Muhasabah Ramadhan
Alhamdulillah…Sejuta kesyukuran dipanjatkan pada yang Maha Esa dengan keberkatan Ramadhan, disambut dengan harapan yang tinggi oleh mukmin yang suci. Namun, pada bulan yang suci ini adakah kita mengisinya dengan sebaiknya? atau adakah amalan kita makin meningkat atau masih sama dengan bulan-bulan sebelumnya..Marilah sama-sama kita renungkan….
Daripada Ibnu Umar r.a. berkata, sabda Rasulullah s.a.w, ”Sesungguhnya hati ini berkarat seperti mana berkaratnya besi apabila terkena air, seorang sahabat bertanya, “bagaimana menghapuskan karat tersebut’? Jawab Nabi s.a.w., banyakkan menyebut mati dan membaca al-Quran.
Ciri-ciri Persahabatan dalam Islam
“Imam Al-Ghazali berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:
1. Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu.
2. Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu.
3. Jika engkau menghulur sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik.
4. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu.
5. Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu.
6. Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya.
7. Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu.
Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu akan teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat akan kematian…
Tersujud di Pelantar Rahmat-Nya
Apakah kita tahu maksud sebenar ujian?
atau, Apakah kita hanya faham bahawa hanya kesakitan, kesulitan, keberatan, kegagalan dan perkara yang mengguris hati adalah sebenar-benar ujian?
atau, kita benar-benar faham bahawa ujian itu datang dalam pelbagai bentuk termasuklah kesenangan, kemewahan, kejayaan, kegembiraan dan perolehan?
Firman Allah SWT:
”Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata ”kami telah beriman” sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)”? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta”.
Al-Ankabut : 2-3
Pembaca sekalian, ujian Allah sememangnya adalah suatu kemestian dan menjadi lumrah dengan kejadian kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Hal ini boleh dilihat dan diteladani melalui kisah nabi Adam AS melalui kejadiannya.
Ketika baginda diciptakan di syurga baginda dilarang untuk memakan buah khuldi, namun kerana terpengaruh dengan hasutan iblis telah membuatkan Adam AS telah melanggar arahan dan dicampakkan ke bumi. Lihatlah bahawa awal kejadian khalifah sekalipun Allah telah menguji hambaNya. Maka apakah kita ingin berkata bahawa ”aku tidak patut diuji”?
Lalu apabila kita ditimpa dengan pelbagai ujian maka terdapat segelintir dikalangan kita yang cuba mempersoal akan keadilan Allah SWT dalam memberi dan mengagih ujian kepada hamba-hambaNya.
Malangnya manusia hanya akan tersujud apabila benar-benar mengakui bahawa Allah SWT adalah penentu segalanya.
Akibat daripada itu maka ramai yang akan mula mengeluh dan mengalah dari rasa untuk berusaha dan terus berdoa kepada Allah SWT untuk diberi kekuatan ke atas ujian yang ditimpakan ke atas mereka.
Firman Allah SWT:
”Allah tidak memberati (diberi ujian kepada) seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya”…
Al-Baqarah : 286
Sebagai satu motivasi diri untuk menempuh ujian Allah kita perlu sedar bahawa setiap ujian yang menimpa kita adalah berada di dalam kemampuan kita, hanya kita yang masih tidak berfikir akan hikmah disebalik ujian yang Allah berikan dan yakinlah bahawa janji Allah untuk mereka yang diuji adalah benar akan balasan dan timbal baliknya.
Walaupun miskin, kesyukuran mesti dipanjatkan kepada Allah SWT kerana masih mampu memelihara diri dari maksiat, bahkan juga masih mampu berpakaian untuk menutupi aurat dan memelihara solat.
Dalam kehidupan kita pada hari ini kita bersangkakan bahawa ujian yang berat hanya pada kesusahan seperti kemiskinan dan kesakitan seperti ditimpa penyakit kronik, lumpuh, barah dan sebagainya. Tetapi sedar atau tidak bahawa kesenangan juga merupakan satu ujian seperti kekayaan harta dan kegembiraan. Ini jelas seperti maksud hadis baginda SAW:
“Apabila Kamu Melihat Bahawa Allah SWT Memberikan Nikmat Kepada HambaNya Yang Selalu Membuat Maksiat (dosa) Ketahuilah Bahawa Orang Itu Telah Diistidrajkan Oleh Allah SWT”.
Riwayat At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi
Apabila orang-orang yang selalu melakukan maksiat tetapi dalam masa yang sama dia dikurniakan oleh Allah SWT akan kesenangan dan kegembiraan maka itulah Istidraj. Ujian ini merupakan ujian yang paling berat kerana ia seolah-olah menempah tempat di neraka.
Kemewahan dan kesenangan juga adalah ujian dari Allah SWT. Hari ini boleh dikira berapa banyak rumah mewah yang tidak menyediakan ruangan khusus untuk mereka beribadat.
Kesenangan akan membuatkan mereka sombong dan angkuh dengan kekayaan dan kesenangan mereka bahkan kepandaian dan kecerdikan juga akan membuatkan mereka berasa hebat dan bongkak dengan kecerdikan mereka, dan semua ini juga merupakan ujian untuk Allah memperlihatkan kepada hambaNya adakah mereka ini akan bersyukur dengan nikmat yang diberikan. Bahkan jika dilihat mereka inilah yang tidak mampu untuk membeli pakaian bagi menutupi aurat mereka.
