Jangan Berfikir Untuk Bersedekah
Assalamualaikum wbt kepada semua Sahabat Fitrah. Semoga berada di bawah naungan Allah SWT.
Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saW., sabdanya: ”
Ada seorang lelaki berkata, “Aku hendak bersedekah malam ini.” Lalu dia keluar membawa sedekahnya dan disedekahkannya kepada perempuan lacur. Esok pagi orang banyak mempercakapkan bahawa tadi malam ada pelacur yang diberi orang sedekah. Orang itu berujar, “Wahai, Allah! Segala puji bagi-Mu yang telah mentakdirkan sedekahku jatuh kepada pelacur. Aku akan bersedekah lagi.” Dia pergi pula membawa sedekahnya, lalu diberikannya kepada orang kaya.
Pagi-pagi orang banyak mempercakapkannya pula, bahawa tadi malam ada orang memberi sedekah kepada orang kaya. Lalu orang yang bersedekah itu berkata, “Wahai, Allah! Untuk-Mulah segala puji, kerana Engkau telah menjadikan sedekahku jatuh kepada orang kaya. Aku akan bersedekah lagi.” Dia pergi pula membawa sedekahnya, dan diberikannya kepada si pencuri. Pagi-pagi orang banyak mempercakapkannya pula, bahawa tadi malam ada orang bersedekah kepada pencuri. Orang yang bersedekah itu pun berujar pula, “Segala puji bagi Allah yang telah mentakdirkan sedekahku jatuh kepada pelacur, kepada orang kaya, dan kepada pencuri.’
Kemudian orang itu didatangi malaikat seraya katanya :”Sedekah anda sudah diterima baik oleh masing-masing orang yang anda beri sedekah. Adapun perempuan lacur, semoga dia berhenti dari perbuatan melacur; kepada si kaya, semoga dia menyedari dirinya dan bersedekah pula; dan untuk si pencuri, semoga dia berhenti mencuri.”[HR Muslim]
Berdasarkan hadis ini jelas sekali kepada kita bahawa sedekah kita tetap diterima oleh Allah seandainya ada keikhlasan di atas apa yang disedekahkan oleh kita. Sesiapa pun yang menerima sedekah kita tidak menjadi masalah, walaupun mungkin pada pandangan nilaian mata manusia sedekah yang kita lakukan berlaku di luar adat manusia. Tetapi bila kita membaca mafhum hadis ini jelas sekali apabila kita timbul niat untuk bersedekah, maka jangan kita berfikir panjang kepada siapa dan berapakah jumlahnya yang akan kita keluarkan untuk bersedekah.
Lelaki yang disebut di dalam hadis ini tidak menghiraukan apa jua perkataan yang keluar walaupun sedekah yang dikeluarkan tidak menepati nilaian mata manusia, namun apa yang lebih penting ialah nilaian amal kebajikan di sisi Allah SWT.
Jadilah golongan yang memberi kerana kedudukannya jauh lebih mulia berbanding mereka yang menerima. Allah SWT amat memuliakan golongan yang memberi ini, tetapi seandainya mereka memberi tetapi dalam keadaan si penerima tidak redha dan merasa benci dengan pemberian dan sedekahnya kerana wujud kejian dan kata-kata yang tidak baik, maka adakah ianya mendapat rahmat di sisi Allah? Mudah-mudahan amal baik kita ini diterima oleh Allah SWT.
Mimpi Yusuf
“(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: “Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku”. Bapanya berkata:” Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia. “ [Surah Yusuf: 4-5]
Demikianlah Nabi Allah Yusuf a.s diberikan anugerah oleh Allah SWT menjadi pemimpin yang hebat. Namun di sebalik kejayaan baginda, pelbagai episod ujian kehidupan telah dilalui oleh baginda. Di awal kisah Nabi Yusuf, Allah SWT menceritakan tentang mimpi wahyu yang diturunkan kepada baginda bahawa baginda telah melihat sebelas bintang , matahari dan bulan telah tunduk kepadanya.
Tafsir Ibn Kathir menceritakan tentang ayat ini bahawa sebelas bintang yang dilihat oleh Yusuf adalah diibaratkan sebagai saudara-saudara lelaki baginda, kerana Yusuf mempunyai sebelas orang adik beradik. Matahari dan bulan yang itu pula diibaratkan oleh ulama tafsir sebagai
ayahanda dan bondanya. Demikanlah jika dilihat berdasarkan ayat di atas bahawa mimpi Yusuf menjelaskan bahawa ahli keluarga Yusuf akan menghormati Yusuf pada suatu masa. Ulama-ulama seperti Ibn Abbas, Ad-Dhohhak, Qatadah dan Sufian As-Sauri menjelaskan bahawa mimpi Yusuf ini menjadi kenyataan selepas 40 tahun daripada apa yang dilihat Yusuf di dalam mimpinya.
