Koleksi Motivasi
Koleksi Motivasi
Koleksi Motivasi
Ramai para ibu yang selalu mengeluh kerana tidak ada masa untuk menguruskan pakaian kerana masa yang perlu diperuntukkan untuk waktu bekerja. Namun tip-tip di bawah ini mungkin sedikiat sebanyak dapat membantu para ibu menghadapi situasi ini.
1. Berikan pendedahan dan latihan awal kepada anak-anak dalam menguruskan pakaian seperti membasuh, melipat dan menyimpan pakaian masing-masing.
2. Mengajarkan anak-anak untuk membasuh pakaian dengan memberikan panduan menggunakan mesin basuh kepada mereka. Anak-anak yang di awal usia amat mudah untuk diberikan panduan sebegini.
3. Menyediakan ruang simpanan yang khas untuk anak-anak. Jika perlu tuliskan nama untuk almari pakaian mereka. Ini akan memberi rangsangan untuk mereka berdikari dan menjaga pakaian mereka.
4. Sediakan bakul pakaian kotor untuk anak-anak lebih mudah mengasingkan pakaian yang telah mereka gunakan.
5. Latihlah suami menggosok pakaian mereka sendiri jika ada ruang waktu. Di samping dapat mengeratkan hubungan, jika kena caranya suami akan lebih selesa mengurus pakaiannya sendiri.
6. Gunakan seterika padam secara automatik di rumah. Ini lebih mudah untuk melatih anak-anak menggosokkan pakaian mereka.
7. Belilah stokin warna yang sama. Ini akan memudahkan untuk memadankan stokin sekiranya berlaku kehilangan.
8. Ajarkanlah juga anak-anak untuk mengemas pakaian mereka sendiri untuk keluar atau balik kampung. Tuliskan kepada mereka senarai keperluan mereka untuk memudahkan mereka.
9. Pantau kegunaan kain baju famili dari masa ke semasa. Pakaian yang tidak sepadan lagi dengan anak-anak atau suami anda, anda boleh berikan kepada saudara-mara atau jiran-jiran. Ini akan mengelakkan kuantiti pakaian yang sentiasa bertambah di samping melakukan amal jariah.
10. Beli pakaian mengikut keperluan sahaja. Ini akan membantu mengawal kuantiti pakaian yang terlalu banyak di rumah.
Assalamualaikum wbt.
Semoga Sahabat Fitrah terus untuk menguatkan ibadah di dalam fasa kedua Ramadan ini.
Ramai ibu bapa hari sering mengeluh, mengapa anak-anak mereka tidak mahu mendengar kata-kata mereka. Kadang-kadang belum sempat ibu bapa memberikan nasihat anak-anak terlebih dahulu sudah menunjukkan memek muka bahawa mereka enggan mendengar apa yang diperkatakan.
Wahai ibu bapa, satu yang perlu difahami mulai sekarang, bahawa sebenarnya anak kita ibarat sedang menatang sebuah tangki kasih sayang. Tahukah ibu bapa bahawa anak-anak sangat mengharapkan tangki kasih sayang mereka dipenuhi? Tidak susah sebenarnya untuk membuat anak-anak menghargai setiap nasihat dan mendengar kata-kata kita. Tetapi syaratnya kita perlu memberikan
mereka balasan dengan mengisi tangki kasih sayang mereka. Apabila anak-anak kita sudah tidak mahu mengambil kisah tentang apa jua nasihat yang kita sampaikan, apa yang perlu kita lakukan ialah kita periksa terlebih dahulu tangki kasih sayang anak kita kerana berkemungkinan tangki kasih sayang mereka telah bocor.
Periksalah Tangki Kasih Sayang Anak-Anak
Dan apabila berlaku kebocoran maka tidak guna untuk kita memberikan nasihat kepada mereka. Mengisi tangki kasih sayang tidak memerlukan modal yang besar seperti mana kita memerlukan wang ringgit dengan nilai tertentu untuk memenuhkan tangki petrol kita. Apa yang perlu kita lakukan hanyalah merenung kembali mungkin sepanjang kehidupan kita, jarang kita memberikan ruang masa untuk mereka merasa dikasihi.
Cuba renung kembali, mungkin kita pernah berjanji sesuatu dengan mereka tetapi masih belum kita tunaikan, mungkin juga ada sesuatu yang anak-anak kita ceritakan tentang perihal mereka di sekolah tetapi kita hanya diamkan sahaja, mungkin juga anak kita mendapat kejayaan-kejayaan tertentu, tetapi kita belum menghargai mereka. Mereka sebenarnya amat sensitif terhadap perkara-perkara sebegini. Seandainya kita sudah mengenal pasti penyebab mengapa tangki kasih sayang mereka bocor, maka ibu bapa perlu segera untuk mengisi kembali ruang yang bocor itu dengan kasih sayang kepada mereka.
