Archive for October, 2008

10 Sebab Anda Gagal Menyelesaikan Tugasan Di Tempat Kerja Dengan Baik

525946483_0b386b781d_o.jpg

Assalamualaikum w.b.t.

Anda mungkin pernah mengalami masalah tidak dapat menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh ketua dengan baik. Cuba anda semak kembali apakah faktor-faktor yang menjadi punca masalah anda itu, semoga dengan ini anda dapat mencari jalan penyelesaian bagi masalah anda itu.

1. Terlalu banyak gangguan
Berdasarkan kajian yang telah dibuat, antara gangguan yang sering berlaku di tempat kerja ialah mesyuarat yang tak dirancang, panggilan telefon, suasana bising dan sebagainya.

2. Anda tidak mempunyai sumber yang lengkap.
Seumpama tukang masak yang memerlukan sudip dan kelengkapan memasak yang lain, begitu jugalah dengan pekerja yang memerlukan maklumat dan kelengkapan kerja seperti komputer dan data-data yang diperlukan untuk menghasilkan kerja yang memuaskan dan tepat pada masanya.

3.  Anda tidak tahu apa yang hendak dilakukan.
Menurut Clayton Warholm, seorang pakar di dalam komunikasi di tempat kerja, terdapat dua punca pekerja tidak mahir dalam melakukan kerja mereka. Samada tugasan yang diberikan itu tidak dijelaskan secara terperinci oleh ketua ( tidak tahu apa hendak dibuat) ataupun pekerja itu tidak dilatih dengan baik ( anda tidak tahu bagaimana untuk melakukannya).

4. Anda mempunyai  terlalu banyak tugasan
Sesetengah orang mempunyai terlalu banyak kerja yang tidak mungkin dapat disiapkan walaupun terpaksa bekerja 24 jam sehari selama 7 hari seminggu. Perkara ini biasa berlaku dalam mana-mana organisasi yang mempunyai pekerja yang sedikit. Akibatnya, kekecewaan akan berlaku apabila anda tidak dapat menyiapkan tugas kerana tidak mungkin akan dapat melakukannya.

5.  Anda tiada kemahiran menguruskan masa.
Pekerja yang mempunyai kemahiran ini melakukan apa yang paling penting tetapi sebaliknya  pula bagi yang lemah pengurusan masanya melakukan apa yang dilihatnya senang dan menyeronokkan.

6. Anda seorang yang suka bertangguh.
Kenapa harus menunggu esok jika perkara itu boleh dilakukan hari ini? Anda mungkin menangguhkan sesuatu kerja itu kerana anda khuatir hasil kerja anda itu tidak memuaskan hati. Sebagai contoh, sekiranya anda takutkan kegagalan dan khuatir akan menghasilkan kerja yang kurang bagus, maka anda akan membuka peluang untuk anda mengelak daripada melakukan apa-apa. Walaupun anda sebolehnya inginkan kesempurnaan dalam setiap hasil tugas yang anda lakukan, tetapi bos ataupun client anda lebih melihat kepada kerja yang kurang sempurna daripada anda tidak melakukan langsung kerja tersebut.

7. Anda rasa tidak dihargai
Sekiranya anda merasakan diri anda tidak dihargai ataupun anda memperolehi gaji yang tidak setimpal dengan kerja yang anda lakukan, maka anda mungkin tidak dapat memberikan 100%  komitmen dalam kerjaya yang anda ceburi. Secara sedar ataupun tidak kebanyakan pekerja cuba untuk menyeimbangkan antara ‘memberi dan diberi’ antara mereka dan majikan. Mereka akan melakukan kerja berdasarkan kepuasan hati mereka terhadap majikan. Pekerja yang merasakan mereka tidak dihargai akan menjadi kurang berusaha, kerap mengambil cuti, cuai dan sebagainya.

8. Keutamaan syarikat yang bertukar-tukar.
Anda sedang menyiapkan projek A, tetapi tiba-tiba majikan anda mengarahkan supaya anda meninggalkan seketika projek A tersebut dan memberikan tumpuan kepada projek B. Apabila perkara ini berlaku, anda akan berfikir bahawa anda tidak menyelesaikan tugas anda, tetapi majikan anda berfikir sebaliknya. Setengah orang adalah flexible dan senang untuk serasi dengan arahan yang baru dan teruja untuk melakukan tugas yang baru tetapi ada juga sesetengah orang yang akan merasa kecewa apabila tidak dapat menyiapkan sesuatu projek. Jika anda adalah orang yang kedua seperti disebutkan tadi dan bekerja di dalam industri yang sepanjang masa akan berlaku perubahan, maka anda perlu mempertimbangkan untuk menukar kerjaya anda.

9. Anda ‘Burned out’
Merujuk kepada website American Psychological Association, burnout ialah keletihan emosi yang disebabkan oleh tekanan yang teruk di tempat kerja. Ia mungkin kerana suasana tempat kerja yang negatif seperti pekerjanya sering bermusuh antara satu sama lain, tertekan dengan deadline yang ketat, jangkaan dan harapan yang terlalu tinggi terhadap sesuatu perkara, kerisauan dan melakukan kerja yang tidak sepadan dengan kemampuan. Kesemua ini adalah antara sebab dan punca berlakunya tekanan jantung dan sakit-sakit yang lain.

