Anak Sebagai Pembantu
“Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: anak-anak dan cucu cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda-benda yang baik lagi halal, patutkah mereka (yang engkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala) dan mereka kufur pula akan nikmat Allah.”
[An-Nahl :72]
Di antara nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia, ialah memberikan pasangan hidup untuk berkasih sayang dan membina hubungan yang dirahmati. Hubungan perkahwinan yang dirahmati Allah SWT sudah tentu akan dikurniakan pelbagai rezeki. Dalam ayat di atas Allah SWT menyebut bahawa anak adalah sebahagian rezeki yang dikurniakan oleh Allah sebagai tanda hubungan
perkahwinan yang dirahmati oleh Allah. Allah SWT meletakkan di dalam ayat ini juga tentang peranan sebagai seorang anak lelaki dalam membantu dan meringankan beban di dalam keluarga.
Anak lelaki telah disebut sebagai ‘hafdah’ menggambarkan bahawa antara tugas penting yang perlu dilaksanakan oleh anak lelaki ialah memberikan bantuan dalam urusan-urusan untuk meringankan beban keluarga. Dalam tafsir Ibn Kathir, dalam satu hadis daripada Nadrah ibn Aktsam memberikan perumpamaan bahawa peranan anak lelaki adalah diibaratkan seperti hamba.
Tugas sebagai anak lelaki bukan hanya sekadar menjaga kedua ibu bapa, bahkan keselamatan, kesihatan dan ekonomi keluarga juga perlu disandarkan kepadanya sebagai membantu tugas seorang bapa. Allah SWT Yang Maha Adil meletakkan tanggungjawab ini kepada lelaki sebagai satu pengiktirafan bahawa lelaki perlu memimpin dengan baik lebih-lebih lagi dalam konteks memimpin keluarga. Pengiktirafan ini disebut oleh Allah SWT di dalam surah an-Nisa’ayat 34:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”
Masalah yang sering berlaku dalam masyarakat kita, mereka sering mempersoalkan tentang anak yang mereka terima. Mungkin dalam suatu keluarga yang mempunyai anak perempuan yang ramai akan mempersoalkan kenapa mereka tidak dianugerahkan anak lelaki, dan seandainya keluarga mereka hanya dikurniakan anak lelaki, mereka akan mempersoalkan mengapa mereka tidak dikurniakan
anak perempuan? Kita sebagai hamba Allah perlu menyedari bahawa kurniaan anak adalah rezeki kepada kita tanpa melihat jantina mereka. Kita mulai lupa bahawa nilai syukur kita terhadap Allah yang telah memberikan pembantu yang setia dalam melalui kehidupan ini iaitu anak.
Alhamdulillah..isteri saya selamat melahirkan bayi

Salam Fitrah. Alhamdulillah isteri saya selamat melahirkan anak perempuan di Medical Center, Kajang. Bayi perempuan seberat lebih kurang 3 kilogram ini selamat dilahirkan pada pukul 9.36 pagi, 9 September 2008. Harapan saya bayi ini dapat membesar dengan baik dan menjadi anak yang berguna untuk masa hadapan. Insya-Allah. Terima kasih tidak terhingga di atas doa anda semua.
Ahmad Shukri Yusoff
www.fitrahpower.com
Air Kencing Bayi Lelaki Dan Perempuan
Assalamualaikum WBT…
Islam amat menitikberatkan kebersihan dan menganggap kebersihan itu adalah pelengkap kepada kesempurnaan iman seseorang muslim itu. Terdapat 3 kategori najis dalam Islam iaitu pertama najis berat (mughallazah), kedua najis ringan ( mukhaffafah) dan ketiga najis pertengahan ( mutawassitah ). Najis ringan ialah air kencing bayi lelaki yang belum menjamah makanan kecuali susu ibu. Cara menyucikannya pula adalah dipercikkan air ke atasnya.
