Program Pembangunan Modal Insan

 

 

Assalamualaikum wbt…

Team FP baru sahaja selesai menguruskan Program Pembangunan Modal Insan anjuran Yayasan Bank Rakyat yang bertempat di Mardi, Serdang Selangor pada 9 – 13 Mac 2012.

Antara pengisian program adalah How To Think Out of The Box, Seni Asas Khat, Seni Mempertahankan diri, Time Management, Klinik Fatihah, Solat Sempurna dan macam-macam lagi aktiviti yang boleh membina keyakinan peserta dan membangun jati diri mereka.

 

 

Antara testimoni daripada peserta yang telah mengikuti kursus ini:

 

1 comment - What do you think?

Yakin dengan Pasangan Anda!

Memang kita sukar meramalkan apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Lalu tatkala berada di persimpangan untuk memilih sesuatu yang terbaik, kita sering memejamkan mata dan meneruskan langkah, dengan menaruh harapan itulah yang terbaik buat kita.

Apakah tindakan kita itu betul?

Jangan Was-was

Sama ada ia terbaik atau sebaliknya, sekali kita telah mengambil keputusan dan berjalan di atasnya, kita memang tidak boleh berpatah balik. Sekali kita melangkah untuk mencapai matlamat kita, kita memang tidak harus berasa was-was lagi. Mengapa harus berpatah balik jika itulah langkah yang telah kita yakini paling tepat untuk kita? Masa hadapan tiada siapa tahu, apa yang dilakukan hari ini adalah mukaddimah kepada satu kejayaan ataupun satu kegagalan di hari muka. Pokoknya, kita harus melangkah.

Sebagai seorang manusia yang cintakan kecemerlangan kita perlu meneruskan usaha. Sama ada kita yakini keputusan yang kita buat itu terbaik atau sebaliknya, langkah perlu terus diorak. Jadi, mengapa harus was-was dengan pilihan yang dibuat?

Mengapa Berasa Sangsi?

                Jika anda telah mengambil seseorang untuk dijadikan pasangan hidup, setelah anda membuat pilihan dan merasmikan pilihan anda melalui ijab dan kabul, anda tidak boleh berpatah balik. Mengapa mesti berpatah balik? Mengapa mesti menoleh-noleh dan berasa sangsi dengan pilihan anda itu? Mengapa  tidak teruskan sahaja dan mendapatkankecemerlangan di situ?

                Demikian juga jika anda seorang wanita yang telah memilih seorang lelaki untuk bernama suami. Mengapa setelah membuat keputusan dan menerimanya sebagai seorang suami anda masih berdolak-dalik dengan menyatakan anda telah tersalah pilih? Mengapa harus sangsi, mengapa harus mempertikaikan keputusan yang telah dibuat?

Rasa Sangsi Permainan Syaitan

       Rasa sangsi atau was-was apakah pilihan anda itu terbaik atau tidak akan hanya menyebabkan hati anda dipermainkan-mainkan oleh syaitan. Syaitan memang mencari peluang menusuk jarum hasutannya supaya rumah-rumah anda goyah kerana anda tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pasangan hidup anda itu. Kebahagian 100% yang sepatutnya  anda nikmati tidak dapat anda kecapi sebab ada sangsi, was-was dan merasakan ada pilihan yang lebih baik di luar sana daripada pilihan yang telah di buat.

                Mengapa perlu begitu? Mengapa tidak anda mantapkan hati dan terus membina kecemerlangan hidup rumah tangga  bersama si dia yang telah anda pilih dan merelakan diri untuk bergelar suami atau isteri melalui lafaz ijab dan kabul.

Yakini Pasangan Anda Adalah Yang Terbaik

                Yakinilah pasangan anda itu adalah yang terbaik buat anda dan tiada orang lain yang lebih baik daripadanya. Tumpukan sepenuh perhatian terhadapnya dan berikan kasih sayang sepenuhnya kepada dia. Jika pasangan anda juga demikian, tidakkah kecemerlangan dan kebahagiaan adalah jawapan kepada kehidupan anda nanti?

                Malangnya, kalau kita jengok-jengok sejenak keadaan di sekeliling kita, kita akan melihat, mendengar atau terjebak dengan situasi kalut, di mana seorang isteri menyangka ada ramai lagi lelaki di luar sana yang lebih baik daripada suaminya. Atau menyangka ramai lagi lelaki yang masih tertarik kepadanya. Kalaulah dia memilih si anu si anu, alangkah baiknya. Demikian juga seorang suami yang merasakan dia telah membuat pilihan yang salah kerana masih ramai wanita yang sedia memberikan layanan yang lebih baik daripada yang diterimanya kini. Mengapa begitu? Sampai bila hendak berasa rumput di seberang sungai lebih hijau dan subur daripada yang dihadapan mata? Sampai bila hendak mengangan-angankan sesuatu yang di luar jangkauan, sedangkan yang pasti sudah sedia disisi? Alangkah baiknya menganggap pilihan yang asal itulah yang terbaik dan membina  kecemerlangan di situ?

