Logo Background RSS

» Motivasi

  • Senyuman Di Bulan Puasa
    August 21st, 2008 | 2 Komen2 Comments Comments

    1522467522_465de21b8f.jpgSenyuman ibarat satu pemandangan indah yang mendamaikan jiwa apatah lagi senyuman yang dilemparkan itu ikhlas dari hati yang tulus. Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk kita menyambut kedatangan Shahrul Karim iaitu bulan Ramadhan yang penuh kemuliaan dan keberkatan bagi mereka-mereka yang beriman. Bulan Ramadhan inilah bulan di mana kita menunaikan rukun Iman yang ketiga iaitu puasa selama sebulan.

    Keletihan yang dialami setiap muslim ketika menunaikan rukun islam ini pastinya membuatkan kita terlupa akan satu perkara yang penting selain menambah amal ibadat kita, iaitu senyum. Bagaimana hendak senyum apabila sudah letih lesu akibat berpuasa? Namun, sekiranya kita menyedari hakikat senyum ini pastinya anda akan lebih menghargai dan mudah memberikan senyuman kepada insan-insan di sekeliling anda dengan rela dan tanpa paksaan lebih-lebih lagi di bulan puasa yang akan menjelang tidak lama lagi ini.

     Senyuman pengikat kasih sayang.

    Orang yang mengukir senyuman mampu mengikat kasih orang yang disayangi mahupun insan disekelilingnya.  Senyuman juga mampu memancarkan segala kebaikan dalam diri yang tak mungkin dirasai seseorang dalam tempoh yang singkat. Sinaran kebaikan, persahabatan, kejujuran, rasa hormat, kesabaran dan kawalan diri yang tinggi mampu terpancar dengan hanya satu senyuman yang ringkas dan mudah. Sekiranya selama ini mungkin ada hati-hati insan yang terluka dengan sikap dan perbuatan kita, hulurkanlah kemaafan beserta senyuman yang ikhlas mudah-mudahan kasih akan kembali bertaut dan erat tersimpul.

     Senyuman juga berjangkit.

    Senyuman yang dilemparkan kepada seseorang biasanya akan dibalas dengan senyuman juga walaupun apa jua keadaan orang yang dilemparkan senyuman ketika itu samada sedih ataupun gelisah. Itulah kuasa senyuman yang begitu ajaib. Senyuman yang ikhlas lahir dari hati dapat kita kenali melalui gaya senyuman itu sendiri, kerana senyuman sebegitu akan melibatkan semua bahagian muka terutama mata. Pendek kata senyuman yang ikhlas datang dengan satu pakej lengkap iaitu otot muka bergabung semua dengan mata yang mengecil, pipi yang terangkat dan bibir yang tersenyum.  Seseorang itu pastinya akan merasa serba salah sekiranya dia tidak membalas senyuman yang telah dilemparkan kepadanya maka bermula daripada saat ini cubalah memulakan memberikan senyuman kepada semua orang dengan harapan virus senyuman ini akan merebak dengan meluas ke semua manusia dan seterusnya melahirkan suasana yang gembira dan menyeronokkan.

    Tetapi mengapa susah senyum?

    Pernah ada satu peristiwa berlaku kepada seorang wanita. Ketika itu dia berurusan di satu kaunter, tetapi pelayan di kaunter itu melayannya dengan muka yang masam sedangkan seketika tadi dia melayan pelanggan sebelumnya dengan muka yang manis sekali. Sehinggalah selesai urusan dengan pelayan tersebut, wanita itu masih tertanya-tanya, apakah silapnya sehingga dia dilayan dengan muka yang masam begitu. Sepintas dia melalui sebuah kedai yang bercermin besar, ketika itu dia terlihat wajahnya di cermin tersebut. Lalu dia tersenyum, patutlah pelayan tadi bermuka masam dengannya kerana wajahnya juga masam dan berkerut ketika itu, mungkin akibat tekanan kerja yang membebankan di pejabat. Lalu dia tersenyum sendiri dan mengubah riak wajahnya supaya kelihatan manis dengan senyuman.

