Huraian Tafsir bagi surah An-Nahl ayat 68 – 69
Assalamualaikum wbt..
Sambungan huraian tafsir Al-Quran bagi Surah An-Nahl ayat 68 dan 69 ini bersiaran di Radio KL fm dalam rancangan WAHYU, pada minggu ini, Isnin – Jumaat, pada jam 7:00 ptg, 19 – 23 Sept 2011 oleh Ustaz Ahmad Shukri..

Maksudnya:
Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia.
Ringkasannya:
Tuhanmu mengilhamkan dan membisikkan kepada lebah serta mengajarnya pelbagai pekerjaan yang membuatnya dianggap sebagai makhluk berakal. Pakar perbidanan telah mempelajari keadaan lebah dan menulis karangan dalam pelbagai bahasa terutama pada majalah-majalah yang menyebarkan perkembangan dan keadaannya. Dalam perkara ini mereka telah mencapai pelbagai perkara iaitu:
Pertama: Lebah hidup dalam kelompok besar yang jumlahnya sebahagiannya mencapai lebih kurang 50 ribu lebah. Setiap kelompok tinggal di sebuah rumah atau sarang lebah.
Kedua: Dalam setiap rumah lebah terdapat satu lebah betina besar disebut ” Ratu” yang paling besar tubuhnya antara mereka dan perintahnya dapat mempengaruhi mereka. Jumlah lebah sekitar 400 sampai 500 ekor disebut lebih jantan dan sejumlah lain daripada 15 ribu ampai 50 ribu ekor disebut sebagai pekerja.
Ketiga: Ketiga-tiga lapisan lebah itu hidup di dalam rumahnya secara bergotong-royong dan sangat teratur. Tugas sang Ratu adalah bertelur yang mana daripada telurnya itu menetaslah lebah yang menjadi penghuni rumah (sarang) itu. dengan demikian ia adalah induk seluruh lebah itu dan tugas lebah-lebah jantan ialah mengawan sang ratu kerana lebah-lebah jantan ini tidak mempunyai tugas lain selain daripada itu.
Buatlah rumahmu di bukit sebagai tempat kamu berlindung di pokok-poko, di atap rumah, pelepah tamar, dan sebagainya yang diangkat dan dibina oleh manusia.
An-Nahl ayat 69

Maksudnya:
Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu”. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.
Ringkasannya:
“Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai)” Wahai lebah! makanlah dari setiap buah-buahan yang kamu ingini, sama ada rasanya manis, pahit ataupun antara kedua-duanya.
“Serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu” Tempuhilah jalan yang telah diilhamkan kepadamu untuk menempuhnya untuk mencari buah-buahan. Janganlah kamu berasa susah meskipun jalan itu susah, dan janganlah pula kamu ingin kembali daripadanya meskipun ia jauh.
Setelah berbicara dengan lebah selanjutnya Allah s.w.t memberitahu manusia tentang faedah-faedahnya kerana nikmat memang diperuntukkan untuk mereka.
“Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya,”
Keluar dari dalam perutnya madu yang beraneka warna. Ada putih, kuning dan ada pula yang merah. sesuai dengan perbezaan tempat pengembalaannya.
“Yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit“
Ia diguanakan untuk pengubatan pelbagai penyakit, dan sering dimasukkan ke dalam kandungan ramuan dan ubat-ubatan. Al-Bukhariy dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudry: Seorang lelaki datang kepada rasulullah s.a.w seraya berkata ” Wahai Rasulullah! Aku telah memberinya minum madu tetapi perutnya semakin kembung.” Baginda bersabda” Pergilah dan beri dia minum madu. ” Lelaki itu pergi dan kemudian memberi saudaranya minum madu, dan akhirnya dia sembuh.
Sebahagian doktor dahulu telah menganalisa penyakit orang tersebut. Dikatakan terdapat banyak lebihan di dalam perut besar orang itu. Oleh itu, ketika dia diberi minum madu, lebihan itu rosak dan segera keluar sehingga dia betambah sakit. Orang arab Badwi berasa yakin, madu itu membahayakan, padahal ia berfaedah kepada saudaranya. Setelah diberi minum lagi, ia bertambah rosak. Demikianlah setiap kali dia diberi minum madu, berlakulah perkara yang serupa sehingga akhirnya lebihan yang merosak dnn membahayakan badan itu keluar habis. Kemudian orang yang sakit tersebut memegang perutnya dan merasakan kesihatannya telah pulih. Penyakit-penyakit telah hilang berkat petunjuk daripada Rasulullah s.a.w.
Wallaua’lam.

