Nisfu Syaaban
Assalamualaikum kepada semua Sahabat Fitrah,
Semoga kita semua masih berada di bawah lindungan Allah SWT.
“Dari Abi Salmah, dari Aisyah Radiallahuanha berkata: Adalah Rasulullah s.a.w sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa Baginda berpuasa berterusan dan Baginda sering berbuka sehingga kami menyangka bahawa Baginda akan berbuka seterusnya. Aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat lebih banyak daripada puasa di bulan Syaaban”.
Inilah antara kelebihan-kelebihan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang mengisi bulan Syaaban dengan penuh kesyukuran dan pengabdian kepada Allah SWT. Baginda Rasulullah s.a.w amat menghormati bulan ini dengan memperbanyakkan ibadah puasa sebagai satu tazkiah atau penyucian jiwa kepada Allah SWT. Bulan Syaaban sebenarnya adalah latihan awal sebelum umat Islam menghadapi Ramadhan yang mewajibkan kita untuk berpuasa.
Mudah-mudahan dalam kesibukan kita dengan urusan duniawi seperti urusan kerja, pejabat, sekolah, keluarga dan sebagainya, kita masih mempunyai ruang untuk mendekatkan diri kepada Allah dan memperbanyakkan amal ibadat sebagai bekalan untuk hari akhirat. Memperbanyakkan zikrullah, sedekah dan membaca Al-Quran untuk sama-sama kita menghidupkan hari dan bulan yang mulia ini.
Sebutlah ‘Insya Allah’
Assalamualaikum w.b.t
Salam Fitrah buat semua Sahabat Fitrah dan pengunjung laman ini. Semoga Allah sentiasa memberkati kita semua.
Melafazkan janji atau merancang sesuatu pekerjaan untuk hari esok adalah perkara yang mudah untuk dituturkan. Bahkan kebiasaan inilah yang telah menjadi sebati dengan kehidupan kita, tanpa kita menyedari hakikat hari esok adakah masih diberikan rahmat oleh Allah SWT untuk meneruskan kehidupan. Apa yang anda selalu jawab apabila rakan anda mempelawa anda menghadiri majlis keramaian di rumah mereka? Atau apakah yang selalu anda katakan kepada boss anda apabila diminta menyiapkan kerja-kerja tertentu pada esok hari?
Kebanyakan di antara kita hanya menyebut perkataan ‘OK’ sebagai satu lafaz perjanjian bahawa kerja tersebut bakal disiapkan, atau jemputan tersebut akan dihadiri? Adakah kita yakin bahawa esok masih menjadi milik kita?
Sebab itu Allah SWT menganjurkan kita cara yang terbaik dalam segala aspek kehidupan manusia. Firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 23-24:
“Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu: “Sesungguhnya aku akan mengerjakan itu esok pagi, kecuali (dengan menyebut): “Insya-Allah”. Dan ingatlah kepada Tuhanmu jika kamu lupa dan katakanlah: “Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini”.
Lafaz ‘Insya Allah’ menjadi saksi penting bahawa kita meletakkan bahawa setiap apa yang bakal berlaku pada hari esok adalah milik dan sesuatu yang ditentukan oleh Allah SWT. Andainya kita terlupa atau ditimpa musibah yang boleh menghalang kita dari melakukannya, Allah SWT tidak akan meletakkan kita antara mereka yang sengaja ingin memungkiri janji.
Belajar Memaafkan Orang Lain
Assalamualaikum kepada semua Sahabat Fitrah yang saya kasihi.
“Ya Allah berilah hidayah kepada kaumku sesungguhnya mereka tidak mengetahui “.
Inilah doa yang dibaca oleh Rasulullah s.a.w tatkala Rasulullah diperleceh sambil dilontarkan batu oleh penduduk Taif, tiada dendam dan tiada menaruh kemarahan yang dizahirkan oleh Ar-Rasul walaupun dalam keadaan yang begitu kritikal.
Orang yang berjiwa besar ialah orang yang mampu memaafkan kesalahan orang lain walaupun betapa sakit hati ketika kesalahan itu dilakukan ke atas dirinya kerana menyedari bahawa kemaafan meraih kasih sayang Allah SWT, tidakkah Allah antara namaNya “ Al-Afuwwu” Maha Pemaaf, maka ketika kita memaafkan kesalahan orang lain kita sedang berusaha merapatkan diri dengan Maha Pemaaf!
Hakikatnya bukannya mudah memaafkan kesalahan orang lain tetapi kita gunakan perkataan belajar memaafkan orang lain bagi memberi ruang yang lebih luas dalam hidup kita untuk memperbaiki diri. Perhatikan hubungan kekeluargaan yang hambar kesan dari pasangan suami isteri, adik beradik, jiran tetangga dan sanak saudara yang tidak mempraktikkan belajar memaafkan orang lain.
Marilah kita berusaha mencontohi keperibadian Qur`ani:
“Iaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya samada di waktu senang atau susah dan orang-orang yang menahan kemarahan serta memaafkan kesalahan orang lain” (Ali Imran : 134)
Ahmad Shukri Yusoff
www.fitrahpower.com
Kesenangan Bersama Kesusahan
Assalamualaikum w.b.t
Salam Fitrah untuk anda semua yang setia mengikuti perkembangan Fitrah Power. Alhamdulillah saya menulis pada kali ini ketika saya sedang berada di Palace Hotel di Kota Kinabalu dalam menyampaikan Kursus Kendiri Fitrah kepada kakitangan MARA Sabah.
Dalam meniti kehidupan ini Allah SWT banyak sekali memberikan ujian demi ujian kepada kita sebagai satu mujahadah dalam menentukan tinggi dan rendahnya martabat kita sebagai insan.Tanpa kita sedari, apabila ujian yang menimpa diri kita begitu
berat sehingga kadang-kadang kita telah menghukum bahawa Allah SWT tidak adil kerana memberikan ujian yang berat.
Firman Allah:
“Katakanlah: “Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan hanyalah kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakkal.” (At-Taubah: 51)
Bayangkanlah jika Allah SWT benar-benar ini bersikap tidak adil dan zalim kepada kita, maka mengapa di waktu dan ketika ini adakah kita masih menerima nikmat dari Allah SWT? Bagaimana dengan setiap denyutan jantung dan pinjaman usia yang kita masih nikmati?
Sesungguhnya kita perlu yakin dan percaya, bahawa setiap kesusahan dan kesukaran akan diikuti dengan kesenangan dan kemudahan.Ujian juga turut menjadi asbab untuk Allah SWT menambahkan rahmat dan kasih sayang kepada hamba-hambaNya.
Firman Allah:
“Maka sesungguhnya bersama kesusahan itu adalah kesenangan.” (Al-Insyirah: 5)
Seandainya kita diuji, tiada perkataan yang paling mahal melainkan kalimah sabar dan syukur! Inilah sebenarnya yang ingin dilihat oleh Allah SWT kepada kita hamba-hamba yang mengakui beriman kepadaNya.
Ahmad Shukri Yusoff
www.fitrahpower.com

