Persediaan Mencipta Kejayaan Di Bulan Ramadhan
Bertanyalah pada diri kita, mengapa kita harus membuat persediaan untuk menghadapi bulan Ramadhan???
Salah satu dari jawapannya Sudah tentulah kerana untuk memperolehi hasil kejayaan yang sepenuhnya pada bulan mulia tersebut.
Bulan Ramadhan ialah bulan dimana kita melakukan pengorbanan yang paling besar dan memperbanyakkan ibadah-ibadah seperti:
- Membaca Al-Quran
- Bangun Qiyamullail
- Berzikir
- Bersedekah
- Mengapakah kita mengerjakan ibadah-ibadah yang hebat seperti ini tetapi masih tidak ada perubahan pada diri kita???
- Ini disebabkan kita tidak cukup ilmu lantas tidak cukup persediaan untuk meraih keberkatan Ramadhan dan kita gagal menikmatinya kerana kita kurang maklumat dan penghayatan mengenainya, hanya penat lelah berpuasa semata-mata…
Nabi saw bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Barangsiapa yang berpuasa karena iman dan mengharap pahala dari Allah, maka akan dihapus segala dosa-dosanya yang telah lalu”. (Bukhari, Kitab Puasa, Bab Wujub al-Saumu Ramadhan, No. 1802)
Sebelum melakukan persediaan itu, kita seharusnya mempunyai perasaan tersangat rindu untuk menyambut kedatangan Ramadhan. Diriwayatkan bahawa: ulama salaf merindui bulan Ramadhan enam bulan sebelum datangnya Ramadhan. Ganngguan-gangguan seperti anak-anak, suami, isteri, kerja & masalah keluarga boleh melemahkan dan menurunkan iman kita. Antara persediaan yang perlu kita lakukan adalah seperti:
1) Membuat latihan awal (praktikal) sebelum tibanya Bulan Ramadhan
Harus sedar sebelum melakukannya, beritahu diri/nafsu kita sendiri: “kita akan bekerjasama diantara satu sama lain, kalau tidak aku akan memaksa kamu!”. Bercakap dengan nafsu kita seperti kita bercakap dengan seorang anak kecil. Kita haruslah sentiasa mengamalkan latihan awal ini dan memperolehi kualiti yang tinggi dan mengekalkannya. Bila kita tidak sabar, beritahu diri kita ia hanyalah Cuma beberapa hari lagi, insyaallah.
Antara latihan awal yang digalakkan ialah dengan memperbaharui taubat. Berlatih untuk cuba melakukan taubat kita supaya sempurna dan dijadikan amalan seumur hidup. Setiap orang perlu bertaubat kerana dosa-dosa tersebut menjadi seperti tompok hitam jika kita tidak membersihkannya. Cara yang terbaik untuk menyucikannya adalah dengan bertaubat kepada Allah. Beberapa contoh perkara yang kita perlu bertaubat daripadanya:
a) Menyalahgunakan lidah. Rasulullah pernah berdoa: “Aku memohon perlindungan dengan engkau daripada kejahatan lidahku”
b) Mengumpat- perkara ini berlaku apabila kamu bercakap tentang seseorang dibelakang mereka, apabila mereka tidak menyukainya, walaupun apa yang diperkatakan adalah benar seperti mencaci, mengutuk dan sebagainya.
c) Pembohongan- walaupun menambah tokok cerita semasa bercakap dan tidak ada istilah ‘tipu sunat’ kerana penipuan tetap penipuan kecuali dalam tiga keadaan:
- Semasa peperangan
- Kerana kedamaian di antara suami isteri
- Untuk kebaikan di antara dua orang muslim
d) ‘ujub‘: perasaan bangga dan yakin akan kesempurnaan pada diri sendiri, tidak perlu berubah dan suka memuji diri sendiri.
e) ‘Kibr‘: bongkak, merasai dirinya lebih baik daripada orang lain.
2) Tingkatkan tahap motivasi. Ini boleh dilakukan dengan meningkatkan ibadah ketika di bulan rejab dan sya’ban lagi seperti mempertingkatkan solat nawafil (solat sunat) sebelum dan selepas solat fardhu lima waktu. Ini harus dilakukan jika ia masih belum dipraktikkan lagi. Digalakkan juga melakukan Qiyamullail, mulai berpuasa sunat dari bulan rejab dan sya’ban kemudian membaca al-Quran selepas subuh. Untuk Berjaya melakukan semua ini, hendaklah:
- Tidur awal agar dapat bangun awal untuk qiyamullail. Banyakkan rehat selepas zohor agar lebih bertenaga untuk beribadah. Pertingkatkan amalan zikir pagi dan petang dan jangan sesekali tinggalkan zikir harian.
- Perbanyakkan doa terutama pada waktu mustajab berdoa seperti pada hari jumaat.
3) Latihan diri terutamanya dalam memelihara deria (penglihatan, pendengaran, perbuatan dan pertuturan) agar sentiasa takut dan mengingati Allah. Dengan cara begini, dapat menyucikan jiwa seseorang. Ingat! Apa sahaja yang kita lakukan akan membersihkan jiwa kita dan hendaklah berusaha untuk mengawal deria dari terlalu mengikut naluri nafsu.
| 1. | Latihan Telinga | Selalu mendengar al-Quran, hindari mendengar muzik yang melalaikan |
| 2. | Latihan Lidah | Elakkan dari banyak bercakap, latihan diri untuk perbanyakkan zikir |
| 3. | Latihan Mata | Elakkan dari memandang tempat-tempat yang maksiat |




























