Siri Tauladan

Ibnu Abbas Pentafsir Al-Quran Yang Masyhur

Ibn Abbas atau nama sebenarnya Abdullah Ibnu Abbas adalah merupakan bapa saudara kepada baginda Rasulullah s.a.w. Beliau dilahirkan tiga tahun sebelum berlakunya peristiwa hijrah. Ibnu Abbas sememangnya memberikan kesetiaan kepada baginda Rasulullah sepanjang hidupnya. Ketika usianya Abdullah selalu mengambilkan air ketika baginda ingin berwuduk. Abdullah juga akan berdiri di belakang baginda untuk berjemaah. Abdullah juga selalu menemani Rasulullah ketika baginda bermusafir.

Abdullah Ibnu Abbas adalah salah seorang perawi hadis yang terkenal dan juga seorang yang mahir dalam mentafsirkan al-Quran. Rasulullah selalu mendekati Abdullah ketika usianya masih kecil. Bahkan pada suatu hari Rasulullah menepuk-nepuk bahu Abdullah dan mendoakannya, “Ya Allah jadikanlah ia seorang yang mendapat pemahaman mendalam mengenai agama Islam dan berilah kefahaman kepadanya di dalam ilmu tafsir.”

Ternyata doa baginda Rasulullah dimakbulkan oleh Allah SWT. Di usia mudanya Abdullah telah menunjukkan kelebihan dan kebijaksanaan yang melebihi tahap umurnya. Tidak hairanlah Umar al-Khattab pernah berkata, “Sebaik-baik tafsir al-Quran ialah dari Ibnu Abbas. Apabila usiaku masih panjang nescaya aku dan sentiasa bersama dengan Abdullah Ibnu Abbas.

Sifat alim dan rendah diri Abdullah sering menjadi pujian di kalangan sahabat-sahabat Rasulullah yang lain. Saad Ibn Abi Waqas pernah berkata, “Aku tidak pernah melihat seorang yang lebih cepat dalam memahami sesuatu, yang lebih berilmu dan lebih bijaksana daripada Ibnu Abbas. Sifat inilah yang telah meletakkan Abdullah Ibnu Abbas masyhur sebagai orang yang paling alim di kalangan ummah ini.

Ibnu Abbas juga adalah seorang yang istiqamah dalam amalnya.Beliau kerap berjaga malam untuk beribadah dan juga selalu menangis apabila sedang solat dan membaca al-Quran. Beliau meninggal dunia berusia tujuh puluh satu di Kota Taif pada tahun 68 hijrah. Jenazahnya disembahyangkan oleh Muhammad bin Hanafiah bin Ali bin Abi Talib.

1 comment - What do you think?

Abdullah Penggempur Perang

Seorang wanita mulia puteri Abu Bakar As-Siddiq telah melahirkan kandungannya ketika beliau sedang hijrah dari Makkah ke Madinah. Asma’ adalah ibu yang melahirkan Abdullah bin Zubair. Bahkan Abdullah telah ditahnik oleh baginda Rasulullah s.a.w.

Begitulah hebatnya Abdullah bin Zubair yang dilahirkan dari pasangan mujahid dan mujahidah yang turut mengalir di dalam dirinya darah seorang pejuang sejak dari zaman remajanya lagi. Kehebatannya di medan perang bukanlah sekadar hebat bermain pedang, bahkan Abdullah
membuktikan kehebatannya apabila bersama dengan mujahid-mujahid lainnya ketika menggempur Afrika membebaskan mereka dari kesesatan. Sedangkan usianya ketika itu baru mencecah 17 tahun. Namun begitulah kehebatan Islam yang berjaya membentuk pemuda dan belia muslim ketika dalam menegakkan Islam.

Dalam peperangan tersebut jumlah tentera di antara dua pasukan jauh tidak seimbang, sudah tentu sedikit sebanyak menimbulkan rasa gerun untuk berhadapan dengan musuh. Namun janji syahid dijanjikan Allah telah menetapkan kedudukan tentera muslimin untuk menghadapi musuh. Melihat keadaan yang mungkin tidak berpihak kepada tentera muslimin, Abdullah mencari rahsia kekuatan awan. Akhirnya ia mengetahui, bahawa kekuatan musuh bertumpu pada raja Barbar yang menjadi panglima perang mereka.