Mengikut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Ahmad, Ummu Qais binti Mihsan pernah mengunjungi Rasulullah membawa anak lelakinya yang belum pernah merasa makanan, kemudian diletakkan anak itu di atas pangkuan nabi, lalu anak itu kencing. Katanya, nabi hanya memercikkan sedikit air sahaja.
Dalam hadis lain yang direkodkan oleh Abu Daud dan Tirmizi, nabi berkata, “Air kencing anak perempuan dibasuh dan air kencing anak lelaki dipercik dengan air.”
Mengapa cara menyucikan air kencing bayi lelaki dan perempuan berbeza walaupun keduanya mencukupi syarat sebagai najis mukhaffafah?
Menurut kajian yang dijalankan oleh National Kidney and Urologic Diseases Information Clearinghouse, di Amerika sahaja 8.3 juta pesakit menerima rawatan disebabkan penyakit Urinary tract infection iaitu jangkitan pada saluran kencing kaum wanita. Punca berlakunya jangkitan ini adalah kuman bakteria terutamanya daripada jenis Escherichia coli. Bakteria ini seringkali membiak dan menyerang saluran kencing bahagian bawah (urethra) terlebih dahulu sebelum merebak ke kawasan pundi kencing (bladder). Jangkitan pundi kencing merupakan jangkitan yang paling kerap berlaku. Ia melibatkan lebih kurang 95 peratus daripada kes keseluruhan. Antara gejala yang yang boleh dirasai oleh mereka yang mendapat jangkitan ini adalah kekerapan membuang air kecil, kencing berdarah, air kencing busuk, berasa sakit di kawasan pundi kencing, letih serta lesu dan kadangkala mengalami demam.
Mengikut statistik, kebanyakan daripada mereka yang mendapat jangkitan ini adalah daripada kalangan kaum wanita.
University of Maryland Medical Center melaporkan, kaum wanita adalah 30 kali lebih mudah mendapat jangkitan ini berbanding kaum lelaki. Hal ini mungkin disebabkan saluran kencing bahagian bawah wanita (urethra) adalah lebih pendek berbanding kaum lelaki, iaitu 4 sentimeter berbanding 20 sentimeter bagi lelaki. Justeru bakteria mudah bergerak ke pundi kencing kaum wanita. Tambahan daripada itu kedudukan lubang kecil wanita berdekatan dengan lubang faraj dan dubur juga memudahkan jangkitan berlaku.
Read more…
Kelebihan Bertasbih, Bertahmid Dan Bertakbir
Assalamualaikum w.b.t
Semoga kita semua masih kuat untuk beribadat kepada Allah SWT.
Dari Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda:
Barang siapa yang bertasbih selepas solatnya 33 kali, bertahmid 33 kali dan bertakbir 33 kali, dan kesemuanya adalah 99 kali, maka dia menyebut pada bilangan yang keseratus dengan ‘Laailaha illallah wahdahu la syarikalahu, lahu al-mulku walahu alhamdu wahuwa ala kulli syai’in qadir’, maka Allah mengampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan.
[HR Bukahari, Muslim dan Abu Daud]
Apabila kita menghayati apakah yang dikehendaki daripada hadis nabi ini, sebenarnya ruang untuk kita memohon keampunan kepada Allah SWT sentiasa berada dekat dengan kita. Bahkan Allah SWT memberikan jaminan walaupun dosa yang kita lakukan di dunia ini begitu banyak tetapi keampunan daripada Allah adalah lebih besar daripada apa yang telah kita lakukan.
Kita sentiasa bertasbih, bertahmid dan bertakbir ketika selepas solat fardhu beramai-ramai di masjid dan surau, tetapi penghayatan kita tentang ganjaran yang besar ini akan lebih memberikan semangat untuk kita menambah lebih banyak ruang keampunan daripada Allah SWT. Rasulullah yang sedia diampunkan Allah tetap berzikir dan bertasbih selepas solat baginda, untuk menggambarkan kepada kita jangan berhenti untuk memohon keampunan daripada Allah SWT. Kerana kasih sayang Allah sahaja yang dapat menyelamatkan kita semua dari dijamah oleh azab-Nya yang dashsyat.

