Kisah Al-Quran

Pemuda-pemuda Yang Menjaga Agama

Assalamualaikum w.b.t

Salam Fitrah buat semua Sahabat Fitrah dan pengunjung laman ini. Semoga Allah sentiasa memberkati kita semua.

Di dalam surah al-Kahfi ayat 9, Allah SWT berfirman:
“Adakah engkau menyangka bahawa kisah Ashabul Kahfi dan ar-Raqim itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?

Kisah pemuda-pemuda Ashabul Kahfi mungkin pernah kedengaran di telinga kita, namun mungkin hanya sekadar kedengaran ketika kita menghadiri kuliah-kuliah maghrib di surau dan masjid. Kisah pemuda-pemuda yang beriman kepada Allah yang mencari perlindungan di dalam sebuah gua kerana takutkan pemerintah yang tidak bersujud kepada Allah SWT.

Ketaatan yang tinggi kepada Allah menunjukkan bahawa mereka tidak sanggup untuk tunduk kepada manusia. Mereka telah diselamatkan Allah dengan menidurkan mereka selama tiga ratus sembilan hari, sehinggalah pemerintahan Maharaja Rom yang zalim yang bernama Decius ketika itu telah digantikan dengan raja yang mentauhidkan Allah SWT. Walaupun kezaliman Decius mengancam kehidupan mereka namun mereka tetap menjalankan dakwah kepada penduduk agar tidak meninggalkan kepercayaan kepada Allah SWT.

Hari yang begitu mencabar ini, amat sukar bagi kita yang berstatus hamba Allah untuk kita menjaga diri kita dari ujian-ujian dunia. Lebih-lebih lagi untuk menghadapi ujian dalam menetapkan dan mempertahankan keimanan kepada Allah SWT. Cuba kita sama-sama perhatikan senario
yang berlaku kepada belia dan remaja hari ini. Adakah mereka yang kita harapkan untuk membela agama nanti?

3 comments - What do you think?

Isra’ Mikraj Hikmah Yang Tersirat

Assalamualaikum w.b.t

Salam Fitrah untuk semua. Alhamdulillah segala puji dan puja hanya kepada Allah SWT kerana memberi peluang kepada kita untuk terus meneruskan kehidupan di dunia ini.

Hari ini adalah merupakan hari yang amat penting bagi kita sebagai umat Rasulullah s.a.w. Satu peristiwa luar biasa telah berlaku kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w di mana Allah SWT telah memperjalankan Rasulullah s.a.w pada waktu malam dalam satu perjalanan yang amat jauh tetapi hanya dalam waktu yang singkat.

Masjidil Aqsa Jurusalem

Masjid Al-Aqsa yang masih di tangan musuh Islam

Peristiwa ini telah dirakamkan oleh Allah SWT di permulaan Surah Isra’ yang bermaksud:
“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan dengan hambaNya pada waktu malam dari Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa yang kami berkati persekitarannya untuk memperlihatkannya tanda-tanda kekuasaan kami, sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat.”

Ada beberapa perkara yang amat penting yang perlu diteliti berdasarkan ayat ini. Mengapa Allah SWT menggunakan kalimah ‘hamba’ walaupun hakikatnya Allah SWT boleh menggunakan pengkhususan dengan Muhammad atau Rasulullah di dalam ayat ini? Dan mengapa Allah SWT memuliakan peristiwa israk mikraj ini dengan menyebut Masjid Aqsa?

Sesuatu yang tersirat yang perlu kita hayati, bahawa Allah SWT menggunakan kalimah ‘hamba’sebagai satu gambaran bahawa manusia yang berstatus sebagai hamba Allah adalah satu keistimewaan yang Allah berikan kepada manusia. Status inilah yang menjadikan manusia mendapat martabat yang tinggi di sisi Allah. Sentiasa menyedari diri sebagai hamba yang perlu melaksanakan segala perintah dan menghindari larangan-Nya.

Dan mengapa Masjid Aqsa begitu hebat sehingga Allah SWT menyebutnya dalam peristiwa ini sebagai satu gambaran bahawa bumi Palestin adalah tempat di mana para nabi dan rasul banyak dilahirkan di sini bahkan jasad mereka juga banyak disemadikan di bumi. Di samping
bentuk muka bumi yang subur menjadi sebahagian tanda-tanda keberkatan Palestin. Namun apa yang lebih penting ialah sehingga hari ini umat Islam di negara ini tidak akan berhenti untuk membebaskan bumi Allah yang berkah ini.

Ahmad Shukri Yusoff
www.fitrahpower.com

7 comments - What do you think?