Hantaran Al-Quran…(siri 2)

Sambungan dari Kisah Hantaran Al-Quran…(siri 1)

“Oh, sebelum tu, saya suka mendengar bacaan adik Nabil. Mudah-mudahan kita dapat mengambil manfaat dari bacaan pengantin” cadang Ustaz Saad. Kelihatan orang ramai mengiyakan. Maklumlah, ustaz Saad merupakan antara orang dikenali oleh ahli-ahli sebagai penceramah tetap setiap hari Khamis selepas maghrib.

Nabil menelan air liur. Baginya inilah saat paling menyeramkan bagi dirinya. Peluh membasahi baju melayu satin berwarna putih.

“Ss.. su.. surah apa ustaz?” Nabil cuba mengagahkan diri. Jamilah masih melihat dari tepi tirai. Memegang kepalanya. Seperti mengagak benda yang sebaliknya berlaku.

“Oh, ayat yang mudah ja. Baca 3 ayat Surah ArRa’d” kata ustaz Saad sambil menunjukkan baris giginya yang putih hasil bersugi setiap solat mengikut sunnah nabi. Surah Ar Rad

Surah Ar Ra’d

“ Apa benda ni ” detik hati Nabil.

“ Bismillahirrahmaani rrahim.. ALL..MAA.. RIII..!! ” berlagu Nabil.

Kelihatan gemuruh satu rumah pengantin perempuan. Ada yang keluar dari rumah menahan gelak. Ada yang mengeluarkan air mata menahan kelucuan. Ada yang menggeleng-geleng kepala. Ibu bapa Jamilah merah padam wajahnya. Jamilah entah ke mana, mungkin berpura-pura ke tandas.

“ Baru ustaz tahu ada kalimah almari di dalam Al-Quran. Adik Nabil, cara bacanya seperti begini : A ’ uzubillahiminnassya itaanirra jim.. Bismillahirrahmanir rahim.. ALIF.. LAMM.. MIMMM… RAA.. ” kedengar suara gemersik Ustaz Sa ’ ad. Orang ramai kelihatan ingin mendengar lebih banyak lagi alunan irama Al-Qurannya.

Nabil berasa seperti kilat menyambar kepalanya.

“ Nabil, kamu jangan merendah-rendahkan kitab petunjuk iaitu Al-Quran. Ianya hendaklah dibaca bukan sekadar dijadikan hantaran. Malah lebih malang perlakuan seperti ini seolah-olah menghina Al-Quran. Beli Al-Quran kemudian menaruh di tempat-tempat tinggi seolah-olah ianya sudah cukup bagi seorang muslim” tazkirah sudah bermula. Orang ramai memang senang cara penyampaian ustaz Sa ’ ad.

“ Tinggi mana pun kamu belajar, tiada gunanya kitab yang tidak berubah ini tidak mampu kamu baca. Kitab ini pasti begini rupanya, ayatnya tetap sama, kedudukannya tidak sama. Malah, ketahuilah Allah akan menjaganya sehingga hari kiamat. Nabil, kalau kamu tahu orang-orang yang mengaku kitab Al-Quran sebagai kitab petunjuk kemudian diabaikan dia pasti dilaknat oleh Al-Quran itu sendiri. Tetapi beruntungnya orang-orangnya memanfaatkan AlQuran setiap hari, membacanya, menghafalnya, mengamalkan menjadikan hati terlalu tenang walapun dia bukannya seorang yang tinggi pelajarannya, kaya hidupnya dan sebagainya.. ” penutup Ustaz Sa ’ ad sudah dikagumi orang terutama yang mengikuti ceramahnya.

Hari semakin cepat berlalu..

Nabil sudah melalui hari-hari yang indah. Kitab Al-Quran yang menjadi hantaran pertunangan sudah menjadi diari kehidupannya yang aktif setiap hari.

Pit.. Pit! Jangan lupa datang rumah ustaz malam nih. Kita belajar sama-sama. Jangan lupa bawa isteri sekali ya Nabil. SMS dari ustaz Sa ’ ad tiba. Jamilah senyum disisi suaminya, Nabil.    Baca ni..     Rasulullah (Sallallahu alaihi wasallam)

Rasulullah (Sallallahu alaihi wasallam) bersabda : ‘Bila seseorang lelaki itu mati dan saudaranya sibuk dengan pengebumiannya,  berdiri lelaki yang betul-betul kacak di bahagian kepalanya. Bila mayatnya dikafan, lelaki itu berada di antara kain kafan dan si mati.