10. Ganjaran bagi tugasan yang telah anda siapkan.
Anda mungkin seorang yang hebat kerana dapat menyiapkan tugas sebelum ataupun tepat pada masanya. Namun peliknya, kebanyakan organisasi menghadiahkan pekerja yang rajin dan bekerja keras itu dengan tambahan kerja yang lebih banyak menggantikan bonus atau faedah yang lain. Sekiranya perkara ini berlaku di dalam organisasi anda, tidak mustahil anda akan merasakan tidak termotivasi untuk bekerja dengan lebih keras.

11 comments - What do you think?

Fitrah Anak-anak Cenderung Mewarisi Peribadi Bapa

2244285582_61bc8dee62.jpg

Assalamualaikum w.b.t

Allah berfirman di dalam Al-Quran surah Al-Kahfi ayat 82:

 al-kahfi-82.jpg

Maksudnya: “…dan di bawah (tembok) itu ada simpanan dari harta kekayaan kedua anak yatim iu, seorang bapa mereka dahulu adalah seorang yang soleh…”

Dan firman Allah dalam surah Maryam ayat 28:

maryam-28.jpg

Maksudnya: ” Wahai saudara perempuan Harun, bapamu dahulu bukanlah orang yang berakhlak buruk…”

Huraian 

Ayat pertama menceritakan tentang kisah nabi Khidir yang memperbaiki pagar tmbok yang hampir roboh milik dua anak yatim di suatu desa di Palestin ketika beliau merantau bersama Musa A.S. Di bawah pagar tembok anak yatim ini terdapat kekayaan terpendam. Nabi Khidir mengetahui hal ini dari wahyu yang Allah berikan kepadanya. kerana itu, pagar tembok yang hampir roboh ini diperbaiki oleh nabi Khidir. Kemudian Nabi Musa meminta Nabi Khidir supaya meminta upah dari pemilik pagar tembok tersebut, tetapi nabi Khidir enggan dan memberitahu bahawa bapa pemilik itu dahulunya adalah seorang yang soleh.

Mengapa bapa?

Disebutkan bapa pada sebahagian besar ayat-ayat Al-Quran yang membicarakan masalah ibu bapa yang harus memberikan tumpuan kepada perasaan yang terpendam dalam diri anak-anak. Allah menyatakan masalah ini dengan lebih menyebutkan bapa sehingga istilah ibubapa itu lebih cenderung bermaksud bapa.

Al-Quran menyebutkan bapa lebih menonjol daripada ibu dalam sebahagian besar ayat-ayat yang berkenaan keluarga bukan semata-mata mengikuti langgam bahasa Arab, tetapi kerana fitrah anak-anak itu cenderung membanggakan bapanya berbanding ibunya. Antara beberapa alasan yang logik di sini seperti:

a) Anak dilahirkan dengan benih daripada lelaki

b) Bapa lebih besar kewibawaannya daripada ibu.

c) Tanggungjawab bapa lebih besar dalam usaha memenuhi keperluan keluarganya.

d) Allah menetapkan lelaki adalah sebagai pemimpin dan pembimbing keluarga.

Jelaslah di sini peranan seorang lelaki itu besar, justeru mental anak-anak akan lebih dominan mengakui kehebatan dan kepentingan bapanya berbanding ibunya. Apabila bapa memberikan contoh yang baik, maka secara automatiknya anak akan lebih cenderung mengikutnya dan sekaligus membantu kepada pertumbuhan keperibadian anak yang positif. Namun apabila bapa tidak memberikan contoh yang baik kepada anak-anaknya, maka di situ akan terjadilah kekecewaan dan kehampaan anak itu terhadap bapanya lalu mengakibatkan gangguan kepada mental anak-anak tersebut. Apabila berlaku gangguan mental ini, anak-anak akan mencetuskan masalah seperti memberontak dengan melakukan perbuatan-perbuatan tertentu untuk menunjukkan tanda protesnya kepada ibu bapa. Di sini bapa haruslah memuhasabah diri dan membetulkan kembali kesilapannya untuk mengelakkan gangguan yang berterusan kepada mental anak-anak. Sebagai contohnya seorang anak yang mempunyi bapa yang suka merompak dan mencuri,anak pastinya merasa malu dengan rakan-rakannya. Perkara yang dilakukan oleh bapanya itu bukan sahaja merosakkan martabat bapa tetapi rasa kebanggaan anak terhadap orang tuanya. Ibu bapa hendaklah mengerti bahawa fitrah anak itu membaggakan bapanya, dan dengan fitrah inilah yang mampu membantu orang tua untuk memberikan bimbingan, arahan dan dorongan kepada anak-anaknya demi mencapai cita-cita yang diinginkan oleh orang tua mereka.

 Memahami fitrah anak mungkin boleh diperoleh melalui pengalaman dan penelitian. Namun dengan memahami ayat-ayat yang telah tertulis di dalam Al-Quran akan lebih memantapkan keyakinan tentang fitrah anak kerana firan Allah itu pasti berbanding dengan pengalaman dan penelitian kerana ianya samar-samar dan ragu-ragu. Binalah emosi anak-anak dengan baik dan positif, jangan calarinya dengan peribadi kita yang masih belum bersih dan masih kotor. Berusahalah memperbaiki peribadi dan sikap kita ke arah membina generasi pewaris kita yang cemerlang dan berjasa.

5 comments - What do you think?