    Sememangnya ada individu yang dilahirkan secara semulajadinya berwajah masam, berwajah bersahaja dan sentiasa murah dengan senyuman. Itu adalah kurniaan Ilahi yang boleh diubah sekiranya kita mengenali kelebihan dan kekurangan diri. Sebenarnya mereka yang berwajah masam dan seakan susah senyum itu bukanlah susah senyum sebenarnya, tetapi mereka tidak tahu bila masanya fikiran bawah sedar mereka patut memprogramkan perbuatan senyum itu. Mereka juga tidak tahu bagaimana untuk menampilkan apa yang dirasainya kepada orang lain. Jadi secara tidak langsung, tanggapan orang lain terhadapnya kadangkala tidak tepat kerana orang hanya dapat melihat luaran tanpa dapat menilai dalaman. Maka kitalah yang mampu mengubah tanggapan orang lain terhadap diri kita dengan menampilkan wajah yang sepatutnya kepada orang lain untuk mengubah tanggapan negatif mereka kepada tanggapan yang positif.

    Jadi, bagaimana caranya untuk mudah tersenyum?

    Senyuman akan  terjadi apabila kita memaksa diri untuk tersenyum. Latihan boleh dilakukan apabila kita bersendirian di bilik atau sebagainya. Jika hati sedang gelisah ataupun bersedih, cuba senyum seketika dan bayangkan keseronokan yang kita alami dengan insan tersayang, insyallah mood gembira akan terus meresap dalam diri ketika itu juga. Walaupun mungkin kegembiraan atau keceriaan tidak wujud dalam diri kita, tetapi apabila kita cuba juga bertindak bagi mewujudkan keceriaan itu, lambat laun ia terbentuk juga. Dari situlah akhirnya perasaan ceria itu membantu kita sentiasa mengukir senyuman yang cukup manis dan segar.

    Selain itu, senyuman juga mudah terpancar apabila hati kita bersih dan tunduk pada Yang Maha Kuasa, Allah SWT. Dengan mengingati Allah, hati akan lebih damai dan bahagia.  Namun, bagi yang ingin mengubat hati yang mungkin ketika ini berada dalam kesedihan, terluka ataupun kecewa maka inilah ubatnya iaitu Solat Malam ( tahajjud ), sentiasa berzikir membersihkan hati, membaca Al-Quran dengan maksudnya, perbanyakkan berpuasa sunat termasuklah wajib dan bergaul dengan orang Soleh ( orang yang baik dan beriman ). Barangsiapa yang dapat melakukan salah satu daripadanya insyallah hati akan lebih terubat dengan baiknya seterusnya dapat memberikan senyuman yang manis dan ikhlas untuk membahagiakan insan di sekeliling kita.

  • Bagaimana Menghargai Perasaan Orang Lain?
    July 24th, 2008 | Tiada Sebarang Komen Comments

    Assalamualaikum W.B.T, salam sejahtera buat semua sahabat dan pengunjung laman Fitrah Power ini.

    Mengapa perlunya menghargai perasaan orang lain? Persoalan ini akan terjawab apabila kita menanyakan kembali soalan itu kepada diri sendiri dalam bentuk soalan “Mengapa pelu menjaga perasaan sendiri?”. Dalam konsep ‘Hablum Min-Annas’ telah jelas di situ akan maksudnya bahawa kita perlu menjaga hubungan sesama manusia selain menjaga hubungan dengan Maha Pencipta( Hablum Min-Allah). Perlunya menjaga perasaan orang lain sama pentingnya menjaga perasaan sendiri, kerana Allah SWT telah menjadikan naluri manusia itu suka akan penghargaan, pujian dan kelembutan tutur kata.

    Sebagaimana firman Allah:

    “Maka dengan sebab rahmat yang melimpah-limpah dari Allah kepadamu wahai Muhammad engkau telah bersifat lemah lembut kepada mereka sahabat-sahabat dan pengikutmu dan kalaulah engkau bersifat kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu”. ( Surah Aali- Imran ayat 159 )

    Penghargaan kepada perasaan orang lain tidak bermakna perlu bersetuju dengan apa yang diucapkan. Bersetuju melibatkan fakta sama ada apa yang dikatakan itu benar atau salah. Manakala menghargai pula melibatkan emosi dan perasaan, ia adalah dua perkara yang berbeza. Kita haruslah berhati-hati dalam menggunakan kedua-dua cara ini dalam satu masa, kerana masalah mungkin akan timbul akibat campur aduk ini.

