Cuba Amalkan 15 Minit Sehari
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Terima kasih kepada semua Sahabat Fitrah kerana terus menyokong laman web motivasi Islam ini. Setiap hari kesibukan sentiasa mengejar diri kita. Terlalu banyak kesibukan yang mengejar masa untuk kita beribadah. Kekadang kita menyedari masa ibadah kita semakin berkurangan tetapi kita masih menunggu peluang untuk masa yang sesuai, barulah kita ingin melaksanakan tuntutan ibadah kita. Terutama dalam membaca Al-Quran, ramai di antara kita meletakkan pandangan membaca Al-Quran memerlukan masa yang panjang.
Kononnya masa yang singkat dan terkejar-kejar, tidak ada penghayatan. Tapi sebenarnya banyak masa kita terbuang begitu sahaja kerana tanggapan yang sebegini.
Sebenarnya hanya 15 minit sehari sudah memadai membaca Al-Quran untuk anda yang sibuk dengan kerja. Tahukah anda dalam masa 15 minit ini, pada tahap pembacaan orang biasa anda telah pun membaca dalam lingkungan 2-3 muka surat daripada mushaf Al-Quran. Bayangkan jika 15 minit ini anda amalkan dalam masa seminggu, bererti anda telah pun menghabiskan 14-21 muka surat daripada Al-Quran. Jika dalam masa 15 minit ini juga anda rasakan terlalu lama bagi anda, ambillah 5 minit setiap kali selepas solat untuk baca Quran. Insya Allah kita sama-sama amalkan tip ibadah ini dalam kehidupan kita bersama.
Bagaimana Memberikan Penghargaan
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Dalam kehidupan ini banyak perkara yang kita boleh lakukan untuk memberikan penghargaan dan juga sebagai tanda kasih sayang yang tidak terhingga kepada sesiapa sahaja. Selalunya kita terlalu memikirkan cara untuk meluahkan penghargaan dan menyentuh hati sehinggakan kadang-kadang kita hanya berdiam diri kerana hanya memikirkan cara untuk memberikan penghargaan kepada mereka yang kita sayangi.
Penghargaan Kepada Anak
- Selalu memberikan pujian yang ikhlas kepada anak
- Rangsang anak-anak untuk buat yang terbaik
- Berikan hadiah atas kejayaan anak-anak walaupun kejayaan yang kecil
- Selalu berikan pelukan dan ciuman
- Sekali sekala puji anak-anak di hadapan orang lain
- Hadirkan diri dalam acara atau pertandingan atau peraduan yang disertai oleh anak anda
Penghargaan Kepada Ibu Bapa
- Selalu telefon bila berjauhan
- Jangan lupa kirimkan wang walaupun sedikit (andai sudah bekerja )
- Berikan hadiah pada hari-hari penting (Hari Ibu, Hari Bapa & Hari Lahir)
- Cium tangan ibu bapa
- Bila anda sudah berkeluarga, selalu pulang ke kampung kerana selalunya ibu bapa kita rindu untuk bertemu dengan cucu-cucu mereka.
- Minta pandangan mereka dalam menyelesaikan masalah
- Pulang apabila mereka sakit
Penghargaan Kepada Suami
- Selalu berikan senyuman
- Berhias di hadapan suami
- Masak masakan kegemaran suami
- Minta pandangan suami jika ada masalah
- Selalu urut-urutkan suami
- Menjaga maruah suami
- Puji suami di hadapan keluarga atau orang lain
- Berikan hadiah hari jadi
- Pandai mengambil hati suami
- Selalu memberikan sokongan bila suami ada masalah
- Membina hubungan baik dengan keluarga suami
- Minta izin suami sebelum buat sesuatu
- Mohon maaf dengan suami sebelum tidur
Penghargaan Kepada Isteri
- Ingati tarikh-tarikh penting bersama isteri (Hari Ulang Tahun Perkahwinan, Hari Lahir)
- Ingati tarikh kelahiran anak-anak
- Bantu isteri melakukan kerja-kerja rumah (memasak, membasuh & jaga anak)
- Ungkapkan kata-kata cinta sebelum tidur
- Selalu berikan pelukan dan kucupan kepada isteri
- Membina hubungan baik dengan keluarga isteri
- Ucapkan terima kasih apabila bersama
- Selalu memberikan kejutan-kejutan yang menggembirakan
- Selalu berpenampilan segak (sebab suami kacak, orang akan puji isteri)
- Memberikan kemaafan dan memohon maaf andai tersilap
- Panggil isteri dengan panggilan yang manja
- Puji isteri depan anak-anak dan keluarga
- Berikan hadiah apabila isteri anda melahirkan anak
Penangguhan Program Didik Fitrah
Assalamualaikum…
Program Didik Fitrah yang dirancang akan diadakan pada 15 Mac 2009 ( Ahad ) telah ditangguhkan kepada 28 Mac 2009 (Sabtu). Sebab-sebab penangguhan ini adalah kerana musibah yang telah menimpa Pengarah Urusan; bonda tercinta beliau telah kembali ke rahmatullah.
Lokasi dan masa adalah tidak berubah. Bagi yang telah membuat pendaftaran, kami memohon maaf atas kesulitan yang tidak dapat dielakkan ini, dan bagi yang baru hendak mendaftar bolehlah membuat pendaftaran tersebut bermula sekarang kerana tempat masih lagi dibuka sehingga tarikh akhir pendaftaran iaitu 3 hari sebelum program bermula. Semoga segala urusan kita di muka bumi ini dipermudahkan Allah S.W.T. Insya-Allah.
Pemergian Bonda Tercinta
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Gambar sekadar hiasan
Pagi ini dalam lebih kurang pukul 7 pagi, staf Fitrah Power Resources menerima mesej daripada Ustaz Ahmad Shukri Yusoff.
“Salam, ibu saya Hajah Jara Abd. Rahman telah kembali ke rahmatullah 2.30 pagi, Jumaat 13 Mac 2009. Solat jenazah di Masjid Gelugor Hj. Tahir pukul 10 pagi. Al-Fatihah. – Ahmad Shukri Yusoff
Sehari sebelum Ustaz Shukri pulang, beliau ada memaklumkan bahawa ibunya kena serangan jantung dan masih tak sedarkan diri. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruh bonda Ustaz Shukri. Dan semoga semua Sahabat Fitrah juga dapat berkongsi kesedihan ini dengan sama-sama kita memohon doa dan sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah bonda Ustaz Shukri yang telah pergi.
Kami warga FP mengucapkan takziah kepada Ustaz sekeluarga. Semoga Allah memberikan ketabahan dan kesabaran kepada keluarga ustaz menerima ketentuan ini.