Mimpi inilah merupakan titik tolak bermulanya perubahan dalam kehidupan baginda Yusuf a.s. Ayahanda baginda, Nabi Yaakub a.s telah mengetahui rahsia mimpi yang diceritakan oleh Nabi Yusuf bahawa dia telah dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi rasul. Namun Nabi Yaakub mula merasa bimbang kerana saudara-saudara Yusuf yang iri hati terhadap Yusuf pasti akan melakukan sesuatu rancangan jahat terhadap Yusuf. Lantaran itulah Nabi Yaakub mengingatkan Yusuf a.s supaya tidak menceritakan perihal mimpinya kepada saudara-saudaranya yang lain.
Bermula dari mimpi inilah, Nabi Allah Yusuf diuji dengan pelbagai ujian yang amat getir sehingga Nabi Allah Yaakub merasakan bahawa dia tidak mampu menghadapi sekiranya berlaku sesuatu yang buruk terhadap Yusuf.
Berani Mengaku Kesalahan Diri
Assalamualaikum wbt. Salam Fitrah untuk semua.
Dari Imran bin Husain r.a. katanya: “Seorang perempuan dari suku Juhainah datang menghadap kepada Nabi saw. padahal dia sedang hamil akibat melakukan zina. Lalu katanya, “Ya, Nabiyallah! Aku telah melanggar hukum; maka tegakkanlah hukum itu atas diriku!” Kerana itu Rasulullah saw memanggil wali perempuan itu, lalu beliau bersabda kepadanya, “Rawatlah perempuan ini sebaik-baiknya. Apabila dia telah melahirkan, bawalah dia ke hadapanku!” Perintah Nabi saw. Itu dijalankan oleh walinya sesuai dengan yang diperintahkan beliau. Setelah perempuan itu melahirkan, maka dia dihadapkan kepada Rasulullah saw. Lalu dikenakan pakaiannya dengan erat. Kemudian Nabi saw. memerintahkan supaya dia dihukum rajam, lalu ia dirajam. Setelah dia tewas, Nabi saw. melakukan solat jenazah baginya. Maka bertanya ‘Umar kepada beliau, “Perlukah dia disolatkan, ya Nabiyallah? Bukankah dia berzina?” Jawab beliau, “Dia telah taubat sebenar-benarnya taubat. Andaikata taubatnya itu dibagi kepada tujuh puluh orang penduduk Madinah, pasti cukup bagi mereka. Manakah lagi taubat yang lebih utama daripada menyerahkan nyawa kepada Allah Ta’ala secara ikhlas?” [HR Muslim]
Berdasarkan hadis ini pengajaran yang paling penting ialah kita berani mengaku kesalahan yang kita lakukan walaupun mungkin impak buruk dari pengakuan itu mungkin akan memakan diri kita dan menerima penghinaan di sisi manusia. Kita sebagai manusia sememangnya tidak lepas dari kesalahan dan kelalaian. Namun mengapa kita tidak mampu mengaku kesalahan kita?
Pengajaran dari hadis ini juga bahawa Allah SWT telah menurunkan agama yang sangat menyayangi umatnya kerana perbuatan zina yang buruk di sisi agama tetap mendapat tempat yang tinggi di akhirat sekiranya dia benar-benar bertaubat dan menyesal di atas apa yang telah lakukannya.
Dan agama Islam tidak mendiskriminasikan mereka yang melakukan kesalahan dan dosa asalkan mereka bertaubat. Rasulullah s.a.w dan para sahabat tetap menyembahyangkan jenazah perempuan dari suku Juhainah yang melakukan zina ini.
Spiritual Leadership Training (MARA)
Assalamualaikum w.b.t
Salam sejahtera buat semua pembaca. Alhamdulillah syukur ke-hadrat Ilahi, Fitrah Power Resources telah selesai menjalankan kursus Spiritual Leadership Training (SLT) yang berlangsung di MITC Ancasa Hotel, Ayer Keroh Melaka pada 13-15 Oktober 2008. Spiritual Leadership Training ini adalah satu latihan yang mendedahkan apakah kepimpinan spiritual, ciri-cirinya dan bagaimana aplikasinya. Para peserta pula adalah terdiri daripada penolong pengarah dan penolong pengetua di institusi- institusi pengajian MARA seluruh semenanjung Malaysia.
Terima kasih dan jazakumullah khairan kathiran kepada semua peserta yang sangat sporting dalam menjayakan Kursus Spiritual Leadership Training (SLT) kali ini. Kursus SLT ini adalah siri kedua bagi kakitangan MARA, namun Kursus Kendiri Fitrah yang dianjurkan oleh ILHAM telah pun diadakan sebanyak 4 siri sebelum ini. Semoga ukhwah yang telah terjalin dengan pertemuan kita yang singkat selama 3 hari itu diredhai dan diberkati Allah SWT insyallah. Semoga kursus ini juga menjadi salah satu pencetus terhasilnya pemimpin yang berjiwa dan berperwatakan spiritual dambaan insan. Wallahua’lam.

Slot Tarbiah Kepimpinan Spiritual disampaikan oleh Ustaz Ahmad Shukri

Bengkel Kemahiran Kepimpinan Spiritual yang dikendalikan oleh Tuan Haji Abas bin Awang

Game santai menenang minda dan menggilap hati yang berdebu.

