Hakikat Penyakit Riak
Assalamualaikum w.b.t
Firman Allah dalam surah al-Ma’un ayat 4-6

Maksudnya: Maka celakalah bagi orang yang solat. (Iaitu) orang yang lalai solatnya dan orang-orang yang riak.
Alhamdulillah… Terima kasih kepada semua pelawat laman web kami ini kerana sudi melawat dan memberikan komen yang bernas anda. Sokongan anda amat kami hargai. Semoga usaha dakwah kami menerusi laman maya ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT dan manfaatnya dapat di ambil oleh semua, Insyaallah….
Ramai dikalangan kita pernah mendengar perkataan riak ini, tetapi tidak ramai yang sedar bahawa penyakit ini telah wujud dalam diri tanpa disedari dan tidak tahu bagaimana ianya muncul dan seterusnya merebak. Di sini kami akan merungkaikan apakah itu penyakit riak, bagaimana kehadirannya dan bagaimana mengatasinya. Semoga dengan rungkaian ini anda dapat mengambil iktibar dan cuba mengenalpasti adakah riak itu pernah ada dalam diri anda dan ikuti panduan yang kami berikan untuk membuang terus ataupun mengurangkan sedikit penyakit yang merosakkan hati anda tersebut.
Pengertian riak
Riak itu ialah melakukan kebaikan dan amal ibadat semata-mata untuk mencari tempat di dalam hati manusia.
Perkara yang diriakkan oleh manusia;
1- Riak dari segi badan
Riak jenis ini menunjukkan seseorang itu menampakkan keletihannya kerana berpuasa dan banyak berjaga malam untuk beribadat.
2- Riak pada pakaian
Seseorang itu memakai pakaian yang menunjukkan kewarakan dirinya sedangkan hakikatnya tidak. Memakai pakaian sebegini di hadapan golongan tertentu kerana kepentingan diri sedangkan di waktu lain dia bukanlah sebegitu malah hatinya juga bukanlah berniat untuk mendapat keredhaan Allah tetapi mengharap penghormatan daripada orang lain.
3- Riak dengan perkataan.
Riak ini adalah seseorang itu menunjukkan dirinya seorang yang benar dan ikhlas melalui perkataan yang keluar dari bibirnya. Tuturnya seperti seorang penasihat dan pensyarah. Dia memilih lafaz-lafaz yang halus dan dalam maknanya juga kata- kata hikmat beserta hadith. Dia juga berkata seperti kata para Nabi dan aulia sedangkan pada hakikatnya dia sebenarnya sunyi dan kosong.
4- Riak pada amalan
Orang sebegini adalah sering menzahirkan khusyuk dalam solat dan sengaja memanjang-manjangkan rukuk dan sujud apabila ada orang melihatnya. Orang seperti ini sering bersedekah secara terang-terangan, pergi menunaikan fardhu haji, berjalan menundukkan kepala dan kurang berpaling ke kanan dan ke kiri padahal Allah mengetahui batinnya. Sedangkan jika dia bersendirian amalannya bukan sempurna sebegitu, seperti solat dengan cepat, berjalan laju dengan matanya sering meliar ke sana ke mari dan sebagainya.
5- Riak dengan ramainya murid dan pengikut.
Seseorang itu berasa bangga dengan murid dan pengikut yang ramai. Demikian juga seperti seseorang yang sering menyebut nama ulama’ itu dan ulama’ ini bagi menunjukkan dirinya seorang yang banyak bertemu dengan syeikh dan ulama.
Peringkat Riak
1- Riak Akbar
Riak akbar ialah seseorang itu taat melakukan ibadat tetapi untuk mendapatkan sesuatu daripada manusia dan bukanlah untuk beroleh keredhaan Allah SWT. Riak ini adalah berpaling terus daripada Allah pada keseluruhannya kerana hanya berkiblatkan manusia.
2- Riak Asghar
Riak asghar ini pula ialah melakukan sesuatu untuk mendapatkan apa yang ada pada manusia dan apa yang pada Tuhan iaitu melakukan amal kerana Allah dan kerana yang lain daripada-Nya. Riak ini adalah lebih ringan daripada riak akbar kerana orang itu menghadap Allah pada satu segi dan kepada manusia pada satu segi yang lain.
