargai mereka. Mereka sebenarnya amat sensitif terhadap perkara-perkara sebegini. Seandainya kita sudah mengenal pasti penyebab mengapa tangki kasih sayang mereka bocor, maka ibu bapa perlu segera untuk mengisi kembali ruang yang bocor itu dengan kasih sayang kepada mereka.

Jika kita melihat keluarga yang bahagia, bagaimana mereka dapat membuatkan anak-anak mereka begitu taat dan mudah mendengar kata-kata mereka? Tiada rahsia yang besar sebenarnya. Tetapi mereka memahami konsep tangki kasih sayang ini yang membuatkan mereka tidak akan membiarkan berlaku kebocoran dari rasa kasih sayang mereka terhadap anak-anak. Apabila kasih sayang
ibu bapa dapat dirasai anak-anak, insya Allah anak-anak akan mula memandang ibu bapa sebagai idola dalam kehidupan mereka.

1 comment - What do you think?