Sesungguhnya Allah SWT maha mengetahui akan segalanya daripada kita selaku hambaNya, dan ingatlah bahawa ujian Allah membuktikan bahawa kita disayangi olehNya berikutan setiap ujian akan dibalas dengan pahala yang sangat banyak apabila bersabar. Oleh itu bersabarlah kita apabila diuji.
Islam menyuruh umatnya untuk sentiasa berkongsi kesenangan dan kesusahan untuk terus hidup di dunia yang sementara ini. Ini dapat dikenali melalui konsep Zakat, Sedekah, dan Waqaf.
Oleh yang demikian ujian yang tertimpa ke atas seorang hamba adalah untuk:
- Mengangkat darjat seseorang di dunia dan akhirat. Ini kerana mereka yang apabila di ujian bersabar maka darjatnya adalah lebih tinggi untuk selamanya.
- Mendidik hati untuk menjadi lebih bersih dan lebih ikhlas kepada Allah SWT.
- Membuktikan sifat kehambaan kepada Allah yang mana Allah ingin melihat sama ada ujian akan membuatkan hambaNya akan terus beriman atau pun berpaling dari Allah akibat daripada kelemahan untuk menghadapi ujian tersebut.
- Memperoleh pahala dari Allah kerana hanya Allah yang menjadi tempat bersandar bagi kita di saat tempat bersandar yang lain telah mengkhianati kita.
Kini kita perlu terima dengan hati yang terbuka bahawa apa yang berlaku adalah ujian dari Allah SWT, kita harus sengaja untuk sujud di naungan rahmat dan nikmat yang dicucurkan kepada kita kerana apa jua perkara yang berlaku samada positif mahupun negatif itu adalah ujian dariNya.
Setiap penyakit pasti ada ubatnya, setiap ujian ada hikmahnya, setiap yang baik ada buruknya, setiap yang buruk ada baiknya dan ini semua adalah sifat molekul positif dan negatif yang merupakan hakikat kepada keduniaan.
Renungilah firman Allah SWT ini:
”… dan boleh jadi kamu benci (tidak suka) kepada sesuatu pada hal ia (sebenarnya) baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka pada sesuatu pada hal ia (sebenarnya) buruk bagi kamu, dan ingatlah Allah jualah yang Maha Mengetahui (semuanya itu) sedang kamu tidak mengetahuinya”.
Al-Baqarah : 216
Racun Dibalas Madu
Assalamualaikum warah matullahi wabarakatuh.
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia..”[Al-Maaidah:54]
Daripada ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa dalam situasi yang berlaku, ketika mana sebahagian dari umat Islam yang murtad dari agama Allah SWT tetapi Allah tidak mendatangkan azab yang pedih. Sebaliknya Allah SWT telah mendatangkan satu kaum yang mengasihi mereka serta kaum yang dapat membawa mereka keluar dari sangkar kejahatan. Itulah kasih sayang Tuhan yang tidak terbatas kepada hamba-hambaNya.
Realitinya yang berlaku sesama insan, sukar sekali untuk kita melihat situasi kasih sayang yang begini hebat. Jarang kita dengar cerita yang menjadi bual mulut kita bahawa kejahatan yang kita terima daripada orang lain, dibalas dengan kebaikan. Rasulullah s.a.w ketika mana
dalam usia menyampaikan dakwahnya, seringkali diperlakukan dengan perbuatan yang keji. Baginda yang mulia telah diancam bunuh oleh kafir Quraish, dilemparkan najis ketika solat dan dihina dan dicemuh di hadapan orang lain. Namun apa yang dilakukan oleh baginda ialah baginda tidak membalas perbuatan-perbuatan mereka dengan perbuatan yang sama.
Pernah suatu ketika juga, Rasulullah selalu berjalan kaki ke masjid. Dalam perjalanan baginda ke masjid ada seorang wanita tua yang sememangnya menunggu Rasulullah melalui jalan tersebut untuk meludah ke arah baginda. Setiap hari wanita tersebut akan meludah ke arah baginda apabila baginda memalui jalan tersebut. Sehinggalah pada suatu hari, Rasulullah hairan kerana mendapati dirinya tidak diludah pada hari tersebut. Maka Rasulullah mencari wanita tersebut, dan mendapat tahu wanita tua itu sedang sakit. Tetapi racun yang diberikan oleh wanita tua itu telah dibalas madu oleh Rasulullah s.a.w. Ziarah Rasulullah telah menyebabkan wanita itu menerima dan mengakui kerasulan baginda.
Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh kita sebagai umat baginda.Selalunya perbuatan baik akan dibalas dengan perbuatan baik dan perbuatan jahat akan dibalas perbuatan jahat. Tetapi alangkah besarnya penghargaan yang mungkin kita terima andai apabila kebaikan yang kita berikan
di atas keburukan yang kita terima. Pepatah ada menyebut, “Ingat kebaikan orang pada kita, lupakan kebaikan kita pada orang, ingat kejahatan kita pada orang dan lupakan kejahatan orang pada kita.”






