Archive for September, 2008

Petua Anak-Anak Mentaati Ibu Bapa

Assalamualaikum wbt.
Salam Ramadan untuk semua Sahabat Fitrah. Semoga puasa hari ini memberikan kesan dan ibadah yang lebih baik berbanding puasa kelmarin.

Mendidik anak bukanlah satu perkara yang senang. Lebih-lebih lagi kita amat mengharapkan anak-anak kita mentaati perintah dan suruhan yang baik dari kita sebagai ibu bapa. Sebenarnya ada dua perkara yang sangat penting untuk ibu bapa memainkan
peranan agar anak-anak boleh mengikut dan mentaati kata-kata ibu bapa.

1. Susu Ibu

menyusu-anak.jpg

Susu tepung hanyalah sebagai altenatif

Bukanlah dimaksudkan bahawa susu ibu mampu memberikan anak-anak perubahan untuk mendengar kata-kata ibu secara saintifik, namun kaedah penyusuan yang betul dan mengikuti adab-adab yang baik sebenarnya menjadi asbab untuk anak-anak mendengar dan mentaati perintah ibu bapa. Apa yang ibu-ibu lakukan sewaktu menyusukan anak? Bagaimanakah cara ibu menyusukan anak? Sebenarnya waktu penyusuan adalah waktu yang paling sesuai untuk ibu memberikan usapan, kata-kata semangat dan doa kepada anak-anak. Dalam situasi anak yang sedang disusukan, emosi mereka sebenarnya sedang dibelai dan mudah untuk menerima kata-kata yang baik dari ibu walaupun hakikatnya mereka masih kecil. Usapan dan belaian yang diiringi dengan doa oleh ibu di ubun-ubun anak, insya Allah mereka akan mudah mendengar kata-kata ibu dan mentaati perintah ibu bapa.

2. Air Tangan

Kebiasaan memasak makanan untuk keluarga sebenarnya banyak membantu untuk anak-anak lebih mentaati ibu bapa. Air tangan ibu mampu menjadi asbab untuk anak-anak mendengar kata-kata ibu bapa bahkan mampu untuk anak-anak menunjukkan potensi diri mereka. Namun apa yang perlu diingatkan, doa semata-mata tidak akan menjadikan anak-anak mudah mendengar nasihat ibu bapa, ciri-ciri makanan yang baik dan halal juga perlu diutamakan untuk kesihatan emosi dan fizikal agar anak-anak tidak dipengaruhi oleh makanan yang tidak baik.

Walaupun dua perkara ini nampak senang, namun dalam realiti kehidupan yang sentiasa sibuk seperti hari ini dua perkara yang asas ini selalu terlepas pandang oleh kita sebagai ibu bapa. Jadi jangan kita bertanya kenapa anak-anak tidak mentaati nasihat sekiranya dua perkara belum lagi mampu dilaksanakan oleh kita sebagai ibu bapa.

1 comment - What do you think?

Wahai Isteri..Bersabarlah!

Imam  Nawawi Al-Bantani (Al-Jawi) pernah menuliskan keagungan Fathimah Az-Zahra ketika berbicara masalah hak dan kewajiban suami isteri.

suami-isteri.jpg

Isteri solehah dijamin syurga

Suatu hari Rasulullah saw menjenguk Az-Zahra. Ketika itu ia sedang membuat tepung dengan alat penggiling sambil menangis.

“Kenapa menangis, Fatimah?” tanya Rasulullah, “Mudah-mudahan Allah tidak membuat matamu menangis lagi.”

“Ayah,” Fatimah menjawab, “Aku menangis kerana batu penggiling ini, dan lagi aku hanya menangisi kesibukanku yang silih berganti.”

Rasulullah saw kemudian mengambil tempat duduk di sisinya. Fatimah berkata, “Ayah, demi kemuliaanmu, mintakan kepada Ali supaya membelikan seorang budak untuk membantu pekerjaan-pekerjaanku membuat tepung dan menyelesaikan pekerjaan rumah.”

Setelah mendengar perkataan puterinya, Rasulullah bangkit dari tempat duduknya dan berjalan menuju tempat penggilingan. Beliau memungut segenggam biji-bijian gandum dimasukkan ke penggilingan. Dengan membaca Bismillaahirrahmaanirrahiim maka berputarlah alat penggiling itu atas izin Allah. Beliau terus memasukkan biji-bijian itu sementara alat penggiling terus berputar sendiri, sambil memuji Allah dengan bahasa yang tidak dipahami manusia. Alat penggiling itu terus berjalan sampai biji-bijian itu habis.
Read more…

32 comments - What do you think?

Peristiwa Ibn Ummi Maktum

abasa.jpg 

Surah Abasa ini diturunkan oleh Allah SWT kerana satu peristiwa yang berlaku terhadap Ibn Ummi Maktum telah menyebabkan Allah SWT telah menegur perbuatan yang dilakukan oleh baginda.