3- Riak Jali ( yang terang )
Riak ini ialah mendorong seseorang itu untuk melakukan amal ibadat. Sehinggakan jika tanpa riak ini dia tidak berminat untuk melakukan amal.
4- Riak Khafi ( yang tersembunyi )
Riak ini pula ialah riak yang tesembunyi dan ianya tersembunyi dalam hati di mana ianya mendorong seseorang itu untuk lebih rajin beribadat.
Bagaimana mengelakkan sifat riak?
Rawatan terbaik bagi segala penyakit di muka bumi ini adalah menghindari dengan menjauhi sebab-sebab
dan punca terjadinya penyakit. Begitu jugalah kepada penyakit riak ini, iaitu menjauhi sebab-sebab yang
boleh membawa kepada perasaan itu, antaranya ialah;
1- Sifat suka dipuji oleh orang lain. Sifat ini akan membawa kepada bangga diri dan suka menunjuk-nunjuk
kelebihan kepada orang lain.
2- Takut dikritik atau dicerca oleh orang lain. Ketakutan ini boleh membawa kepada penampilan yang kurang jujur
dan suka berpura-pura.
3- Cintakan kehidupan dan kemewahan dunia dan lupa pada kematian. Seseorang itu melakukan segala pekerjaan
adalah semata-mata kerana untuk menarik perhatian orang lain, dan menganggap dirinya hebat. Manusia sebegini mengharapkan ganjaran atas segala pekerjaan yang dilakukan.
Setelah mengetahui sebab-sebab yang menjadi punca riak, mari kita lihat bagaimanakah cara untuk menghindarinya. Terdapat beberapa cara untuk menghindari sifat riak daripada menguasai hati;
1- Sentiasa mengingatkan diri sendiri tentang perkara yang diperintahkan Allah dan juga sering menyucikan
hati dengan melakukan ibadat-ibadat khusus seperti zikir dan membesarkan kekuasaan Allah.
2- Mengawasi diri agar sentiasa takut akan kemurkaan Allah. Dengan tabiat ini akan membawa diri
agar sentiasa berwaspada dalam melakukan perkara yang boleh mengheret kepada dosa dan seksaan
Allah pada hari akhirat kelak.
3- Berwaspada terhadap perkara-perkara yang boleh menghapuskan pahala amalan yang dilakukan akibat riak.
4- Menanamkan dalam diri perasaan bahawa melakukan sesuatu itu kerana manusia sehingga membawa
kemurkaan Allah itu adalah suatu perkara yang buruk dan patut dijauhkan.
5- Sentiasa mengawasi diri daripada lalai terhadap ujian dan nikmat yang dikurniakan Allah untuk
menghampirkan diri kepada Allah.
6- Ikhlaskan diri dalam setiap amalan yang dilakukan.
Apabila berasa suka dipuji dan diberi penghargaan setiap kali membuat sesuatu perkara yang baik
dan berasa terhina apabila ditegur, maka inilah tanda wujudnya sifat riak. Adakalanya terdapat juga
orang yang melakukan amal kebajikan dengan niat ikhlas kerana Allah, namun dia mendapat mendapat
perhatian daripada orang lain atas amalannya. Keadaan ini tidak diambil kira sebagai riak kerana dia
sememangnya niat dengan ikhlas pada awalnya. Namun untuk melakukan satu-satu ibadat pada
permulaannya memang akan timbul perasaan riak dan rasa bangga diri, namun apabila amal itu
sering dilakukan dan berterusan dengan niat ikhlas pastinya perasaan riak itu akan terhapus
sedikit demi sedikit.
Janganlah takut untuk pergi ke masjid, mendengar tazkirah, menunaikan solat jemaah dan
sebagainya kerana takut akan dikatakan riak sedangkan dengan riak itulah akan mendorong
dan menggalakkan kita untuk beramal dan meningkatkan ibadat. Tetapi jangan biarkan perasaan
riak itu terus menerus menguasai diri kerana apabila ada riak dalam setiap amalan maka
amalan yang dilakukan adalah sia-sia belaka. Wallahua’lam.
Antara Dua Cinta
Antara dua cinta, memang sesuatu yang merumitkan kerana kita terpaksa membuat dua pilihan. Membuat pilihan adalah satu perkara yang agak membebankan, tetapi nukilan kali ini tidak akan menyentuh agar kita memilih yang mana satu tetapi kita harus memilih kedua-duanya kerana dengan memilih keduanya kita tidak berada dalam golongan orang-orang yang rugi malah kita akan merasa lebih bahagia dan berjaya.
