Profil Pengarah Urusan / Perunding Utama

Ahmad Shukri Yusoff dilahirkan pada 24 Mac 1969 di Kampung Gelugor, Kuala Terengganu. Beliau merupakan putera keempat daripada 5 orang adik beradik lebih mesra dengan panggilan Mad sewaktu di rumah dan bersama rakan-rakan karibnya.

Pendidikan awal beliau bermula di Sek. Keb. Gelugor. Kemudian Ustaz Ahmad Shukri melanjutkan pelajaran peringkat menengah ke SMKA Tok Jiring di Kuala Terengganu. Berkat kesungguhan, beliau terus ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di peringkat Thanawi di SMA Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk yang merupakan sekolah agama terbaik di negeri Terengganu.

Beliau mendapat Diploma Bahasa Dan Kesusasteraan Arab di Universiti Darul Iman Malaysia, Gong Badak dan menerima Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang Pengajian Islam & Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, Kaherah Mesir.

Pengalaman bertugas sebagai Ketua Syariah dan Penerangan Khas Di Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan selama 12 tahun telah banyak membantu minat beliau dalam berdakwah dan memberikan sumbangan kepada masyarakat. Kini beliau meneruskan karier dengan menjadi Pengarah Urusan Fitrah Power Resources bagi meneruskan minat dan impian murni beliau. Di samping menjadi perunding motivasi, Ahmad Shukri Yusoff sering muncul dalam pelbagai rancangan di stesen televisyen dan radio. Sejak tahun 2002, beliau telah menjadi penceramah tetap dalam rancangan Wahyu, KLfm dan sering muncul di dalam pelbagai rancangan televisyen dan juga dalam akhbar-akhbar tempatan serta majalah-majalah. Kini saksikanlah beliau sebagai Moderator Halaqah di TV9 Dekat Di Hati.