Manusia Sebagai Khalifah
Manusia dijadikan Allah dari tanah melalui proses dari air mani dan seterusnya bertukar menjadi sebuku darah, kemudian bertukar pula ketulan daging. Kemudian ketulan daging akan membaluti tulang-tulang dan akhirnya ditiupkan ruh ke dalam jasad. Begitulah kejadian manusia yang dilantik oleh Allah SWT menjadi khalifah di muka bumi ini. Menanggung setiap amanah dan tanggungjawab dalam memakmurkan alam serta beribadat kepada Allah.
Jelas sekali bahawa inilah kehidupan yang selayaknya dilaksanakan oleh manusia. Bukan mudah memegang amanah dalam melaksanakan ibadah kepada Allah sepenuhnya. Kerana manusia begitu mudah untuk leka dan lupa sehingga mereka merasakan dunia ini akan terus kekal dan dapat dinikmati selama-lamanya.
Dua amanah utama yang perlu dilaksanakan oleh manusia sebagai hamba Allah SWT. Ayat yang selalu kita dengar tetapi amat kurang sensitiviti kita terhadap dua perkara ini. Amar makruf dan nahi munkar. Lakukan kebaikan dan benci kepada kemungkaran. Jika kita perhalusi, sebenarnya dua amanah begitu berat untuk kita sama-sama laksanakan jika kita tidak menyedari hakikat kita sebagai khalifah di bumi ini.
Kita sepatutnya lebih sensitif bila mana Allah menyebut di dalam kalamNya:

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.”
Jika ini posisi yang Allah SWT berikan pada kita, maka mulai sekarang jika perlu melihat kembali diri kita, peranan kita dalam memakmurkan bumi dalam konteks yang dikehendaki olehNya. Apa yang perlu kita sebagai manusia ini untuk terus memastikan dipayungi oleh kebaikan dan juga memastikan bahawa kemungkaran juga dapat dicegah dan dibendung. Fikirkanlah..
Banyakkan Memberi Jika Mahu Banyak Menerima
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Dari Jabir bin’ Abdullah r.a., katanya: “Aku hadir solat ‘Id bersama-sama Rasulullah saw. pada hari ‘Id. Mula-mula beliau solat sebelum berkhutbah tanpa azan dan iqamah. Beliau berkhutbah sambil berdiri dan berpegangan kepada Bilal. Beliau memerintahkan supaya taqwa kepada Allah dan mendorong supaya mentaati-Nya. Selanjutnya beliau memberi peringatan dan pengajaran kepada mereka. Kemudian beliau berlalu hingga sampai ke tempat kaum wanita. Beliau memberi pengajaran kepada para wanita, memperingatkan dan menyuruh mereka supaya gemar bersedekah. Sabda beliau, “Bersedekahlah anda semua, kerana sesungguhnya kamulah saya lihat yang terbanyak menjadi kayu neraka.” Mendengar itu, maka berdiri seorang perempuan di antara para wanita yang banyak dengan wajah merah kehitam-hitaman. Dia bertanya; “Kenapa begitu, ya, Rasulullah?” Jawab Rasulullah, “Kerana kamu banyak mengeluh dan suka membangkang kepada suami.” Kerana itu mereka sedekahkan perhiasan mereka, seperti anting-anting dan cincin, yang mereka lemparkan ke kain yang dibentangkan Bilal.
Rujukan: Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0835.
Demikianlah Rasulullah mengajarkan kepada kita agar banyak membantu mereka yang kurang. Banyakkan bersedekah mudah-mudahan hidup akan lebih berkat dan bahagia. Saban hari kita terasa kehidupan kita makin sempit. Ditambah lagi dengan desakan ekonomi yang tidak stabil sudah pasti memberikan lebih banyak himpitan dalam kehidupan seharian. Kurangnya pintu rezeki dari Allah jarang kita nilai tentang kelemahan apa yang telah kita lakukan.
Sebenarnya banyak perkara yang menjadi asbab untuk Allah membuka pintu rezeki kepada kita. Lebih-lebih lagi bersedekah. Jika kita halusi mengapa Allah SWT memberikan kemurahan rezeki kepada mereka yang banyak bersedekah? Maka dari sini adalah asbab yang Allah berikan pada kita bahawa kita perlu banyak memberi kepada orang lain sekiranya kita mahukan balasan dari Allah. Bersedekah sebagai bantuan kepada mereka yang memerlukan. Jika banyak kita membantu orang lain maka sudah pasti Allah akan banyak membantu diri kita.
Baik dari sudut rezeki pendapatan, pelepasan dari cengkaman hutang, kesihatan berpanjangan atau mungkin juga kebahagiaan dalam hidup.
Satu lagi isi penting dari wasiat Rasul ini ialah jangan mengeluh. Mengeluh juga memberikan tanda putus asa dan hilangnya nilai positif dalam diri. Sebagai orang mukmin sikap mengeluh perlu dijauhkan. Jangan sekali-kali meletakkan sesuatu yang negatif dalam diri kerana Allah amat luas rahmatnya dan akan membantu hambaNya.
Penceramah Motivasi Islam Diperlukan Segera
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
FP sekarang memerlukan mereka yang berkelayakan untuk mengisi kekosongan jawatan sebagai penceramah / motivator. Kepada mereka yang mempunyai kelebihan untuk memenuhi jawatan ini jangan fikir panjang untuk memohon.
Jawatan : Penceramah / Motivator
Taraf Jawatan : Tetap / Kontrak
Syarat kelayakan bagi lelaki:
- Diploma / Ijazah dalam bidang Pengajian Islam
- Boleh mengendalikan qiamullail
- Mempunyai keyakinan diri dan hubungan komunikasi yang baik
- Boleh berdikari
- Berpengalaman digalakkan memohon
Syarat kelayakan bagi wanita:
- Memiliki sekurang-kurangnya Diploma / Ijazah
- Mempunyai keyakinan diri dan hubungan komunikasi yang baik
- Boleh berdikari
- Berpengalaman digalakkan memohon
*Mempunyai kenderaan sendiri adalah satu kelebihan
Kepada sesiapa yang berminat diminta segera menghantarkan resume anda ke asrul@fitrahpower.com. Sebarang maklumbalas atau pertanyaan boleh menghubungi En. Asrul di talian 017-9777875.
Kursus Bina Insan
Assalamualaikum wbt…
Alhamdulillah, Kursus Bina Insan yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia telah berlangsung dengan jayanya di Ayer Keroh Country Resort Melaka pada 10 -1 2 April 2009 dengan penyertaan seramai 18 orang peserta. Perjalanan kursus yang lancar dan berlangsung seperti yang dirancang telah memberikan kepuasan hati kepada kedua-dua belah pihak iaitu daripada pihak penganjur dan pengendali. Terima kasih juga kepada pihak peserta dan semua urusetia yang benar-benar memberikan komitmen yang terbaik sepanjang perjalanan kursus. Semoga kita mendapat manfaat daripada segala ilmu dan pengalaman yang diperolehi dan dikongsikan bersama sepanjang 3 hari tersebut. Sesungguhnya hidayah Allah itu perlu diusahakan untuk mendapatkannya samada dengan menghadiri majlis-majlis ilmu ataupun melalui pembacaan , dan sentiasalah berdoa agar Allah mencampakkan hidayah itu ke dalam diri, kalaupun tidak biarlah dicampakkanNya hidayah itu kepada saudara mara atau insan sekeliling kita. Wallahua’lam.