Antara dua cinta yang ingin disentuh di sini ialah cinta dunia dan cinta akhirat. Kita tidak boleh memilih mana-mana untuk mencintai tetapi kita harus memilih kedua-duanya dan berlaku adil padanya. Tetapi kebanyakan dari kita hari ini telah membuat pilihan untuk mencintai dunia dan melupakan akhirat. Dan ada pula segelintir yang mencintai akhirat dan tidak mempedulikan dunia. Ramai di antara kita mengimpikan rumah besar, kereta besar dan mengejar kemewahan dunia yang sementara. Tak ramai di antara kita yang mengimpikan jannatul firdaus dan taman –taman syurga yang lain yang jauh lebih baik dan kekal.
Cinta dunia hanyalah cinta yang sementara, dunia hanyalah persinggahan untuk menuju ke akhirat. Mengejar cinta dan kemewahan dunia semata tidak akan membawa kita ke mana-mana malahan ia boleh melalaikan kita untuk mencari cinta yang sebenarnya yang lebih kekal abadi. Firman Allah:
“Dan (Ingatlah) hari (ketika) orang kafir dihadapkan ke neraka (kepada mereka dikatakan):
Kamu sudah menghabiskan rezekimu yang baik dalam kehidupan duniawimu (saja) dan kamu sudah bersenang-senang menikmatinya.”
(Surah al-Ahqaf, ayat 20)
Alangkah ruginya memiliki segala kemewahan dunia tetapi setakat dirasa selama 60 tahun saja. Bahkan ketika ditanya berapa lama kamu hidup di dunia? Mereka menjawab tidak lebih daripada setengah hari saja.
Bermimpi untuk memilih rumah anda di syurga dengan amalan yang sederhana dan mudah dilakukan, seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidaklah salah seorang kamu mengambil wuduk kemudian memperbaiki wuduknya dan mengerjakan sembahyang dua rakaat melainkan wajib baginya syurga.”
(Hadis riwayat Abu Daud, disahihkan oleh al-Albani)
Duit Raya Itu Sedekah Yang Mulia.

Assalamualaikum w.b.t.
Salam aidilfitri buat semua sahabat fitrah dan para pelawat website kami.
Sudah menjadi tradisi kita umat Islam meraikan hari raya aidilfitri dengan meriah dan gembira khususnya bagi kanak-kanak yang masih belum mengerti bagaimanakah penghayatan sebenar hari raya itu. Mereka hanya mengerti bahawa hari raya itu adalah hari untuk mengumpulkan duit raya sebanyaknya daripada orang-orang dewasa yang begitu bermurah hati mensedekahkan sejumlah wang pada hari tersebut.
Kelebihan tradisi bersedekah di hari raya ini sememangnya amat dibanggakan kerana sebagaimana Allah mensyariatkan bersedekah di dalam Al-Furqan-Nya;
وَأَنفِقُوا مِن مَّا رَزَقْنَاكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَا أَخَّرْتَنِي إِلَى أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ الصَّالِحِين
Maksudnya:
Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari
kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya:
Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh. (al-Munafiqun: 10)
Fadhilat atau kelebihan sedekah
Dengan bersedekah akan mendapat sepuluh kemuliaan dunia dan akhirat iaitu lima kemuliaan dunia :
1. Menyucikan harta yang ada
2. Menyucikan badan.
3. Menolak bala dan penyakit terutama orang-orang fakir.
4. Mendatangkan kesukaan.
5. Harta akan diberkati dan diperluaskan lagi rezeki,
Manakala lima kemuliaan di akhirat :
1. Menjadi penaung di akhirat apabila berada di Padang Mahsyar
2. Diringankan hisab iaitu perkiraan dosanya
3. Menambah berat timbangan amalan di akhirat.
4. Memudahkan laluan di Titian Siratal mustaqim dan
5. Nikmat yang besar ditambah di dalam Syurga.
Selain daripada itu, kelebihan bersdekah di hari raya juga mampu memberi kegembiraan hati kepada si penerima duit raya tersebut malah akan makin bertambah eratlah hubungan silaturrahim di antara sesama umat Islam. Bersedekah juga mampu melapangkan jiwa si pemberi dan janji Allah kepada sesiapa yang bersedekah, akan di luaskan lagi pintu rezekinya.
