Contohi Rasulullah yang cintakan kanak-kanak kecil

Rasulullah S.A.W adalah merupakan manusia paling mulia dan mempunyai akhlak yang sangat terpuji begitu juga baginda mencintai kanak-kanak. Baginda suka mengusap kepala anak-anak ini dan berdoa untuk mereka.
Lantaran kebelakangan ini manusia seakan hilang akal dan kewarasan fikiran, melakukan sewenangnya terhadap si anak kecil. Dilahirkan dan dibuang ke tempat yang sangat mengaibkan, malah tanpa belas kasihan si ibu merobek isi perut si anak kecil yang masih belum celik matanya melihat dunia. Kemanakah hilangnya nilai ihsan dalam jiwa ibu yang melahirkan?

( Gambar Hiasan )
Rasulullah S.A.W sangat lembut dan penyayang
Riwayat Anas r.a: “Suatu hari Rasulullah menyuruh aku untuk suatu urusan. Aku berkata Demi Allah aku tidak akan pergi. ‘ meskipun dalam hatiku berkata, ‘ Tentu saja aku akan pergi untuk melaksanakan perintah Baginda. Kemudian aku pun berangkat dan di pasar aku bertemu dengan anak-anak. Tiba-tiba aku merasa seseorang menarik rambutku dari belakang. Ketika aku menoleh, aku melihat Rasulullah tertawa. Beliau bertanya, ‘Anas, apakah engkau pergi ke tempat yang aku perintahkan?’ Aku berkata, ” Ya Rasulullah s.a.w tentu saja aku pergi.”
Sikap penyayang Rasulullah terhadap kanak-kanak
Apabila bertemu kanak-kanak Baginda akan menyalami mereka, meletakkan tangan Baginda di kepala mereka, dan mendukung anak yang kecil. Baginda merasa terharu apabila seorang ibu itu mencintai bayinya. Ketika berbicara dengan ibu-ibu, beliau akan berkata,” Barang siapa yang dikurniakan anak-anak oleh Allah swt dan dia mencintai anak-anakaknya dan juga menunaikan kewajipannya terhadap mereka makan dia akan selamat dari neraka jahanam.”
Rasulullah tidak perah bersikap kejam terhadap kanak-kanak
Rasulullah S.A.W sangat menyukai kanak-kanak. Sepanjang hidupnya sama sekali Baginda belum pernah memukul, bersikap kasar, kejam ataupun bersikap diam terhadap kanak-kanak. Baginda sangat sedih terhadap tingkah laku orang arab jahiliah yang biasa menanam hidup-hidup anak-anak perempuan mereka hanya untuk menjaga martabat mereka. Rasulullah saw sangat terharu ketika di Aqabah orang arab bersumpah setia tidak akan membunuh anak-anak mereka lagi. Semenjak hari itu perbuatan keji tersebut dihentikan.
Zakat Perlu Utamakan Anak Yatim dan Ibu Tunggal Fakir
Assalamualaikum wbt.
BERZAKAT membawa berkat serta dapat menyucikan harta dan jiwa. Itulah antara tujuan syariat zakat kepada umat Islam selain mengimbangi jurang golongan kaya dan miskin.
Berzakat wajib bagi setiap Muslim apabila cukup syaratnya.Muslim yang memiliki harta kekayaan perlu menyedari rezeki dianugerahkan Allah sebahagiannya milik orang lain yang perlu dizakatkan.
Firman Allah yang bermaksud: “Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka dengan berzakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka dan doakanlah untuk mereka, sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan ingatlah Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah at-Taubah ayat 103).
Apabila seorang Muslim mengeluarkan zakat bermakna harta yang bercampur dengan perkara syubhah dan haram dapat dibersihkan.
Hikmah berzakat memberi kesan baik kepada penerima yang berasa mereka tidak diabaikan. Melalui zakat yang dikumpulkan, ia disalurkan bagi membela nasib golongan asnaf.
Kedudukan zakat amat istimewa dalam rukun Islam. Ia tanggungjawab ummah bagi menguatkan sosio ekonomi umat.
Malaysia cukup bertuah kerana kesedaran berzakat cukup tinggi malah kutipan di pusat pungutan zakat negeri semakin meningkat setiap tahun.
Lapan asnaf iaitu fakir, miskin, amil, muallaf, riqab, gharimin, fisabilillah dan ibnu sabil, boleh dikategorikan penerima zakat produktif dan tidak produktif.
Penerima agihan zakat yang mampu berusaha dikategorikan sebagai produktif manakala mereka yang tidak berupaya disebabkan masalah kesihatan, kecacatan atau usia lanjut dikategorikan sebagai golongan tidak produktif.
