Kursus Fitrah Power ( Yayasan Selangor )

October 30, 2008 – 12:10 pm

Alhamdulillah, berkat kerjasama antara Fitrah Power Resources dan Yayasan Selangor, Kursus Motivasi Potensi Diri telah berjaya diadakan di Hotel Seri Malaysia Port Dickson pada 24-26 Oktober baru-baru ini. Peserta kursus ini terdiri daripada kakitangan sokongan dan disertai seramai 33 orang.  

Pelbagai ilmu dan pengalaman telah dikongsikan sepanjang kursus ini. Antara penceramah yang menjayakan kursus ini ialah yang berbahagia Ustaz Roslan Mohamed(Pensyarah Kanan, Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Islam,UM), Ustaz Asrul Nizam Abas (Perunding FP) dan perunding utama kami iaitu al-fadhil Ustaz Ahmad Shukri Yusoff.
 
Jazakallah kepada Yayasan Selangor di atas kepercayaan yang telah diberikan kepada kami untuk mengendalikan kursus ini dan ucapan ribuan terima kasih juga kepada semua peserta di atas kerjasama dan semangat yang telah diberikan demi melancarkan lagi perjalanan kursus selama 3 hari 2 malam ini. Semoga kursus ini diberkati dan mendapat manfaat bersama.. insyaallah..


Kursus Pendakwahan Berkesan

October 30, 2008 – 11:55 am

Assalamualaikum w.b.t kepada semua Sahabat Fitrah yang setia dalam memberi dorongan dan sokongan
kepada kami di Fitrah Power.

Pendakwah pada hari ini perlu lebih profesional serta memahami konsep dakwah dengan lebih global agar
dakwah mampu dilaksanakan dengan lebih berkesan. Pendakwah bukan sekadar menyampaikan isi
dakwah semata-mata,tetapi mereka memerlukan ’skill’ dan kaedah yang tepat agar dakwah lebih
berkesan dan mudah difahami oleh sasaran dakwah.

Kerana faktor ingin memberikan kemahiran-kemahiran serta melahirkan pendakwah yang lebih
profesional, maka Yayasan Islam Terengganu dengan kerjasama Fitrah Power Resources telah
berjaya melaksanakan Kursus Pendakwahan Berkesan pada 28-30 Oktober 2008 di
Batu Buruk Beach Resort. Alhamdulillah kursus ini telah disertai oleh 65 orang peserta yang
merupakan staf di YIT yang menjalankan aktiviti dakwah dan berjaya disempurnakan oleh
Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Tn. Hj. Mohd Zulkifli b. Abu Bakar. Majlis penutup kursus
ini juga turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah, Tn. Hj. Alias Jaafar dan juga KPP Pentadbiran,
En. Mat Zaid b. Ibrahim.

Terima kasih dan penghargaan dari kami kepada YIT kerana telah memberikan kepercayaan kepada
kami untuk mengendalikan kursus ini. Terima kasih juga kepada semua peserta kursus yang mesra
dan memberikan kerjasama yang terbaik sepanjang kursus ini dijalankan. Syabas kepada anda semua!


Mee ‘Darah’

October 29, 2008 – 4:08 pm

Salam hormat buat semua pembaca.  Pada 13 hb Oktober lepas kami bertolak daripada pejabat di Bangi pada pukul 11 pagi ke MITC Ayer Keroh Melaka. Tujuan kami ke sana adalah untuk menjalankan kursus Spiritual Leadership Training anjuran ILHAM, MARA. Seperti biasa kami akan bertolak lebih awal ke tempat kursus untuk persiapan rapi sebelum bermulanya pendaftaran peserta dan seterusnya aktiviti kursus, itu adalah prinsip kami dalam memastikan kursus akan berjalan lancar dan jayanya.

