Kisah Al-Quran

Mimpi Yusuf

“(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: “Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku”. Bapanya berkata:” Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia. “ [Surah Yusuf: 4-5]

Demikianlah Nabi Allah Yusuf a.s diberikan anugerah oleh Allah SWT menjadi pemimpin yang hebat. Namun di sebalik kejayaan baginda, pelbagai episod ujian kehidupan telah dilalui oleh baginda. Di awal kisah Nabi Yusuf, Allah SWT menceritakan tentang mimpi wahyu yang diturunkan kepada baginda bahawa baginda telah melihat sebelas bintang , matahari dan bulan telah tunduk kepadanya.

Tafsir Ibn Kathir menceritakan tentang ayat ini bahawa sebelas bintang yang dilihat oleh Yusuf adalah diibaratkan sebagai saudara-saudara lelaki baginda, kerana Yusuf mempunyai sebelas orang adik beradik. Matahari dan bulan yang itu pula diibaratkan oleh ulama tafsir sebagai
ayahanda dan bondanya. Demikanlah jika dilihat berdasarkan ayat di atas bahawa mimpi Yusuf menjelaskan bahawa ahli keluarga Yusuf akan menghormati Yusuf pada suatu masa. Ulama-ulama seperti Ibn Abbas, Ad-Dhohhak, Qatadah dan Sufian As-Sauri menjelaskan bahawa mimpi Yusuf ini menjadi kenyataan selepas 40 tahun daripada apa yang dilihat Yusuf di dalam mimpinya.

Mimpi inilah merupakan titik tolak bermulanya perubahan dalam kehidupan baginda Yusuf a.s. Ayahanda baginda, Nabi Yaakub a.s telah mengetahui rahsia mimpi yang diceritakan oleh Nabi Yusuf bahawa dia telah dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi rasul. Namun Nabi Yaakub mula merasa bimbang kerana saudara-saudara Yusuf yang iri hati terhadap Yusuf pasti akan melakukan sesuatu rancangan jahat terhadap Yusuf. Lantaran itulah Nabi Yaakub mengingatkan Yusuf a.s supaya tidak menceritakan perihal mimpinya kepada saudara-saudaranya yang lain.

Bermula dari mimpi inilah, Nabi Allah Yusuf diuji dengan pelbagai ujian yang amat getir sehingga Nabi Allah Yaakub merasakan bahawa dia tidak mampu menghadapi sekiranya berlaku sesuatu yang buruk terhadap Yusuf.

2 comments - What do you think?

Tahwil Kiblat

Assalamualaikum wbt kepada semua Sahabat Fitrah yang dikasihi.

Pertukaran Kiblat Perintah Allah

Tahwil dalam bahasa arab bermaksud pertukaran. Ketika Nabi Muhammad s.a.w berada di Makkah, baginda bersembahyang menghala ke al-Sakhrah yang terletak di Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis sebagaimana yang dipraktikkan oleh para Nabi Bani Israel.

kaabah.gif

Meskipun begitu sewaktu menghadap ke Baitul Maqdis ini baginda s.a.w pun menghadapkan wajahnya kepada Allah SWT memohon supaya Kaabah dijadikan sebagai qiblat. Memandangkan ia merupakan kiblat Nabi Ibrahim a.s.lalu Allah SWT menyuruh baginda berbuat demikian menerusi firmannya: “Kami benar-benar melihat wajahmu mengadah ke langit.” Lalu orang Yahudi, kaum musyrik dan munafik berkata, “Apa yang mendorong mereka memindahkan kiblat tersebut dari Baitul Maqdis ke Kaabah?

Ujian Ketaatan Kepada Yahudi

Pertukaran kiblat yang dikehendaki oleh Allah SWT ini adalah sebagai satu ujian besar kepada kaum Yahudi yang telah lama menjadikan Baitul Maqdis sebagai kiblat kepada mereka zaman-berzaman.Begitu juga perasaan hairan juga dirasai oleh kaum munafik dan musyrik. Mereka merasakan tidak senang dengan apa yang berlaku.