Maka Dengan penuh keberanian Abdullah cuba menembusi pasukan musuh yang berlapis-lapis menuju ke arah panglima Barbar. Usahanya tidak sia-sia, ketika jarak antara dirinya dengan raja Barbar telah hampir, maka beliau terus menghunus pedangnya ke arah panglima Barbar. Panji pasukan lawan pun direbut oleh rakan seperjuangannya dari tangan musuh. Semangat tempur pasukan musuh berubah dan tak lama kemudian mereka bertekuk lutut di hadapan para mujahid yang gagah berani. Pahlawan yang tegas dalam kebenaran ini syahid pada usia 72 tahun
terbunuh oleh tangan musuh Hajjaj bin Yusuf.

Be the first to comment - What do you think?

Zainab Isteri Rasulullah Paling Banyak Sedekahnya

Zainab binti Jahsy adalah seorang wanita yang cantik jelita dari kaum bangsawan yang terhormat. Dipandang dari ayahnya, Zainab adalah wanita keturunan suku Faras yang berdarah bangsawan tinggi. Ia dinikahkan oleh Rasulullah s.a.w dengan anak angkat kesayangannya iaitu Zaid bin Haritsah. Tetapi jodoh pertemuan mereka berdua tidak kekal lama, kerana akhirnya mereka berpisah.Kemudian Allah SWT telah memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w untuk mengahwini Zainab.

“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: “Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah”, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.”
[Surah Al-Ahzab: 37]

Imam Bukhari meriwayatkan dari Anas, Zainab sering berkata, “Aku berbeza dari isteri-isteri Rasulullah S.A.W yang lainnya. Mereka dikawinkan oleh ayahnya, atau saudaranya, atau keluarganya, tetapi aku dikawinkan Allah dari langit.”

Zainab adalah seorang wanita berhati lembut dan penuh kasih sayang, suka menolong fakir miskin dan kaum lemah. Dia senang sekali memberi sedekah, terutama kepada anak yatim. Rasulullah pernah bersabda kepada isterinya, “Yang paling dahulu menyusulku kelak adalah yang paling murah tangannya.” Maka berlumba-lumbalah isteri baginda dalam memberikan sedekah kepada fakir miskin. Namun tak ada yang mampu mengalahkan Zainab dalam memberikan sedekah.

Dari Aisyah r.a berkata, “Zainab binti Jahsy adalah seorang dari isteri-isteri Nabi yang aku muliakan. Allah S.W.T menjaganya dengan ketaqwaan dan saya belum pernah melihat wanita yang lebih baik dan lebih banyak sedekahnya dan selalu menyambung silaturahim dan selalu  mendekatkan dirinya kepada Allah selain Zainab.”

Zainab mempunyai bakat dalam menyamak kulit, memintal serta menenun kain sutra, hasil inilah yang dijual dan disedekahkan. Hal itulah yang menyebabkan wanita cantik isteri Rasulullah ini bersedekah lebih banyak dari yang lainnya. Setelah Rasulullah wafat, Zainab terus aktif dengan
usahanya, terus bersedekah kepada fakir miskin. Ketika ia mendapat bagian harta dari Baitul Mal semasa pemerintahan khalifah Umar r.a dia berdoa, “Ya Allah janganlah harta ini menjadi penyebab fitnah.”Maka segera ia membahagikan harta itu kepada anak-anak yatim dan fakir miskin. Mendengar kata-kata itu Umar r.a mengirim lagi, tetapi Zainab tetap membahagikannya kepada anak yatim dan fakir miskin. Wanita pemurah itu wafat pada tahun 44H pada masa pemerintahan Khalifah Muawiyah.

Be the first to comment - What do you think?

10 Sebab Anda Gagal Menyelesaikan Tugasan Di Tempat Kerja Dengan Baik

525946483_0b386b781d_o.jpg

Assalamualaikum w.b.t.

Anda mungkin pernah mengalami masalah tidak dapat menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh ketua dengan baik. Cuba anda semak kembali apakah faktor-faktor yang menjadi punca masalah anda itu, semoga dengan ini anda dapat mencari jalan penyelesaian bagi masalah anda itu.

1. Terlalu banyak gangguan
Berdasarkan kajian yang telah dibuat, antara gangguan yang sering berlaku di tempat kerja ialah mesyuarat yang tak dirancang, panggilan telefon, suasana bising dan sebagainya.

2. Anda tidak mempunyai sumber yang lengkap.
Seumpama tukang masak yang memerlukan sudip dan kelengkapan memasak yang lain, begitu jugalah dengan pekerja yang memerlukan maklumat dan kelengkapan kerja seperti komputer dan data-data yang diperlukan untuk menghasilkan kerja yang memuaskan dan tepat pada masanya.