Kami menggunakan lebuh raya Utara Selatan PLUS untuk menuju ke destinasi, dan di pertengahan jalan kami berhenti untuk makan tengahari di R&R berdekatan susur masuk ke Ayer Keroh. Di situ kami memilih menu mengikut selera perut masing-masing. Salah seorang daripada kami telah memesan mee kari untuk santapannya tengahari itu. Namun malangnya hidangan yang dipesannya itu telah bertukar rupa. Mee yang sepatutnya berwarna kuning telah bertukar ke warna merah setelah berlaku tindak balas kimia ( asid borik ) yang terkandung dalam mee dengan kuah kari yang mengandungi bahan daripada kunyit. Perkara ini amat mendukacitakan rakan kami itu, dan hidangan itu dibiarkan begitu sahaja tanpa menghabiskannya setelah menjamahnya sedikit sebelum ia bertukar rupa sebentar tadi kerana risaukan kesihatan terjejas kerana memakan mee tersebut. Isu berkenaan mee ‘darah’ ini telah pun hangat diperkatakan oleh media beberapa ketika dulu, namun pengeluaran mee sebegini masih berterusan seolah-olah tiada tindakan yang diambil oleh pihak berwajib.

Namun setelah kembali ke pejabat saya melayari internet untuk mendapatkan maklumat mengenai mee ‘darah’ tersebut. Saya menjumpai satu blog (http://myhalal.blogspot.com) yang di dalam artikelnya menyatakan mee kuning akan berubah warna merah apabila terdapat di dalamnya kandungan asid borik. Penggunaan asid borik ini adalah untuk melambatkan mee daripada rosak dan penggunaannya juga diharamkan kerana menjadi penyebab penyakit barah. Namun begitu, adakalanya mee menjadi merah bukanlah disebabkan oleh asid borik tetapi disebabkan oleh kealkalian pH 14 yang tinggi. Kealkalian mee yang tinggi itu adalah hasil daripada penambahan air soda ( Natrium Bikarbonat ) semasa pemprosesan mee tersebut kerana untuk mendapatkan tekstur mee yang diingini. Air soda inilah yang akan bertindak balas dengan kunyit tersebut lalu mee menjadi merah seperti darah. Walaubagaimanapun mee yang dihasilkan dengan menggunakan  air soda ini adalah selamat untuk dimakan, namun kita sebagai pengguna dapatkah kita membezakan antara mee yang menggunakan air soda ataupun asid borik?

Betapa malangnya rakyat Malaysia kerana sentiasa terdedah kepada masalah kesihatan akibat pemakanan yang mengandungi bahan-bahan yang merbahaya kepada kesihatan. Perkara ini bukan setakat merbahaya kepada kesihatan, malah kandungannya juga sering diragui kerana mempunyai bahan-bahan yang haram dimakan oleh umat Islam. Bukan satu atau dua kes tentang isu makanan ‘tercemar’ ini tetapi sudah terlalu banyak yang telah dibongkar oleh badan-badan yang menjaga kepentingan umat Islam di Malaysia ini. Pemakanan yang tercemar begini bukan sahaja merosakkan sistem dan fungsi badan tetapi juga merosakkan dan menggelapkan hati umat Islam yang memakannya. Tidak hairanlah jika dewasa ini telalu banyak berlakunya kes jenayah terutama dikalangan remaja dan kes terbaru ini ialah pelajar perempuan yang menendang gurunya di perut. Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku dan secara langsungnya perkara ini memang berkait rapat dengan pemakanan selain didikan dan persekitaran pergaulan pelajar tersebut. Kita sering menyalahkan pihak itu, pihak ini apabila timbulnya sesuatu masalah, tetapi kita lupa bahawa kita sering mengambil ringan asbab dan punca berlakunya sesuatu masalah tersebut. Jadi, sama-samalah kita menjaga dan berwaspada kepada segala apa yang boleh menjadi darah dan daging kita. Pastikanlah makanan itu halal di makan dan sumber mendapatkan makanan itu juga halal. Wallahua’lam.


Kursus Fitrah Power ( Lembaga Zakat Selangor )

October 28, 2008 – 5:47 pm

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah syukur ke Hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, Fitrah Power telah selesai menjalankan Kursus Motivasi Fitrah Power yang bertempat di Taman Agrotek, Hulu Langat pada 24-26 Oktober 2008 dengan jumlah peserta seramai 12 orang di bawah anjuran Lembaga Zakat Selangor. Walaupun dengan jumlah yang agak sedikit, kursus tetap berjalan dengan lancar hingga ke hari terakhir kursus.

