Perjuangan Rasulullah SAW
Abu Hurairah r.a pernah menceritakan bahawa ketika beliau masuk untuk bertemu Rasulullah SAW, beliau mendapati bahawa Rasulullah SAW sedang solat dalam keadaan duduk, lalu selepas selesai solat Abu Hurairah bertanya mengapa baginda solat dalam keadaan duduk? Baginda menjelaskan: “kerana lapar wahai Abu Hurairah”. Jawapan itu telah membuatkan Abu Hurairah tidak dapat menahan perasaan hibanya lalu menangis.
Lalu Rasulullah SAW bersabda: “jangan menangis wahai Abu Hurairah kerana keperitan hisab (Hari Kiamat) tidak akan dikenakan kepada orang yang lapar kerana dia telah dihisab di dunia dahulu”. Lihatlah bagaimana kecekalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, walaupun dihimpit dengan kelaparan baginda tetap mendekatkan diri kepada Allah SWT bahkan dalam apa jua keadaan baginda sekalipun.
Maka, marilah kita menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik dalam semua aspek dan nilai kehidupan kita supaya kita menjadi manusia yang benar-benar mentaati perintah Allah dan perintah RasulNya sekaligus memenuhi tujuan kepada sebab kejadian kita di muka bumi ini.