Jika kita melihat keluarga yang bahagia, bagaimana mereka dapat membuatkan anak-anak mereka begitu taat dan mudah mendengar kata-kata mereka? Tiada rahsia yang besar sebenarnya. Tetapi mereka memahami konsep tangki kasih sayang ini yang membuatkan mereka tidak akan membiarkan berlaku kebocoran dari rasa kasih sayang mereka terhadap anak-anak. Apabila kasih sayang
ibu bapa dapat dirasai anak-anak, insya Allah anak-anak akan mula memandang ibu bapa sebagai idola dalam kehidupan mereka.
Assalamualaikum wbt.
Salam Ramadan untuk semua Sahabat Fitrah. Semoga puasa hari ini memberikan kesan dan ibadah yang lebih baik berbanding puasa kelmarin.
Mendidik anak bukanlah satu perkara yang senang. Lebih-lebih lagi kita amat mengharapkan anak-anak kita mentaati perintah dan suruhan yang baik dari kita sebagai ibu bapa. Sebenarnya ada dua perkara yang sangat penting untuk ibu bapa memainkan
peranan agar anak-anak boleh mengikut dan mentaati kata-kata ibu bapa.
1. Susu Ibu

Susu tepung hanyalah sebagai altenatif
Bukanlah dimaksudkan bahawa susu ibu mampu memberikan anak-anak perubahan untuk mendengar kata-kata ibu secara saintifik, namun kaedah penyusuan yang betul dan mengikuti adab-adab yang baik sebenarnya menjadi asbab untuk anak-anak mendengar dan mentaati perintah ibu bapa. Apa yang ibu-ibu lakukan sewaktu menyusukan anak? Bagaimanakah cara ibu menyusukan anak? Sebenarnya waktu penyusuan adalah waktu yang paling sesuai untuk ibu memberikan usapan, kata-kata semangat dan doa kepada anak-anak. Dalam situasi anak yang sedang disusukan, emosi mereka sebenarnya sedang dibelai dan mudah untuk menerima kata-kata yang baik dari ibu walaupun hakikatnya mereka masih kecil. Usapan dan belaian yang diiringi dengan doa oleh ibu di ubun-ubun anak, insya Allah mereka akan mudah mendengar kata-kata ibu dan mentaati perintah ibu bapa.
2. Air Tangan
Kebiasaan memasak makanan untuk keluarga sebenarnya banyak membantu untuk anak-anak lebih mentaati ibu bapa. Air tangan ibu mampu menjadi asbab untuk anak-anak mendengar kata-kata ibu bapa bahkan mampu untuk anak-anak menunjukkan potensi diri mereka. Namun apa yang perlu diingatkan, doa semata-mata tidak akan menjadikan anak-anak mudah mendengar nasihat ibu bapa, ciri-ciri makanan yang baik dan halal juga perlu diutamakan untuk kesihatan emosi dan fizikal agar anak-anak tidak dipengaruhi oleh makanan yang tidak baik.
Walaupun dua perkara ini nampak senang, namun dalam realiti kehidupan yang sentiasa sibuk seperti hari ini dua perkara yang asas ini selalu terlepas pandang oleh kita sebagai ibu bapa. Jadi jangan kita bertanya kenapa anak-anak tidak mentaati nasihat sekiranya dua perkara belum lagi mampu dilaksanakan oleh kita sebagai ibu bapa.
Senyuman ibarat satu pemandangan indah yang mendamaikan jiwa apatah lagi senyuman yang dilemparkan itu ikhlas dari hati yang tulus. Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk kita menyambut kedatangan Shahrul Karim iaitu bulan Ramadhan yang penuh kemuliaan dan keberkatan bagi mereka-mereka yang beriman. Bulan Ramadhan inilah bulan di mana kita menunaikan rukun Iman yang ketiga iaitu puasa selama sebulan.
Keletihan yang dialami setiap muslim ketika menunaikan rukun islam ini pastinya membuatkan kita terlupa akan satu perkara yang penting selain menambah amal ibadat kita, iaitu senyum. Bagaimana hendak senyum apabila sudah letih lesu akibat berpuasa? Namun, sekiranya kita menyedari hakikat senyum ini pastinya anda akan lebih menghargai dan mudah memberikan senyuman kepada insan-insan di sekeliling anda dengan rela dan tanpa paksaan lebih-lebih lagi di bulan puasa yang akan menjelang tidak lama lagi ini.
Senyuman pengikat kasih sayang.
Orang yang mengukir senyuman mampu mengikat kasih orang yang disayangi mahupun insan disekelilingnya. Senyuman juga mampu memancarkan segala kebaikan dalam diri yang tak mungkin dirasai seseorang dalam tempoh yang singkat. Sinaran kebaikan, persahabatan, kejujuran, rasa hormat, kesabaran dan kawalan diri yang tinggi mampu terpancar dengan hanya satu senyuman yang ringkas dan mudah. Sekiranya selama ini mungkin ada hati-hati insan yang terluka dengan sikap dan perbuatan kita, hulurkanlah kemaafan beserta senyuman yang ikhlas mudah-mudahan kasih akan kembali bertaut dan erat tersimpul.