Sepanjang tiga hari kursus ini, modul-modul kursus telah diisi dengan penyampaian daripada 3 penceramah iaitu Ustaz Roslan bin Momamad (pensyarah UM), Tuan Haji Abas (perunding Fitrah Power) dan juga Ustaz Ahmad Shukri Yusoff (perunding utama Fitrah Power). Para peserta kali ini adalah terdiri daripada pegawai-pegawai di bahagian agihan dan pungutan zakat seluruh negeri Selangor. Semoga pertemuan singkat kita ini mendapat keberkatan dan rahmat di akhirat sana.

Sesi bergambar kenangan bersama peserta Lembaga Zakat Selangor.

Bengkel Amal yang membincangkan masalah berbangkit dan resolusinya.

Game santai yang mencabar pengetahuan peserta tentang sastera Melayu.


Wasiat Rasul - Jangan Berfikir Untuk Bersedekah

October 24, 2008 – 7:45 am

Assalamualaikum wbt kepada semua Sahabat Fitrah. Semoga berada di bawah naungan Allah SWT.

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saW., sabdanya: ”
Ada seorang lelaki berkata, “Aku hendaksedekah.jpg
bersedekah malam ini.” Lalu dia keluar membawa sedekahnya dan disedekahkannya kepada perempuan lacur. Esok pagi orang banyak mempercakapkan bahawa tadi malam ada pelacur yang diberi orang sedekah. Orang itu berujar, “Wahai, Allah! Segala puji bagi-Mu yang telah mentakdirkan sedekahku jatuh kepada pelacur. Aku akan bersedekah lagi.” Dia pergi pula membawa sedekahnya, lalu diberikannya kepada orang kaya. Pagi-pagi orang banyak mempercakapkannya pula, bahawa tadi
malam ada orang memberi sedekah kepada orang kaya. Lalu orang yang bersedekah itu berkata,
“Wahai, Allah! Untuk-Mulah segala puji, kerana Engkau telah menjadikan sedekahku jatuh kepada orang kaya. Aku akan bersedekah lagi.” Dia pergi pula membawa sedekahnya, dan diberikannya kepada si pencuri. Pagi-pagi orang banyak mempercakapkannya pula, bahawa tadi malam ada orang bersedekah kepada pencuri. Orang yang bersedekah itu pun berujar pula, “Segala puji bagi Allah yang telah mentakdirkan sedekahku jatuh kepada pelacur, kepada orang kaya, dan kepada pencuri.’
Kemudian orang itu didatangi malaikat seraya katanya :”Sedekah anda sudah diterima baik oleh
masing-masing orang yang anda beri sedekah. Adapun perempuan lacur, semoga dia berhenti dari perbuatan melacur; kepada si kaya, semoga dia menyedari dirinya dan bersedekah pula; dan untuk
si pencuri, semoga dia berhenti mencuri.”[HR Muslim]

Berdasarkan hadis ini jelas sekali kepada kita bahawa sedekah kita tetap diterima oleh Allah
seandainya ada keikhlasan di atas apa yang disedekahkan oleh kita. Sesiapa pun yang menerima
sedekah kita tidak menjadi masalah, walaupun mungkin pada pandangan nilaian mata manusia
sedekah yang kita lakukan berlaku di luar adat manusia. Tetapi bila kita membaca mafhum hadis
ini jelas sekali apabila kita timbul niat untuk bersedekah, maka jangan kita berfikir panjang
kepada siapa dan berapakah jumlahnya yang akan kita keluarkan untuk bersedekah.

Lelaki yang disebut di dalam hadis ini tidak menghiraukan apa jua perkataan yang keluar
walaupun sedekah yang dikeluarkan tidak menepati nilaian mata manusia, namun apa yang lebih
penting ialah nilaian amal kebajikan di sisi Allah SWT.

Jadilah golongan yang memberi kerana kedudukannya jauh lebih mulia berbanding mereka yang
menerima. Allah SWT amat memuliakan golongan yang memberi ini, tetapi seandainya mereka
memberi tetapi dalam keadaan si penerima tidak redha dan merasa benci dengan pemberian dan
sedekahnya kerana wujud kejian dan kata-kata yang tidak baik, maka adakah ianya mendapat rahmat
di sisi Allah? Mudah-mudahan amal baik kita ini diterima oleh Allah SWT.