Maka peristiwa ini telah menimbulkan cacian dan kata-kata penghinaan kepada Rasulullah. Maka Allah SWT yang amat menyayangi kekasihNya memerintahkan kepada baginda supaya menjawap kata-kata mereka, bahawa segala arah adalah milik Allah SWT,
justeru sakhrah bukanlah lebih baik dari batu yang lain dan ia tidak mempunyai apa-apa manfaat seperti batu-batu yang lain. Begitu juga Kaabah dan Baitul Haram, allah SWT menjadikannya sebagai qiblat bagi manusia sebagai penyatuan mereka dalam beribadah.

Tapi bagi golongan yang singkat akalnya, tetap menyangka kiblat itu merupakan dasar agama dengan dengan melihat hanya pada binaan itu sendiri. Sebab itu mereka sanggup menghina Rasulullah s.a.w, “Kembalilah kepada kiblat kami, nanti kami akan mengikut dan beriman kepadamu.”

Penghinaan Bertukar Pengharapan

Nabi s.a.w selalu mengharapkan perpindahan kiblat ini. Perkara ini sering difikirkan Rasulullah kerana Kaabah adalah kiblat bapanya, iaitu Nabi Ibrahim a.s sedangkan baginda pula adalah sebagai utusan Allah untuk menghidupkan agamaNya dan memperbaharui dakwahnya. Selain itu pengharapan bagin juga didorong oleh kata-kata Yahudi yang pernah berkata, “Muhammad menyalahi
agama kita, tetapi kiblatnya mengikut kiblat kita. Kalau tidak kerana agama kita sudah tentu baginda s.a.w tidak tahu ke mana baginda s.a.w hendak berkiblat.”

Oleh kerana kata-kata ini, maka Rasulullah berdoa kepada Allah SWT melalui Jibril a.s “Aku ingin sekali kalau Allah SWT memalingkan aku dari kiblat Yahudi ini kepada arah kiblat yang lain. Maka Allah memperkenankan permintaan Rasulullah s.a.w sebagaimana kiblat yang kita hadapkan hati kita untuk beribadah pada hari ini sehinggalah ke hari kiamat nanti.

1 comment - What do you think?

Nuzul Quran

Nuzul al-QuranAssalamualaikum wbt. Salam Fitrah kepada semua Sahabat Fitrah yang sentiasa setia untuk mencari ilmu-ilmu sebagai santapan rohani.

Dalam bulan Ramadan terdapat dua kelebihan utama yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hambaNya beriman. Salah satu kelebihan yang kita maklum ialah malam al-qadr yang diterima semua amalan hamba-hambaNya yang menemui malam tersebut. Malam al-qadr yang diturunkan malaikat oleh Allah SWT untuk menghimpunkan setiap doa hamba-hambaNya ang beriman.

Dan salah satu peristiwa penting yang menjadi anugerah Allah di dalam bulan ini ialah penurunan kitab suci al-Quran. Kitab yang menjadi petunjuk dan hidayah kepada semua manusia. Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam surah al-Baqarah 185:

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan, yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

Sesungguhnya al-Quran yang menjadi panduan kita hari ini telah diturunkan secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad s.a.w selama 23 tahun sebagai satu metod pembelajaran yang perlu disampaikan oleh baginda Rasulullah s.a.w kepada sekalian umat. Bila kita mengingati peristiwa penurunan kitab Allah ini, maka dalam masa yang sama kita perlu menghayati sirah perjuangan baginda s.a.w dalam menegakkan ajaran kitab suci ini.

Rasulullah dan al-Quran tidak boleh dipisahkan kerana Jibril a.s telah menurunkan kalam Allah ini melalui junjungan besar s.a.w. Sebab itu Ramadan juga dikenali sebagai bulan al-Quran kerana peristiwa nuzul Quran yang menjadi titik permulaan agama Islam umat Islam.