Ibn Ummi Maktum atau Amr Ibn Qays merupakan anak lelaki kepada bapa saudara Khadijah r.a. Beliau merupakan golongan muhajirin pertama dan merupakan seorang yang buta. Satu ketika Rasulullah s.a.w berada dalam satu majlis bersama dengan pemimpin-pemimpin besar Quraish, datang Ibn Ummi Maktum menghadap baginda. Baginda yang sedang berdakwah kepada golongan
pemimpin-pemimpin ini tentang hari kiamat dan kekuasaan Allah SWT amat berharap dakwahnya akan diterima kerana penerimaan Islam oleh pemimpin-pemimpin besar Quraish akan membantu usaha perkembangan dakwah ini dengan lebih mudah.

Dalam suasana Rasulullah s.a.w sedang becakap-cakap dengan pemimpin-pemimpin ini, tiba-tiba Ibn Ummi Maktum mencelah perbualan baginda, “Ya Rasulullah bacakan dan ajarkanlah aku apa yang telah diajarkan oleh Allah kepada tuan.” Berulang kali beliau mengulangi percakapannya tanpa dia mengetahui situasi Rasulullah bersama dengan pemimpin-pemimpin Quraish. Rasulullah pula
bersa tidak senang dengan percakapan yang diulang-ulang oleh Ibn Ummi Maktum sehingga berubah pada raut muka baginda, menjadi masam lalu berpaling.

Kerana perlakuan Nabi ini maka Allah SWT telah menegur baginda kerana telah menyebabkan si buta yang lemah dan miskin ini berasa sedih dan kecewa. Teguran Allah ini adalah bertujuan untuk menyambut kedatangan orang yang berfikiran matang dan jangan mengabaikannya semata-mata kerana mengutamakan golongan bangsawan yang tidak mempunyai fikiran yang tidak matang.

Selepas ayat ini diturunkan kepada baginda s.a.w, Rasulullah selalu memuliakan Ibn Ummi Maktum dan selalu berkata kepada beliau apabila bertemu, “Selamat datang wahai orang yang menyebabkan Tuhanku menegurku!” dan selalu bertanya, “Apa yang kau perlukan?”

2 comments - What do you think?

Ahlan Wasahlan Ya Ramadan

Hari berganti hari, siang berganti malam tanpa kita sedari Ramadan sekali lagi menemui kita. Ahlan wasahlan ya Ramadan, kami merindui kehadiranmu. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) telah datang kepada kamu, dalamnya ada malam yang amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Marilah kita sama-sama merafa’kan kesyukuran kerana dengan rahmat dan kasih sayangnya kita masih diberi peluang untuk bertemu dengan bulan yang penuh dengan rahmat keampunan dan pelepasan dari azab api neraka, bulan yang tinggi dan kedudukannya di sisi Allah dan RasulNya.

Bagi melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga ini, penghayatan yang lebih baik perlu dipertingkatkan bagi mengisi bulan yang barakah ini. Puasa yang dilaksanakan biarlah lebih baik dari tahun yang sebelumnya. Sebenarnya Ramadan yang kita cintai ini tersirat satu azam yang perlu kita tunaikan, iaitu azam untuk menjadikan amal ibadah atau pekerjaan harian kita pada tahun ini lebih bermutu. Tetapi sayangnya masyarakat kita tidak memandang apa yang tersirat ini, sebaliknya azam atau niat yang baru hanya difokuskan pada awal tahun Masihi sebagai titik permulaan untuk memulakan azam baru.

Ramadan memberikan ruang perancangan yang luas untuk kita menetapkan matlamat, memperincikan amal ibadah yang ingin kita laksanakan agar ibadah  dan tugasan harian yang dilakukan dalam bulan ini lebih tersusun dan konsisten dalam pelaksanaannya. Bukan sekadar melaksanakannya tanpa perancangan. Ramadan yang diberkati ini hanyalah sekali sahaja dalam setahun. Maka sudah tentu pengisiannya perlu dihayati dari pelbagai aspek supaya ibadah puasa, solat terawih, membaca al-Quran akan lebih baik dan sempurna.

Satu perkara yang diingatkan oleh Rasulullah s.a.w kepada umatnya agar berhati-hati supaya tidak dikategorikan di kalangan orang yang ditolak puasa mereka sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
Berapa ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga
(Hadis riwayat An-Nasai)

Golongan yang ditolak puasa mereka ini ialah golongan yang tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakan ibadah ini. Mereka hanya beranggapan Ramadan hanya bulan yang biasa dan puasa yang dilakukan hanyalah sebagai menutup malu kepada masyarakat sekeliling. Ada juga di kalangan kita yang hanya menghayati puasa dengan menjadikannya pesta untuk merasa pelbagai
jenis juadah di bazar Ramadan dan mebeli belah semata. semua ini bukanlah salah tetapi janganlah aktivit-aktiviti ini mencuri masa kita beribadah kepada Allah lebih-lebih lagi dalam bulan yang mulia ini.

Lantaran itulah pengisian Ramadan perlu dirancang, agar amal ibadah yang dilakukan adalah ibadah yang berkualiti dan diberikan ganjaran yang besar di sisi Allah. Semoga Ramadan kali ini mampu membawa perubahan yang positif kepada kehidupan kita.

Ahmad Shukri Yusoff
www.fitrahpower.com

Be the first to comment - What do you think?