Niatkanlah pemberian duit raya itu sebagai satu sedekah.
Adakalanya segelintir daripada kita terlupa untuk diniatkan memberi duit raya itu sebagai satu sedekah kerana terlindung oleh pemikiran bahawa memberi duit raya itu adalah sebagai meneruskan satu tradisi dan adat budaya Melayu di hari lebaran. Malah terdapat juga segelintir daripada kita yang risaukan orang lain mengatanya malah ada juga yang bimbang akan dianggap kedekut jika tidak menmberi duit raya. Maka, sebaiknya bermula daripada hari ini niatkan setulus hati yang ikhlas mengeluarkan duit raya sebagai satu sedekah kepada anak-anak kecil dan saudara mara terdekat malah sesiapa sahaja. Alangkah bagusnya jika kita dapat membetulkan kembali niat kepada sedekah yang benar-benar ikhlas, sekurang-kurangnya inilah yang menjadi bekalan yang boleh dibawa apabila kembali menghadap Allah SWT dan menjamin kita ke syurga-Nya yang indah lagi membahagiakan. Insyaallah…
Hari Kemenangan Yang Bermakna

Assalamualaikum kepada semua Sahabat Fitrah. Terima kasih kerana sentiasa memberi sokongan di laman ini.
Dari Abu Sa’id Al Khudri r.a, katanya: “Rasulullah s.a.w. pergi ke tempat solat pada hari raya Idul Fitri dan hari raya Idul Adha. Mula-mula beliau solat hari raya. Sesudah solat beliau menghadap kepada orang ramai dan mereka masih duduk dalam saf masing-masing. Nabi berkhutbah memberikan pengajaran dan pimpinan, serta memberikan perintah-perintah kepada mereka. Jika Nabi hendak mengirim pasukan tentara, maka dibentuknya lah ketika itu, dan kalau Nabi hendak memberikan perintah, diperintahkannya lah ketika itu. Sesudah itu barulah baginda pergi.”
[HR Bukhari]
Alhamdulillah kita telah memasuki fasa terakhir Ramadan, fasa yang Allah SWT janjikan pelepasan api neraka kepada mereka yang beriman. Selepas itu kita akan menyambut hari raya Aidilfitri. Maka apabila kita menyambut hari yang kemenangan ini kita akan bersama-sama ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Apa yang diamalkan oleh kita pada hari ini, inilah juga yang telah diajarkan oleh baginda s.a.w kepada kita. Kemeriahan hari raya bukan hanya terletak kepada kemeriahan menziarahi antara satu sama lain. Tetapi Islam mengangkat kemuliaan hari ini dengan kita mendapat suatu santapan rohani sebagai satu peringatan dan kemenangan di hari ini. Inilah konsep hari kemenangan yang ingin diterapkan oleh Rasulullah s.a.w. Aidilfitri yang menjadi lambang kemenangan kepada orang-orang yang berpuasa bukan hanya diisi dengan aneka juadah hari raya, bukan juga dihiasi
dengan pelbagai hiasan hari raya tanpa kita mendapat momentum rohani sebagai panduan untuk kita menyambut kemeriahan ini dengan rasa syukur kepada Allah SWT.
Rasulullah juga mengajarkan kita dua perkara yang amat penting pada hari mulia ini, iaitu menghubungkan silaturahim dan bersedekah. Mudah-mudahan Aidilfitri ini tidak akan melupakan kita pada mereka yang kurang upaya dan kurang mampu untuk menyambut hari raya. Jalinkahlah
silaturahim dengan menziarahi sanak saudara dan sahabat handai mudah-mudahan pertemuan di hari ini akan lebih akrab kerana masing-masing sudah tentu akan menghulurkan kemaafan di atas segala salah dan silap.
Di kesempatan ini saya juga memohon kemaafan dari Sahabat Fitrah di atas kesalahan dan kekurangan yang mungkin berlaku. Maaf zahir dan batin. Saya bersyukur kerana diberikan ruang ini untuk sama-sama kita mengingati antara satu sama lain. Kepada sahabat-sahabat yang pulang ke kampung, berhati-hati ketika memandu. Salam Aidilfitri dari saya dan krew Fitrah Power Resources untuk semua Sahabat Fitrah.
Ahmad Shukri Yusoff
www.fitrahpower.com