Bantuan diberikan kepada mereka bergantung kepada keperluan berdasarkan siasatan yang dilakukan agensi zakat terhadap keperluan asnaf dari masa ke semasa.
Terdapat pelbagai jenis bantuan diberikan pusat zakat di Malaysia antaranya bantuan makanan dan sara hidup, perubatan, pendidikan, keusahawanan, keagamaan serta kecemasan.
Allah berfirman: (Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan (perkara-perkara kerohanian dan keagamaan yang menjadi sebesar-besar) rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad, seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja? Mereka tidak ingkarkan): Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan. (Surah Az-Zukhruf ayat 32).
Bagaimanapun, keperluan asas setiap individu pasti terjamin dalam sebuah kerajaan Islam. Zakat bagi mengatasi ketidakseimbangan pendapatan serta mengelakkan berlaku penumpuan harta di kalangan golongan tertentu dalam masyarakat.
Firman Allah: “Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan).
(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amat berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya). (Surah Al-Hasyr ayat 7).
Islam menganggap kemiskinan sebagai masalah serius kerana ia punca pelbagai jenayah, perasaan benci-membenci serta permusuhan antara golongan kaya dan miskin sehingga berlaku konflik dalam masyarakat.
Rasulullah memberi perhatian berat terhadap isu kemiskinan di mana baginda menjelaskan kepada sahabat zakat perlu dibelanjakan membantu golongan miskin.
Di negara ini, walaupun kesedaran membayar zakat semakin meningkat, tahap agihan zakat masih mengecewakan sehingga ada golongan yang sepatutnya menerima zakat gagal mendapat manfaat.
Ke mana wang zakat yang dikutip setiap tahun itu diagihkan, adakah semata-mata untuk membina bangunan yang hebat, membeli kenderaan atau membayar gaji yang mahal?
Jika dicongak secara kasar, zakat yang dikutip boleh mencecah berbilion ringgit dan dengan wang sebanyak itu, ia boleh mengurangkan jurang kemiskinan umat Islam di negara ini.
Sepatutnya, sistem agihan zakat dikaji semula, mungkin kaedah digunakan kini tidak sistematik atau ketinggalan zaman.
Satu lagi, kutipan zakat jangan hanya dibelanjakan untuk membesarkan bangunan, membeli kenderaan atau kemudahan prasana semata-mata kerana dalam syarat asnaf zakat, ia turut meliputi anak yatim dan ibu tunggal yang miskin.
Dana zakat sepatutnya diperuntukkan membiayai projek pembangunan jangka masa panjang yang akan mendatangkan faedah kepada golongan fakir dan miskin.
Bagi merealisasikan potensi agihan zakat dalam meningkatkan ekonomi ummah perlu kepada kerjasama dan tindakan bersepadu dari pusat zakat, penerima zakat dan kerajaan.
Pusat zakat perlu berusaha meningkatkan kepercayaan serta keyakinan pembayar
zakat melalui pelbagai mekanisma agihan yang jelas.
Golongan penerima zakat perlu bijak menguruskan dana zakat dan bertekad memperbaiki kehidupan mereka sehingga mampu keluar dari asnaf zakat dan menjadi golongan pembayar zakat.
Perunding motivasi dan mantan Ketua Syariah dan Penerangan Khas Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan (PPZWP), Ahmad Shukri Yusof, berkata di negara ini pengagihan zakat adalah berdasarkan kepada keperluan semasa sesuatu golongan asnaf.
“Bagaimanapun, keutamaan perlu diberikan kepada golongan asnaf fakir dan miskin bagi membantu mereka meneruskan kehidupan.
“Institusi zakat atau Baitulmal perlu memberi perhatian serius dalam menangani proses agihan zakat ini supaya tidak berlaku kritikan atau perasaan kurang puas hati di kalangan masyarakat,” katanya.
Ahmad Shukri berkata jumlah kutipan zakat memberangsangkan dari pusat-pusat zakat setiap tahun membuktikan mereka melaksanakan kutipan dengan baik.
“Setiap agihan kepada golongan asnaf perlu diperincikan jumlahnya seperti berapa bahagian diberikan kepada golongan asnaf seperti fakir miskin, fisabilillah, amil atau muallaf.
“Institusi zakat perlu memudahkan proses agihan dan jangan terikat dengan kerenah birokrasi supaya golongan fakir dan miskin selesa dan tidak malu mendapatkan bahagian mereka.
“Lakukan kaji selidik dan kerap turun padang bagi meninjau keperluan masyarakat terutama yang tinggal di kawasan pedalaman.