Al-Quran yang menjadi mukjizat baginda s.a.w ini sangat agung, kerana penurunannya begitu dimuliakan oleh makhluk Allah yang lain. Sebagaimana yang disebut oleh Allah SWT di dalam surah al-Hasyr ayat 21:

“Sekiranya Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung nescaya engkau dapat melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat manusia supaya mereka berfikir.”

Justeru itu, kita amat dituntut untuk mengisi Ramadan ini dengan memperbanyakkan membaca mukjizat agung ini sebagai salah satu penghormatan yang perlu diingati di samping kita sama-sama mencari keredhaan Allah SWT. Namun apa yang perlu diingatkan dalam kita bertadarus dan membaca al-Quran, bukan khatam yang perlu kita kejarkan, tetapi apa yang lebih penting tadabbur serta penghayatan akan menjadikan peristiwa nuzul quran ini terkesan di hati kita. Baginda Rasulullah s.a.w menganjurkan kita dalam kita membaca al-Quran ini, bahawa mereka mempelajari isi kandungan al-Quran dengan mempelajari beberapa ayat, kemudian diiringi dengan penerangan mengenai ayat tersebut.

Sabda Rasulullah s.a.w: “Adalah seorang dari kami jika mempelajari sepuluh ayat maka ia tidak menambahnya sampai ia memahaminya dan mengamalkannya.”[HR Ibn Mas'ud]

Mudah-mudah sambutan Nuzul Quran kali ini menjadi titik perubahan kepada kita dalam menghayati ayat-ayat Allah agar segala isi kandungannya akan lebih menambahkan lagi keyakinan kita terhadap agama Allah.

1 comment - What do you think?

Peristiwa Ibn Ummi Maktum

abasa.jpg 

Surah Abasa ini diturunkan oleh Allah SWT kerana satu peristiwa yang berlaku terhadap Ibn Ummi Maktum telah menyebabkan Allah SWT telah menegur perbuatan yang dilakukan oleh baginda.

Ibn Ummi Maktum atau Amr Ibn Qays merupakan anak lelaki kepada bapa saudara Khadijah r.a. Beliau merupakan golongan muhajirin pertama dan merupakan seorang yang buta. Satu ketika Rasulullah s.a.w berada dalam satu majlis bersama dengan pemimpin-pemimpin besar Quraish, datang Ibn Ummi Maktum menghadap baginda. Baginda yang sedang berdakwah kepada golongan
pemimpin-pemimpin ini tentang hari kiamat dan kekuasaan Allah SWT amat berharap dakwahnya akan diterima kerana penerimaan Islam oleh pemimpin-pemimpin besar Quraish akan membantu usaha perkembangan dakwah ini dengan lebih mudah.

Dalam suasana Rasulullah s.a.w sedang becakap-cakap dengan pemimpin-pemimpin ini, tiba-tiba Ibn Ummi Maktum mencelah perbualan baginda, “Ya Rasulullah bacakan dan ajarkanlah aku apa yang telah diajarkan oleh Allah kepada tuan.” Berulang kali beliau mengulangi percakapannya tanpa dia mengetahui situasi Rasulullah bersama dengan pemimpin-pemimpin Quraish. Rasulullah pula
bersa tidak senang dengan percakapan yang diulang-ulang oleh Ibn Ummi Maktum sehingga berubah pada raut muka baginda, menjadi masam lalu berpaling.

Kerana perlakuan Nabi ini maka Allah SWT telah menegur baginda kerana telah menyebabkan si buta yang lemah dan miskin ini berasa sedih dan kecewa. Teguran Allah ini adalah bertujuan untuk menyambut kedatangan orang yang berfikiran matang dan jangan mengabaikannya semata-mata kerana mengutamakan golongan bangsawan yang tidak mempunyai fikiran yang tidak matang.

Selepas ayat ini diturunkan kepada baginda s.a.w, Rasulullah selalu memuliakan Ibn Ummi Maktum dan selalu berkata kepada beliau apabila bertemu, “Selamat datang wahai orang yang menyebabkan Tuhanku menegurku!” dan selalu bertanya, “Apa yang kau perlukan?”

2 comments - What do you think?