Logo Background RSS

» 2008 » October

  • Hakikat Penyakit Riak
    October 17th, 2008 | 9 Komen9 Comments Comments

    Assalamualaikum w.b.t

    Firman Allah dalam surah al-Ma’un ayat 4-6

    picture1.jpg

    Maksudnya: Maka celakalah bagi orang yang solat. (Iaitu) orang yang lalai solatnya dan orang-orang yang riak. 

    Alhamdulillah… Terima kasih kepada semua pelawat laman web kami ini kerana sudi melawat dan memberikan komen yang bernas anda. Sokongan anda amat kami hargai. Semoga usaha dakwah kami menerusi laman maya ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT dan manfaatnya dapat di ambil oleh semua, Insyaallah….

    Ramai dikalangan kita pernah mendengar perkataan riak ini, tetapi tidak ramai yang sedar bahawa penyakit ini telah wujud dalam diri tanpa disedari dan tidak tahu bagaimana ianya muncul dan seterusnya merebak. Di sini kami akan merungkaikan apakah itu penyakit riak, bagaimana kehadirannya dan bagaimana mengatasinya. Semoga dengan rungkaian ini anda dapat mengambil iktibar dan cuba mengenalpasti adakah riak itu pernah ada dalam diri anda dan ikuti panduan yang kami berikan untuk membuang terus ataupun mengurangkan sedikit penyakit yang merosakkan hati anda tersebut.

    Pengertian riak

    Riak itu ialah melakukan kebaikan dan amal ibadat semata-mata untuk mencari tempat di dalam hati manusia.

    Perkara yang diriakkan oleh manusia;

      1- Riak dari segi badan

    Riak jenis ini menunjukkan seseorang itu menampakkan keletihannya kerana berpuasa dan banyak berjaga malam untuk beribadat.

    2- Riak pada pakaian

    Seseorang itu memakai pakaian yang menunjukkan kewarakan dirinya sedangkan hakikatnya tidak. Memakai pakaian sebegini di hadapan golongan tertentu kerana kepentingan diri sedangkan di waktu lain dia bukanlah sebegitu malah hatinya juga bukanlah berniat untuk mendapat keredhaan Allah tetapi mengharap penghormatan daripada orang lain.

    3- Riak dengan perkataan.

    Riak ini adalah seseorang itu menunjukkan dirinya seorang yang benar dan ikhlas melalui perkataan yang keluar dari bibirnya. Tuturnya seperti seorang penasihat dan pensyarah. Dia memilih lafaz-lafaz yang halus dan dalam maknanya juga kata- kata hikmat beserta hadith. Dia juga berkata seperti kata para Nabi dan aulia sedangkan pada hakikatnya dia sebenarnya sunyi dan kosong.

    4- Riak pada amalan

    Orang sebegini adalah sering menzahirkan khusyuk dalam solat dan sengaja memanjang-manjangkan rukuk dan sujud apabila ada orang melihatnya. Orang seperti ini sering bersedekah secara terang-terangan, pergi menunaikan fardhu haji, berjalan menundukkan kepala dan kurang berpaling ke kanan dan ke kiri padahal Allah mengetahui batinnya. Sedangkan jika dia bersendirian amalannya bukan sempurna sebegitu, seperti solat dengan cepat, berjalan laju dengan matanya sering meliar ke sana ke mari dan sebagainya.

    5- Riak dengan ramainya murid dan pengikut.

    Seseorang itu berasa bangga dengan murid dan pengikut yang ramai. Demikian juga seperti seseorang yang sering menyebut nama ulama’ itu dan ulama’ ini bagi menunjukkan dirinya seorang yang banyak bertemu dengan syeikh dan ulama.

    Peringkat Riak

    1- Riak Akbar
    Riak akbar ialah seseorang itu taat melakukan ibadat tetapi untuk mendapatkan sesuatu daripada manusia dan bukanlah untuk beroleh keredhaan Allah SWT. Riak ini adalah berpaling terus daripada Allah pada keseluruhannya kerana hanya berkiblatkan manusia.