Selepas pengebumian, semua orang pulang ke rumah, 2 malaikat Mungkar dan Nankir, datang dalam kubur dan cuba memisahkan lelaki kacak ini supaya mereka boleh menyoal lelaki yang telah meninggal itu seorang diri mengenai ketaatannya kepada Allah. Tapi lelaki kacak itu berkata, Dia adalah temanku, dia adalah kawanku. Aku takkan meninggalkannya seorang diri walau apa pun. Jika kamu ditetapkan untuk menyoal, lakukanlah tugasmu. Aku tidak boleh meninggalkannya sehingga aku dapati dia dimasukkan ke dalam Syurga.’

Selepas itu dia berpaling pada temannya yang meninggal dan berkata,’Aku adalah Al-Quran, yang mana kamu membacanya, kadang-kadang dengan suara yang nyaring dan kadang-kadang dengan suara yang perlahan. Jangan bimbang. Selepas soal siasat dari Mungkar dan Nakir, kamu tidak akan bersedih.’

Selepas soal siasat selesai, lelaki kacak mengatur untuknya daripada Al-Mala’ul A’laa (malaikat dalam Syurga) tempat tidur dari sutera yang dipenuhi bauan kesturi.

Rasulullah (Sallallahu alaihi wasallam) bersabda :’Di hari pengadilan, di hadapan Allah, tiada syafaat yang lebih baik darjatnya daripada Al-Quran, mahupun dari nabi atau malaikat.’

Be the first to comment - What do you think?

Hantaran Al-Quran…(siri 1)


Kepada mreka yang nak menghantar dan menerima hantaran…marilah bersama kita fikirkan kisah ini,

“Sayang, tengok ni. Cantiknya AlQuran nih. Warna keemasan. Sesuai untuk kita buat hantaran” pekik Jamilah kepada Nabil…“Sini pun cantik juga. Warna unggu keemasan. Mana satu kita nak beli ni” balas Nabil. Mereka sedang asyik mencari bahan-bahan untuk dibuat hantaran. Tinggal satu lagi yang masih dicari-cari iaitu Al-Quran yang bakal dijadikan hantaran. “Tapi, yang ni lagi best, ada terjemahan arab” keluh Jamilah. “Ala, awak bukan reti pun bahasa arab” jawab Nabil. Tergelak Jamilah. Berbahagia rasanya dapat calon suami seperti Nabil. Prihatin.

“Apa yang saudara cari tu. Nampak seronok saya lihat” tegur pakcik berbaju putih. Jaluran baju ke bawah menampakkan lagi seri wajah seorang pakcik dalam lingkungan 40-an. “Oh, kami cari Al-Quran. Nak buat hantaran. Maklumlah, nak bina masjid” sengih Nabil. Jamilah ikut senyum tidak jauh dari situ..

“Oh. Bagus lah. Adik selalu baca waktu bila?” pakcik menyoal sambil tersenyum.

“Aa.. aa.. lama dah saya tak baca, pakcik“ teragak-agak Nabil menjawab. Jamilah sudah di sebelah rak yang lain.

“Kalau begitu, tak perlu lah beli Al-Quran kalau sekadar hantaran. Kesian Al-Quran. Itu bukan kitab hiasan, dik” tegur pakcik berhemah.

“Alah, pakcik nih. Kacau daun pulak urusan orang muda. Kami beli ni nak baca la” tiba-tiba Jamilah muncul dengan selamba jawapannya.

“Oh, baguslah. Kalau begitu belilah tafsir Ar-Rahman. Ada tafsiran lagi” cadang pakcik. Mukanya nampak seperti orang-orang ahli masjid.

“Ala, besar lah pakcik. Kami nak pilih yang ni. cute lagi” senyum Jamilah mengangkat bungkusan Al-Quran warna unggu keemasan. Saiznya kecil.

“Jangan lupa baca ya” pakcik dengan selamba sambil meninggalkan pasangan tersebut. “Sibuk je la pakcik tu” Jamilah mengomel.

Nabil kelihatan serba salah. Mungkin ‘terpukul’ dengan kata-kata seorang pakcik yang muncul secara tiba-tiba.

Hari yang dinantikan sudah tiba. Mereka sudah bersolek. Hari nan indah. Terlalu indah buat pasangan teruna dan dara yang bakal disatukan. Nabil dan Jamilah tidak sabar-sabar menantikan ucapan indah tersebut. Pak imam baru sahaja sampai.

“Assalamualaikum semua” ucapan salam Pak Imam bergema.

Nabil bagai mati hidup semula. Dirinya terkejut. Jantung bagai gugur serta-merta. Mungkin tidak percaya apa yang dipandangnya dihadapan. Ahli-ahli keluarga berebut-rebut bersalaman dengan Pak Imam. Mukanya berseri-seri. Janggutnya putih. Jubah putih. Rambutnya ada yang berwarna putih.

“Inikah pengantin hari ini?” tegur selamba Ustaz Saad.

