Racun Dibalas Madu
Assalamualaikum warah matullahi wabarakatuh.
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia..”[Al-Maaidah:54]
Daripada ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa dalam situasi yang berlaku, ketika mana sebahagian dari umat Islam yang murtad dari agama Allah SWT tetapi Allah tidak mendatangkan azab yang pedih. Sebaliknya Allah SWT telah mendatangkan satu kaum yang mengasihi mereka serta kaum yang dapat membawa mereka keluar dari sangkar kejahatan. Itulah kasih sayang Tuhan yang tidak terbatas kepada hamba-hambaNya.
Realitinya yang berlaku sesama insan, sukar sekali untuk kita melihat situasi kasih sayang yang begini hebat. Jarang kita dengar cerita yang menjadi bual mulut kita bahawa kejahatan yang kita terima daripada orang lain, dibalas dengan kebaikan. Rasulullah s.a.w ketika mana
dalam usia menyampaikan dakwahnya, seringkali diperlakukan dengan perbuatan yang keji. Baginda yang mulia telah diancam bunuh oleh kafir Quraish, dilemparkan najis ketika solat dan dihina dan dicemuh di hadapan orang lain. Namun apa yang dilakukan oleh baginda ialah baginda tidak membalas perbuatan-perbuatan mereka dengan perbuatan yang sama.
Pernah suatu ketika juga, Rasulullah selalu berjalan kaki ke masjid. Dalam perjalanan baginda ke masjid ada seorang wanita tua yang sememangnya menunggu Rasulullah melalui jalan tersebut untuk meludah ke arah baginda. Setiap hari wanita tersebut akan meludah ke arah baginda apabila baginda memalui jalan tersebut. Sehinggalah pada suatu hari, Rasulullah hairan kerana mendapati dirinya tidak diludah pada hari tersebut. Maka Rasulullah mencari wanita tersebut, dan mendapat tahu wanita tua itu sedang sakit. Tetapi racun yang diberikan oleh wanita tua itu telah dibalas madu oleh Rasulullah s.a.w. Ziarah Rasulullah telah menyebabkan wanita itu menerima dan mengakui kerasulan baginda.
Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh kita sebagai umat baginda.Selalunya perbuatan baik akan dibalas dengan perbuatan baik dan perbuatan jahat akan dibalas perbuatan jahat. Tetapi alangkah besarnya penghargaan yang mungkin kita terima andai apabila kebaikan yang kita berikan
di atas keburukan yang kita terima. Pepatah ada menyebut, “Ingat kebaikan orang pada kita, lupakan kebaikan kita pada orang, ingat kejahatan kita pada orang dan lupakan kejahatan orang pada kita.”
Membentuk Anak Yang Hebat
Setiap permata hati yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita adalah unik dan mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Kadang-kadang permulaan sewaktu dari kecil sudah nampak keunikan kepada anak-anak kita tetapi ada juga sebahagiannya kehebatan anak-anak belum terserlah ketika di usia kecilnya. Ibu bapa perlu peka untuk dan sensitif dalam memerhatikan anak-anak.

Sedar Keistimewaan Anak-Anak
Sebahagian ibu bapa sering kecewa apabila melihat anak orang lain lebih hebat berbanding anaknya. Perbandingan telah menyebabkan ingin anak mereka menjadi sebagaimana anak orang lain di mata mereka. Sebenarnya situasi ini tanpa disedari, ibu bapa telah membentuk anak mereka tidak mengikut acuan dan potensi sebenar anak mereka. Ibu hanya ingin anak-anak mereka menjadi hebat mengikut acuan daripada kehebatan orang lain sedangkan hakikatnya anak mereka tidak mampu mencapai tahap yang diingikan oleh ibu bapa mereka.
Bentuk Anak Mengikut Potensi
Perlu diingtkan bahawa sebagai ibu bapa, kita perlu memerhatikan di mana kelebihan dan keunikan yang dimiliki oleh anak kita, kerana pengharapan ibu bapa yang bertentangan dengan kehendak anak-anak akan menjejaskan potensi sebenar yang dimiliki oleh mereka. Mungkin anak kita bukan seorang ahli sukan, maka jangan sekali-kali kita ibu bapa berkecil hati dan terus berharap untuk menjadikan mereka seorang ahli sukan. Potensi anak-anak sebenarnya telah diberikan oleh Allah SWT. Cuma terpulang pada kebijaksanaan ibu bapa untuk menggilap atau membiarkan potensi anak-anak malap begitu sahaja.