Senyuman juga berjangkit.
Senyuman yang dilemparkan kepada seseorang biasanya akan dibalas dengan senyuman juga walaupun apa jua keadaan orang yang dilemparkan senyuman ketika itu samada sedih ataupun gelisah. Itulah kuasa senyuman yang begitu ajaib. Senyuman yang ikhlas lahir dari hati dapat kita kenali melalui gaya senyuman itu sendiri, kerana senyuman sebegitu akan melibatkan semua bahagian muka terutama mata. Pendek kata senyuman yang ikhlas datang dengan satu pakej lengkap iaitu otot muka bergabung semua dengan mata yang mengecil, pipi yang terangkat dan bibir yang tersenyum. Seseorang itu pastinya akan merasa serba salah sekiranya dia tidak membalas senyuman yang telah dilemparkan kepadanya maka bermula daripada saat ini cubalah memulakan memberikan senyuman kepada semua orang dengan harapan virus senyuman ini akan merebak dengan meluas ke semua manusia dan seterusnya melahirkan suasana yang gembira dan menyeronokkan.
Tetapi mengapa susah senyum?
Pernah ada satu peristiwa berlaku kepada seorang wanita. Ketika itu dia berurusan di satu kaunter, tetapi pelayan di kaunter itu melayannya dengan muka yang masam sedangkan seketika tadi dia melayan pelanggan sebelumnya dengan muka yang manis sekali. Sehinggalah selesai urusan dengan pelayan tersebut, wanita itu masih tertanya-tanya, apakah silapnya sehingga dia dilayan dengan muka yang masam begitu. Sepintas dia melalui sebuah kedai yang bercermin besar, ketika itu dia terlihat wajahnya di cermin tersebut. Lalu dia tersenyum, patutlah pelayan tadi bermuka masam dengannya kerana wajahnya juga masam dan berkerut ketika itu, mungkin akibat tekanan kerja yang membebankan di pejabat. Lalu dia tersenyum sendiri dan mengubah riak wajahnya supaya kelihatan manis dengan senyuman.
Sememangnya ada individu yang dilahirkan secara semulajadinya berwajah masam, berwajah bersahaja dan sentiasa murah dengan senyuman. Itu adalah kurniaan Ilahi yang boleh diubah sekiranya kita mengenali kelebihan dan kekurangan diri. Sebenarnya mereka yang berwajah masam dan seakan susah senyum itu bukanlah susah senyum sebenarnya, tetapi mereka tidak tahu bila masanya fikiran bawah sedar mereka patut memprogramkan perbuatan senyum itu. Mereka juga tidak tahu bagaimana untuk menampilkan apa yang dirasainya kepada orang lain. Jadi secara tidak langsung, tanggapan orang lain terhadapnya kadangkala tidak tepat kerana orang hanya dapat melihat luaran tanpa dapat menilai dalaman. Maka kitalah yang mampu mengubah tanggapan orang lain terhadap diri kita dengan menampilkan wajah yang sepatutnya kepada orang lain untuk mengubah tanggapan negatif mereka kepada tanggapan yang positif.
Jadi, bagaimana caranya untuk mudah tersenyum?
Senyuman akan terjadi apabila kita memaksa diri untuk tersenyum. Latihan boleh dilakukan apabila kita bersendirian di bilik atau sebagainya. Jika hati sedang gelisah ataupun bersedih, cuba senyum seketika dan bayangkan keseronokan yang kita alami dengan insan tersayang, insyallah mood gembira akan terus meresap dalam diri ketika itu juga. Walaupun mungkin kegembiraan atau keceriaan tidak wujud dalam diri kita, tetapi apabila kita cuba juga bertindak bagi mewujudkan keceriaan itu, lambat laun ia terbentuk juga. Dari situlah akhirnya perasaan ceria itu membantu kita sentiasa mengukir senyuman yang cukup manis dan segar.
Selain itu, senyuman juga mudah terpancar apabila hati kita bersih dan tunduk pada Yang Maha Kuasa, Allah SWT. Dengan mengingati Allah, hati akan lebih damai dan bahagia. Namun, bagi yang ingin mengubat hati yang mungkin ketika ini berada dalam kesedihan, terluka ataupun kecewa maka inilah ubatnya iaitu Solat Malam ( tahajjud ), sentiasa berzikir membersihkan hati, membaca Al-Quran dengan maksudnya, perbanyakkan berpuasa sunat termasuklah wajib dan bergaul dengan orang Soleh ( orang yang baik dan beriman ). Barangsiapa yang dapat melakukan salah satu daripadanya insyallah hati akan lebih terubat dengan baiknya seterusnya dapat memberikan senyuman yang manis dan ikhlas untuk membahagiakan insan di sekeliling kita.