    2- Riak Asghar
    Riak asghar ini pula ialah melakukan sesuatu untuk mendapatkan apa yang ada pada manusia dan apa yang pada Tuhan iaitu melakukan amal kerana Allah dan kerana yang lain daripada-Nya. Riak ini adalah lebih ringan daripada riak akbar kerana orang itu menghadap Allah pada satu segi dan kepada manusia pada satu segi yang lain.

    3- Riak Jali ( yang terang )
    Riak ini ialah mendorong seseorang itu untuk melakukan amal ibadat. Sehinggakan jika tanpa riak ini dia tidak berminat untuk melakukan amal.

    4- Riak Khafi ( yang tersembunyi )
    Riak ini pula ialah riak yang tesembunyi dan ianya tersembunyi dalam hati di mana ianya mendorong seseorang itu untuk lebih rajin beribadat.

    Bagaimana mengelakkan sifat riak?

    Rawatan terbaik bagi segala penyakit di muka bumi ini adalah menghindari dengan menjauhi sebab-sebab
    dan punca terjadinya penyakit. Begitu jugalah kepada penyakit riak ini, iaitu menjauhi sebab-sebab yang
    boleh membawa kepada perasaan itu, antaranya ialah;
    1- Sifat suka dipuji oleh orang lain. Sifat ini akan membawa kepada bangga diri dan suka menunjuk-nunjuk
    kelebihan kepada orang lain.
    2- Takut dikritik atau dicerca oleh orang lain. Ketakutan ini boleh membawa kepada penampilan yang kurang jujur
    dan suka berpura-pura.
    3- Cintakan kehidupan dan kemewahan dunia dan lupa pada kematian. Seseorang itu melakukan segala pekerjaan
    adalah semata-mata kerana untuk menarik perhatian orang lain, dan menganggap dirinya hebat. Manusia  sebegini mengharapkan ganjaran atas segala pekerjaan yang dilakukan.

    Setelah mengetahui sebab-sebab yang menjadi punca riak, mari kita lihat bagaimanakah cara untuk menghindarinya. Terdapat beberapa cara untuk menghindari sifat riak daripada menguasai hati;
    1- Sentiasa mengingatkan diri sendiri tentang perkara yang diperintahkan Allah dan juga sering menyucikan
         hati dengan melakukan ibadat-ibadat khusus seperti zikir dan membesarkan kekuasaan Allah.
    2- Mengawasi diri agar sentiasa takut akan kemurkaan Allah. Dengan tabiat ini akan membawa diri
         agar sentiasa berwaspada dalam melakukan perkara yang boleh mengheret kepada dosa dan seksaan
         Allah pada hari akhirat kelak.
    3- Berwaspada terhadap perkara-perkara yang boleh menghapuskan pahala amalan yang dilakukan akibat riak.
    4- Menanamkan dalam diri perasaan bahawa melakukan sesuatu itu kerana manusia sehingga membawa
         kemurkaan Allah itu adalah suatu perkara yang buruk dan patut dijauhkan.
    5- Sentiasa mengawasi diri daripada lalai terhadap ujian dan nikmat yang dikurniakan Allah untuk
         menghampirkan diri kepada Allah.
    6- Ikhlaskan diri dalam setiap amalan yang dilakukan.

    Apabila berasa suka dipuji dan diberi penghargaan setiap kali membuat sesuatu perkara yang baik
    dan berasa terhina apabila ditegur, maka inilah tanda wujudnya sifat riak. Adakalanya terdapat juga
    orang yang melakukan amal kebajikan dengan niat ikhlas kerana Allah, namun dia mendapat mendapat
    perhatian daripada orang lain atas amalannya. Keadaan ini tidak diambil kira sebagai riak kerana dia
    sememangnya niat dengan ikhlas pada awalnya. Namun untuk melakukan satu-satu ibadat pada
    permulaannya memang akan timbul perasaan riak dan rasa bangga diri, namun apabila amal itu
    sering dilakukan dan berterusan dengan niat ikhlas pastinya perasaan riak itu akan terhapus
    sedikit demi sedikit.