“.. Ustaz.. kabar baik,… usta.. ustazz..” jawab Nabil mengigil. Jamilah juga terkebil-kebil melihat kelibat orang yang dikenali di kedai buku 2 bulan lalu itu.

Be the first to comment - What do you think?

Rahsia Pergerakan Otot dalam Solat


Cuba kita kaji pergerakan otot-otot kita ketika solat.

Secara kasar, pada mula kita berdiri tegak (qiyam) kemudian angkat kedua tangan bertakbir dan letakkan tangan di atas pusat – kita telah membesarkan rongga dada kita manakala paru-paru akan terasa luas serta menggerakkan otot di kedua belah tangan.

Ketika ruku’ dengan badan membongkok ke depan dan kedua tangan di atas kepala lutut dan punggung mendatar (parallel to the ground) sekaligus ianya menggerakkan ruas-ruas tulang punggung, tulang leher, tulang pinggang dan tulang tungkin.

Waktu sujud pula, seluruh berat badan terpikul sepenuhnya di atas otot-otot kedua-dua tangan, kaki. dada, perut, punggung, leher dan otot-otot kaki. Lihat sahaja pada waktu sujud ini berapa banyak otot dan persendian yang kita gerakkan.

Setelah itu kita bangkit dari sujud. Kita duduk, kemudian kita sujud lagi dan selepas itu kita berdiri kembali. Dalam gerak badan kali ini kita telah secara automatik menggerakkan sejumlah besar otot-otot di dada , bahu, lengan, perut, punggung, peha, kaki bahagian bawah an lain-lain otot lagi.

Selain dari itu kita juga melakukan dua jenis duduk – pertama duduk antara dua sujud dan kedua duduk tahiyat. Kedua-dua jenis duduk ini menggerakkan tumit , pangkal peha, jari-jari kaki dan lain-lain. Dalam kita memberi salam juga kita gerakkan otot-otot leher tengkuk dan lain-lain.

Kalau kita lihat dari dua perkara tersebut di atas iaitu mendapatkan oksigen yang istimewa dan gerak otot-otot yang semuanya ini sudah tentu akan memastikan kesihatan tubuh badan kita.

Solat tahajud juga boleh menjauhkan penyakit buah pinggang yang selalu menyerang orang yang banyak tidur dan bangun lewat dari tidur malam.

Be the first to comment - What do you think?

Tidur dan Solat Tahajud

Solat Tahajud ialah ibadah yang kita lakukan pada malam hari, biasanya tengah malam atau lewat tengah malam. Solat tahajud juga dikenali juga sebagai salatullail. Solat ini sangat baik dilakukan terutama kepada para pemimpin Islam kerana Rasulullah S.A.W dan para sahabat r.a tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka, sebagai ibadah tambahan.

Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menggalakkan umat Islam mengerjakan solat tahajud sebagai ibadah tambahan pada waktu malam begitu juga terdapat beberapa hadis Nabi S.A.W. mengenai perkara ini.

Rasulullah S.A.W. telah memberikan contoh yang baik untuk tidur lengkap dengan doa-doanya.Bolehlah kita ringkaskan latihan untuk tidur malam seperti berikut :

1. Makan malam yang sedikit sekadar alas perut supaya tidak lapar. Jika kita makan malam yang banyak ianya akan menyebabkan kita cepat mengantuk dan susah bangun dari tidur, sudah tentu kita akan terlebih tidur pula.

2. Tunaikan solat Isyak sebelum tidur.

3. Bersihkan tempat tidur seperti tilam, bantal dan cadar dari habuk dan lain-lain kotoran.

4. Amalkan doa-doa sebelum dan sesudah tidur seperti yang diajarkan Rasulullah S.A.W.

5. Kurangkan masa tidur dari lapan jam sehari kepada tujuh jam sehari untuk bulan pertama latihan; pada bulan kedua kurangkan masa tidur malam kepada enam jam sehari, seterusnya pada bulan ketiga kepada lima jam sehingga kita boleh tidur untuk masa tiga/empat jam sahaja.

Cara untuk kita tidur dan bangun juga mempunyai peraturan yang perlu diikuti untuk menjaga kesihatan dan mengelakkan diri dari dihidapi pelbagai penyakit. Umpamanya kita yang suka bangun tidur melompat dari tidurnya boleh menghadapi risiko sakit jantung yang boleh membawa maut. Demikian menurut pendapat seorang doktor dari China – Dr Huang Guoxiong dari Kolej Perubatan Lioning.

Di dalam Al-Quran ada menyebut segolongan manusia yang masuk syurga kerana ibadah malamnya dan kurang tidur malam. Firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ada di dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah.” ( Surah az-Zariat ayat 15-18 )

Be the first to comment - What do you think?