Jadilah Mentor Yang Bermotivasi
Sebagai pembimbing dan mentor kepada anak-anak, ibu bapa perlu memberikan galakan dan dorongan semaksimum mungkin kepada anak-anak untuk mencapai kecemerlangan melalui usaha yang gigih di samping memberikan tunjuk ajar dan strategi yang tepat agar setiap usaha dan bakat yang dimiliki oleh anak-anak akan membuahkan hasil. Apa yang lebih penting, sekiranya anak-anak diasuh mengikut keistimewaan dan keunikan yang dimilikinya maka sudah tentu anak-anak bukan sahaja berjaya bahkan mampu mengeluarkan potensi di tahap paling maksimum.
Bagaimana Memperkukuh Silaturahim
Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya: “Seorang lelaki desa bertemu dengannya di salah satu jalan di kota MaKkah. Lalu Abdullah memberi salam kepadanya dan menaikkannya ke atas himar yang ditunggangnya, dan diberinya serban yang sedang dipakainya di kepala.” Kata Ibnu Dinar, “Maka kami berkata kepada Abdullah bin Umar, semoga Allah Ta’ala membalasi kebaikan Anda. Sesungguhnya orang desa itu lebih suka yang sederhana.” Jawab Abdullah. “Bapa orang ini adalah sahabat baik Umar bin Khathab. Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya kebajikan yang utama ialah apabila seorang anak melanjutkan hubungan (silaturahim) dengan keluarga sahabat baik ayahnya.”
Berapa ramai di antara kita yang mengambil berat dalam memperkukuhkan silaturahim yang terbina? Sebahagian di antara kita pula membina silaturahim memadai dengan hanya kunjung mengunjung ketika majlis-majlis tertentu sahaja atau ketika rumah-rumah terbuka sahaja. Tetapi anda sebenarnya boleh melakukan lebih dari itu dan bukan hanya terhad untuk waktu-waktu tertentu sahaja untuk mengeratkan hubungan yang telah terjalin.
1. Berjabat tangan bila bertemu
Rasulullah s.a.w menganjurkan umatnya apabila bertemu dengan saudara-saudaranya atau dengan sahabat-sahabat agar cepat-cepat untuk berjabat tangan. Sentuhan melalui berjabat tangan ini akan melahirkan kemesraan dan ukhuwah yang erat. Kaedah berjabat tangan yang dilakukan Rasulullah berdasarkan sabda baginda s.a.w yang bermaksud:
“Rasulullah apabila ada seseorang menghadap kepada beliau maka kalian berjabat tangan, dan baginda tidak mencabut tangan beliau dari tangannya sehingga orang itu mencabut dan baginda tidak memalingkan muka baginda dari mukanya sehingga orang itu memalingkan, dan baginda tidak nampak mendepankan kedua kaki baginda di hadapan orang yang sama-sama duduk dengan baginda”.
[HR Tirmizi]
2. Memberi senyuman ketika bertemu
Berjabat tangan tanpa senyuman menggambarkan bahawa anda tidak mencinta saudara anda. Bahkan anda mungkin terpaksa berjabat tangan dengan saudara anda kerana tidak dapat mengelakkan diri dari terserempak dengannya. Maka seeloknya senyumlah sebagai iringan bahawa anda benar-benar bahagia bertemu dengan saudara anda.
3. Berdoa untuk saudara @ sahabat
Jangan hanya mengingati saudara @ sahabat kita hanya kita waktu-waktu tertentu sahaja. Berdoalah untuk mereka. Pohonlah kebaikan, kesejahteraan, perlindungan sebagaimana anda berdoa untuk diri anda.
Menurut riwayat Muslim bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak bagi seorang hamba mukmin yang berdoa untuk saudaranya dari kejauhan kemungkaran melainkan malaikat berkata, dan bagimu seperti itu juga.”
4. Memberitahu kepada saudara yang dicintainya
Sangat sedikit di antara kita yang memberitahu kepada sahabat atau saudara kita bahawa kita menyayangi mereka. Sedangkan Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila seseorang mencintai saudaranya maka hendaknya ia memberitahu kepadanya.” [HR Abu Daud & Tirmizi]