    Janganlah takut untuk pergi ke masjid, mendengar tazkirah, menunaikan solat jemaah dan
    sebagainya kerana takut akan dikatakan riak sedangkan dengan riak itulah akan mendorong
    dan menggalakkan kita untuk beramal dan meningkatkan ibadat. Tetapi jangan biarkan perasaan
    riak itu terus menerus menguasai diri kerana apabila ada riak dalam setiap amalan maka
    amalan yang dilakukan adalah sia-sia belaka. Wallahua’lam.

  • 8 Cara Menjadi Suami Terhebat
    October 16th, 2008 | 7 Komen7 Comments Comments

    Assalamualaikum w.b.t. 

    Setiap isteri amat mendambakan seorang suami yang boleh menjadi pembantu dan juga penyenang hatinya, bukan hanya si isteri sahaja yang perlu menyenangkan dan juga menolong suaminya. Inilah rahsia kebahagiaan rumah tangga yang jika suami dan isteri sama-sama dapat memahami dan memenuhi keperluan dan kehendak pasangannya, rumah tangga yang sedia terbina akan terus terjalin bahagia dan dibarkahi. Berikut adalah beberapa tip yang boleh dijadikan panduan kepada suami mahupun bakal suami dalam meningkatkan pengetahuan tentang kehendak hati isteri dan sekaligus meningkatkan kepercayaan dan keyakinan si isteri terhadap suami dalam memimpin keluarga.

    1. Imam Solat
    Suami yang mampu menjadi imam dalam solat adalah amat jelas mampu memimpin rumah tangganya.  Maka isteri akan hormat kerana suaminya mempunyai kredibiliti yang sememangnya menjadi tuntutan dalam berkeluarga. Mampu menjadi imam dalam solat adalah tanda bahawa suaminya mampu memimpinnya ke jalan yang lebih baik dalam agama.

    2. Mengajarkan ilmu-ilmu agama
    Ini adalah perkara mencabar untuk anda wahai bakal suami dan para suami kerana bukan untuk kita membimbing keluarga dengan ilmu-ilmu agama. Ramai di antara kita hari ini mampu menyediakan peralatan hiburan di rumah tetapi tidak dapat menyediakan peralatan untuk mengajarkan ilmu-ilmu agama. Sekiranya kita tidak mampu, carilah guru yang dapat membimbing kita dan keluarga kita.
      
    3. Suami yang matang
    Ramai suami nampak matang sebelum mendirikan rumah tangga, tetapi hakikatnya tidak setelah mereka berkeluarga. Suami perlu matang dalam memberikan keputusan kerana isteri tetap akan meminta pandangan suami walaupun dia mungkin dapat membuat keputusan terhadap sesuatu perkara.

    4. Pandai Memasak
    Suami adalah penjaga kepada isteri dan anak-anak. Jangan kita hanya menjadi suami yang hanya tahu memakan air tangan isteri, kerana sebenarnya isteri juga akan lebih menyayangi suami yang pandai memasak. Air tangan suami juga mampu mengeratkan hubungan antara suami isteri dan juga anak-anak.

    5. Suami yang ‘independent’
    Tahu menguruskan diri sendiri. Jangan hanya mengharapkan isteri untuk membasuh pakaian dan menggosok baju kerana ada waktunya mungkin isteri kita tidak dapat melakukan itu semua. Suami yang mampu melakukan kerja-kerja isteri mampu kelihatan comel dan romantik di mata si isteri. Cubalah, anda pasti akan nampak hasilnya nanti! 