3.  Anda tidak tahu apa yang hendak dilakukan.
Menurut Clayton Warholm, seorang pakar di dalam komunikasi di tempat kerja, terdapat dua punca pekerja tidak mahir dalam melakukan kerja mereka. Samada tugasan yang diberikan itu tidak dijelaskan secara terperinci oleh ketua ( tidak tahu apa hendak dibuat) ataupun pekerja itu tidak dilatih dengan baik ( anda tidak tahu bagaimana untuk melakukannya).

4. Anda mempunyai  terlalu banyak tugasan
Sesetengah orang mempunyai terlalu banyak kerja yang tidak mungkin dapat disiapkan walaupun terpaksa bekerja 24 jam sehari selama 7 hari seminggu. Perkara ini biasa berlaku dalam mana-mana organisasi yang mempunyai pekerja yang sedikit. Akibatnya, kekecewaan akan berlaku apabila anda tidak dapat menyiapkan tugas kerana tidak mungkin akan dapat melakukannya.

5.  Anda tiada kemahiran menguruskan masa.
Pekerja yang mempunyai kemahiran ini melakukan apa yang paling penting tetapi sebaliknya  pula bagi yang lemah pengurusan masanya melakukan apa yang dilihatnya senang dan menyeronokkan.

6. Anda seorang yang suka bertangguh.
Kenapa harus menunggu esok jika perkara itu boleh dilakukan hari ini? Anda mungkin menangguhkan sesuatu kerja itu kerana anda khuatir hasil kerja anda itu tidak memuaskan hati. Sebagai contoh, sekiranya anda takutkan kegagalan dan khuatir akan menghasilkan kerja yang kurang bagus, maka anda akan membuka peluang untuk anda mengelak daripada melakukan apa-apa. Walaupun anda sebolehnya inginkan kesempurnaan dalam setiap hasil tugas yang anda lakukan, tetapi bos ataupun client anda lebih melihat kepada kerja yang kurang sempurna daripada anda tidak melakukan langsung kerja tersebut.

7. Anda rasa tidak dihargai
Sekiranya anda merasakan diri anda tidak dihargai ataupun anda memperolehi gaji yang tidak setimpal dengan kerja yang anda lakukan, maka anda mungkin tidak dapat memberikan 100%  komitmen dalam kerjaya yang anda ceburi. Secara sedar ataupun tidak kebanyakan pekerja cuba untuk menyeimbangkan antara ‘memberi dan diberi’ antara mereka dan majikan. Mereka akan melakukan kerja berdasarkan kepuasan hati mereka terhadap majikan. Pekerja yang merasakan mereka tidak dihargai akan menjadi kurang berusaha, kerap mengambil cuti, cuai dan sebagainya.

8. Keutamaan syarikat yang bertukar-tukar.
Anda sedang menyiapkan projek A, tetapi tiba-tiba majikan anda mengarahkan supaya anda meninggalkan seketika projek A tersebut dan memberikan tumpuan kepada projek B. Apabila perkara ini berlaku, anda akan berfikir bahawa anda tidak menyelesaikan tugas anda, tetapi majikan anda berfikir sebaliknya. Setengah orang adalah flexible dan senang untuk serasi dengan arahan yang baru dan teruja untuk melakukan tugas yang baru tetapi ada juga sesetengah orang yang akan merasa kecewa apabila tidak dapat menyiapkan sesuatu projek. Jika anda adalah orang yang kedua seperti disebutkan tadi dan bekerja di dalam industri yang sepanjang masa akan berlaku perubahan, maka anda perlu mempertimbangkan untuk menukar kerjaya anda.

9. Anda ‘Burned out’
Merujuk kepada website American Psychological Association, burnout ialah keletihan emosi yang disebabkan oleh tekanan yang teruk di tempat kerja. Ia mungkin kerana suasana tempat kerja yang negatif seperti pekerjanya sering bermusuh antara satu sama lain, tertekan dengan deadline yang ketat, jangkaan dan harapan yang terlalu tinggi terhadap sesuatu perkara, kerisauan dan melakukan kerja yang tidak sepadan dengan kemampuan. Kesemua ini adalah antara sebab dan punca berlakunya tekanan jantung dan sakit-sakit yang lain.

10. Ganjaran bagi tugasan yang telah anda siapkan.
Anda mungkin seorang yang hebat kerana dapat menyiapkan tugas sebelum ataupun tepat pada masanya. Namun peliknya, kebanyakan organisasi menghadiahkan pekerja yang rajin dan bekerja keras itu dengan tambahan kerja yang lebih banyak menggantikan bonus atau faedah yang lain. Sekiranya perkara ini berlaku di dalam organisasi anda, tidak mustahil anda akan merasakan tidak termotivasi untuk bekerja dengan lebih keras.

11 comments - What do you think?