    Menghargai perasaan orang lain boleh berlaku dengan cara kita mendengar dan memberi perhatian kepada apa yang diceritakan kepada kita dan kita menyelami perasaan orang yang sedang berkata-kata itu. Selain itu cara yang paling mudah adalah dengan diam, mengangguk, dan melihat ke wajahnya semasa dia sedang berkata-kata. Selain itu kita boleh menggunakan komen-komen neutral yang biasa digunakan seperti “ ya, betul.” , “ Ok,” , “Oh!”, “Menarik, menarik…”, “Iya ker?, “Teruskan”, “Isyyy…kasihannya awak.” , “Oh, begitu,” dan sebagainya. Komen neutral ini membantu mendorong orang yang sedang bercakap supaya terus bercakap dan meluahkan masalahnya sehingga kesusahannya hilang selepas dia berasa dihargai kerana ada insan yang sudi mendengar keluhan keresahannya.

  • Bagaimana Mengurus Dan Membersihkan Hati Anda?
    July 24th, 2008 | 5 Komen5 Comments Comments

    ASSALAMUALAIKUM… Buat semua Sahabat Fitrah. Hati ibarat ketua dalam diri anda manakala anggota tubuh adalah pekerjanya. Jika kuat ketuanya, maka pekerjanya juga akan kuat. Begitu juga apabila ketuanya positif dan berwawasan maka pekerjanya juga positif dan aktif bergerak merealisasikan wawasan ketua.

    Setiap manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah hati yang suci murni. Namun jika hati tidak diurus dan dijaga dengan bersungguh-sungguh, ianya secara semulajadinya amat mudah dikotori dan dicemari. Namun, bagaimanakah caranya menguruskan dan membersihkan hati? Berikut adalah cara terbaik yang dianjurkan untuk membantu kita menyucikan kembali hati yang kurang jernih.

    Sebagaimana hadis Riwayat Muslim:
    “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh badan kamu, tidak juga kepada rupa kamu tetapi ia melihat kepada hati dan amalan kamu”.

    1. Banyak meluangkan masa untuk muhasabah diri.

    Waktu terbaik untuk muhasabah diri adalah selepas selesai solat fardhu. Ambillah sedikit masa untuk duduk diam seketika selepas selesai solat dengan melihat dan merenung kembali kekurangan dan kelemahan yang wujud dalam diri. Mengingati kekurangan dan kelemahan bukanlah untuk disesali tetapi untuk diperbaiki.

    Waktu yang terbaik juga untuk muhasabah diri adalah beberapa ketika sebelum terlelap pada waktu malam. Soalan yang harus ditanyakan dalam diri ialah “ Apa yang sudah saya lakukan sepanjang hari ini?”

    2. Terima hakikat tiada kejayaan sebenar di dunia ini.

    Terimalah hakikat bahawa kejayaan di dunia ini bukanlah ukuran kejayaan yang hakiki, sebaliknya kejayaan sebenar adalah apabila kita bertemu dengan Allah SWT, kita dikurniakan syurga. Kejayaan yang dikecapi di dunia adalah subjektif, dan ianya berbeza mengikut individu. Hati akan mudah terubat apabila kita membisikkan “ tidak ada yang sempurna di dunia ini,” apabila menemui kegagalan di dalam sesuatu usaha.

    3. Berusaha mendapatkan ilmu berkaitan diri sendiri

    Ramai yang tidak percaya akan kewujudan dan kepekaan pancaindera yang keenam iaitu “pandangan mata hati”. Namun begitu, ilmu berkaitan dengan diri sendiri mudah diperoleh jika kita menggunakan pancaindera ini, dan dengannya juga kita mampu melihat dan menilai segala kekuatan dan kelemahan yang ada dalam diri. Namun bagaimanapun pancaindera ini akan lebih efektif sekiranya diri kita selalu dekat dengan Allah dan patuh kepada setiap perintah-Nya.

    4. Belajar daripada orang lain.

    Belajar daripada orang lain adalah sebahagian daripada proses kehidupan dan perkembangan seseorang manusia. Proses pembelajaran ini akan lebih berkesan dengan melihat setiap perkara yang berlaku di sekeliling dengan kaca mata seorang pelajar dan digabungkan dengan pandangan mata hati hendak belajar. Melalui proses inilah segala yang buruk dapat dijadikan pengajaran untuk dihindari manakala perkara baik yang ditemui, tempuhilah sebagai pedoman untuk terus memperbaiki diri. Ingatlah, orang yang bijaksana menjadikan semua perkara di sekelilingnya sebagai tempat belajar dan sentiasa memperbaiki kualiti hatinya.