    6. Mempunyai prinsip dan pendirian
    Suami tidak boleh kelihatan lemah dengan hanya mendengar dan mengikut pandangan ahli keluarga sekiranya berlaku masalah keluarga. Pendirian ini akan menunjukkan bahawa anda suami yang hebat di mata isteri. Pandangan ahli keluarga hanyalah pembimbing bukanlah keputusan kepada masalah anda.

    7. Menjaga anak-anak bersama isteri
    Banyak berlaku di kalangan kita, isteri ditatang bagai minyak yang penuh ketika sedang mengandung, tetapi setelah selamat bersalin suami hanya menyerahkan penjagaan anak kepada isteri sepenuhnya. Lebih-lebih lagi jika anak yang dilahirkan bukan anak sulong. Isteri mengalami kepenatan menguruskan rumah tangga 2 kali ganda selepas melahirkan anak. Tanggungjawab ini juga perlu dirasai oleh suami. Bersamalah bangun malam ketika anak menangis kelaparan. Pastinya isteri akan lebih menghargai kerjasama yang anda berikan.

    8. Jadilah suami serba tahu
    Suami yang serba boleh dengan erti kata mempunyai pengetahuan yang serba-serbi. Isteri amat rasa kagum apabila suaminya mempunyai pengetahuan dalam pelbagai bidang. Baik dari selok-belok rumah tangga, ekonomi, politik, pendidikan dan sebagainya. Suami yang sebegini bukan sekadar disayangi isteri bahkan juga disayangi mertua.

  • Puasa Syawal
    October 15th, 2008 | 1 Komen1 Comment Comments

    Assalamualaikum wbt.

    Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kita masih dipanjangkan usia untuk terus berada di atas bumi Allah ini. Sahabat Fitrah yang dirahmati sekalian.

    Dari Abu Ayyub Al Anshari r.a.katanya Rasulullah saw. bersabda:
    “Siapa yang puasa bulan Ramadhan, kemudian diiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka yang demikian itu seolah-olah berpuasa sepanjang masa.”
    [HR Muslim]

    Demikianlah Rasulullah s.a.w mengajarkan kita satu amal yang sangat baik iaitu kita berpuasa enam hari di dalam bulan Syawal sebagai satu kesinambungan bahawa Islam tidak hanya mewajibkan puasa di bulan Ramadan semata-mata, bahkan Islam juga menganjurkan juga
    kepada kita supaya mendekatkan diri serta terus mengamalkan ibadah berbentuk puasa ini di dalam bulan Syawal.

    Dan Allah SWT memberikan ganjaran yang besar kepada mereka yang berpuasa enam hari di dalam bulan ini sebagai satu galakan dan motivasi supaya kita tidak hanya melaksanakan tuntutan wajib berpuasa di dalam bulan Ramadan.Puasa enam hari digandakan pahalanya seperti berpuasa sepanjang masa. Secara logiknya sudah tentu tidak akan mampu difikirkan oleh akal kita sebagai makhluk Allah. Tetapi Allah SWT Maha Kaya untuk memberikan ganjaran yang lebih hebat lagi seandainya kita istiqamah dalam melaksanakan ibadat kepada-Nya.

    Di dalam pertengahan bulan Syawal ini, sudah pasti kita masih menyambut Aidilfitri, maka sudah pasti kita tidak terlepas dari undangan rumah terbuka dan ziarah menzirahi antara satu sama lain. Namun apa yang lebih penting jangan kita menjadikan alasan untuk kita tidak mengambil faedah dan peluang untuk sama-sama kita menunaikan ibadah sunat ini kerana pahalanya yang mungkin dapat menampung kekurangan yang berlaku sepanjang kita menunaikan ibadah puasa di dalam Ramadan.

    Di ruang Syawal yang masih ada ini, tanyalah diri kita adakah kita sudah pun mula berpuasa atau kita masih hanya sekadar sibuk dengan Aidilfitri tanpa ada pengisiannya?