“Siar dan hebahkan melalui media atau laman web rasmi berkenaan kemudahan yang
disediakan bagi urusan membayar zakat dan cara permohonan untuk mendapatkan bantuan zakat dengan lebih mudah,” katanya.
Beliau berkata, apabila menunaikan kewajipan berzakat secara tidak langsung kita membebaskan diri daripada perasaan kikir, kedekut dan sombong.
“Harta kekayaan adalah amanah Allah. Allah akan menambahkan nikmat-Nya dengan bertambah rezeki dunia atau pahala sehingga melayakkan mereka mencapai keredaan Allah dengan menerima ganjaran nikmat syurga di akhirat kelak.
“Berzakat adalah proses menyucikan hati dan harta seorang Muslim,” katanya.
Menurutnya, petugas di pusat zakat perlu prihatin dan komited dalam melaksanakan tugasan mereka.
“Tanamkan dalam diri nilai spiritual serta menjaga integriti dalam melaksanakan tugas.
“Anggap kerja yang mereka laksanakan itu sebagai amal jariah bagi membantu golongan kurang bernasib baik kehidupan yang lebih sempurna,” katanya.
Beliau berkata, bagi keluarga yang hidup dalam kemiskinan bantuan zakat perlu diberikan secara berterusan terutamanya memastikan anak mereka tidak tercicir dalam bidang pendidikan.
“Anak mereka perlu mendapat bantuan pendidikan sempurna supaya satu hari kelak mereka dapat mengeluarkan keluarganya daripada kesempitan.
“Ini juga sebahagian usaha untuk melihat kemiskinan itu tidak terus diwarisi,” katanya.
Sumber: Harian Metro
Huraian Tafsir bagi surah An-Nahl ayat 66
Sambungan huraian tafsir Al-Quran bagi Surah An-Nahl ayat 66 ini bersiaran di Radio KL fm dalam rancangan WAHYU, pada minggu ini, Isnin – Jumaat, pada jam 7:00 ptg, 19 – 23 Sept 2011 oleh Ustaz Ahmad Shukri..

Maksudnya:
Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.
Ringksannya:
Wahai manusia! Sesungguhnya pada binatang ternakan terdapat pengajaran bagi kamu bagi membuktikan kebenaran, kekuasaan Allah swt, keindahan buatannya, dan keluasan kurniaan serta rahmat-Nya terhadap para hamba. Kami memberi minuman untuk kamu daripada apa yang terdapat di dalam perutnya iaitu susu yang bersih dari segala kekotoran benda asing yang mudah dicerna dan lazat diminum iaitu yang keluar di antara tahi dan darah.
Allah swt yang kekuasan-Nya sangat nyata itu memberikan makanan kepada haiwan yang berupa tumbuh-tumbuhan, daging dan sebagainya. Akhirnya apabila ia memamah makanannya, dengan izin Allah swt, makanan itu berubah menjadi saripati yang memberi manfaat kepada tubuh dan menjadi sisa lebihan yang keluar. Daripada sari pati ini terbentuklah darah yang mengalir ke dalam urat tubuh untuk hidup, dan sebahagian darah ini pun mengalir kepada kelenjar yang terdapat di dalam tetek lalu berubah menjadi susu. Seolah-olah peraturan Yang Maha Bijaksana ini menjadikan kelenjar tersebut sebagai kilang yang mengubah darah menjadi susu. Demikianlah di dalam tubuh terdapat banyak kelenjar lain, seperti kelenjar hingus, kelenjar air mata, dan kelenjar mani yang mengubah darah menjadi zat perkahwinan.
Setelah menerangkan susu yang dijadikan sebagai minuman yang mudah lagi lazat kepada manusia, selanjutnya Allah swt menerangkan minuman yang dibuat daribada buah tamar dan anggur.
Wallahua’alam.
Salam Lebaran 1432 Hijrah

Alhamdulillah…hampir sebulan sudah umat Islam berpuasa, rupanya kita sudah berada di penghujung Ramadhan..Bagi yang berjaya puasa dengan penuh kesabaran, tahniah diucapkan…Sememangnya puasa mendidik kita erti kesabaran dalam hidup, kerana pada ketika inilah kita merasai keperitan orang yang hidup miskin dan tidak berkemampuan..jika dihitung satu persatu, fadhilat puasa terlalu besar hikmahnya, bukan sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata malah mampu mengawal nafsu yang mudah beraja dihati kita.
Sempena bulan baik dan hari Raya yang bakal menjelma, Warga kerja Fitrah Power ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin buat Kaum keluarga terdekat, sanak saudara serta rakan taulan yang mengenali kami disini. Jutaan kemaafan dipinta di atas segala salah silap dan tutur bicara. Semoga Allah merahmati kita semua, Insyaallah..Amin.