                Demikian juga dalam apa jua hal dan keadaan. Dalam bidang pekerjaan misalnya, setelah anda memohon sesuatu jawatan dan mendapat jawatan itu, mengapa masih ada rasa sangsi, was-was dan tidak bekenan? Bukankah itu akan hanya menyebabkan anda malas, lemah, tiada motivasi diri dan lemban untuk melakukan sesuatu pekerjaan itu?

                Lalu, jawapannya apa? Anda tidak akan muncul sebagai seorang yang cemerlang. Orang lain semakin mahir anda masih tertolak-tolak untuk membuat sesuatu. Orang lain sudah mendapat pangkat dan gaji yang lumayan, anda masih di takuk yang lama. Masih berwas-was, masih berkalau-kalau, masih tidak percaya pilihan anda itu yang terbaik. Justeru, di manakah sudahnya? Mengapa perlu berdolak-dalik dengan pilihan yang telah dibuat? Setiap dolak-dalik, sangsi dan was-was akan hanya menyebabkan anda kehilangan hormat diri. Natijahnya anda akan gagal dan berada jauh dari kecemerlangan.

Keputusan Memerlukan Kesungguhan dan Keyakinan

                Sebagaimana memilih pasangan hidup, memilih kerjaya, apa juga keputusan yang perlu anda  buat sebenarnya menuntut kesungguhan, keyakinan dan kemantapan hati. Hanya dengan kesungguhan dan keyakinan anda akan berjaya, hanya dengan kemantapan hati anda akan dihormati.

                Maka hargailah pasangan anda. Yakinilah dia insan terbaik yang telah ditentukan buat anda. Binalah kecemerlangan melalui dia di sisi. Bantulah minda anda membina imaginasi yang adil, tenang dan bulai…

Artikel Rujukan:

Membina Hati Bahagia; penulis Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj

4 comments - What do you think?

Panduan Menjadi Fasilitator Berkesan

Fasilitator yang berkesan adalah seorang yang mempunyai peribadi yang mantap dan berwibawa dan mempunyai ciri-ciri yang membolehkannya diterima oleh kumpulan. Fasilitator adalah orang yang sangat menjadi perhatian dan tumpuan oleh para peserta di dalam sesuatu kursus atau bengkel. Akan tetapi ramai dikalangan kita yang masih kabur tentang fungsi dan peranan sebenar menjadi fasilitator program sehingga mengakibatkan sesuatu program itu menjadi hambar dan adakala objektif program tidak tercapai dengan sempurnanya. Berikut kami berikan beberapa panduan yang boleh dipraktikkan oleh individu yang menjadi fasilitator.

Fasilitator yang Mendengar Secara Aktif.

Fasilitator begini apabila dia menyoal dia akan tunggu jawapan dengan tekun. Antara ciri yang terserlah adalah kemahirannya menganalisis secara tepat terhadap peserta kumpulannya. Seorang fasilitator yang bijak mencari peluang secara spontan untuk mengeluarkan pandangan untuk difikirkan bersama di dalam kumpulan. Bukan itu sahaja, fasilitator tersebut akan membantu para peserta meningkatkan potensi dan keupayaan peserta dalam berfikir, berkomitmen dan bertindak.  Fasilitator begini dikategorikan oleh peserta sebagai fasilitator yang perihatin.

Fasilitator yang Suka Menambah Ilmunya.

Satu perkara yang dianggap hebat adalah berdasarkan tabiatnya yang suka mengumpul maklumat tidak kira samada ianya dalam bentuk ilmiah atau pengetahuan am. Seorang fasilitator adalah manusia yang sangat dahagakan ilmu. Dia suka membaca dan bertanya bagi mendapatkan maklumat dan suka berkongsi buah fikiran. Sikapnya yang suka berkongsi kemampuan dan haknya dengan orang lain menjadikan dia disenangi. Sebagai seorang yang banyak membaca dia mampu berbual dan berbincang dalam pelbagai tajuk dan perkara dengan para pesertanya.

Dalam mencari dan berkongsi ilmu dia tidak lokek. Dalam dirinya sudah tertanam niat yang baik, (“kalau boleh dia mahu menjadi penyampai maklumat yang banyak”). Mungkin kerana sikapnya yang beginilah dia mudah dihampiri dan mudah jadi mesra. Dia tidak malu memperkatakan, ” Maafkan saya, saya tidak tahu perkara ini. Boleh tak saudara terangkan pada saya?” Ketika mendengar sebarang penjelasan seorang fasilitator akan mendengar dengan tekun. Sudah tentu orang yang menjelaskan juga akan berkelakuan bersungguh-sungguh apabila melihat fasilitator berbuat demikian.

Fasilitator Berkebolehan Merancang dan Mengatur

Fasilitator yang bijak dapat menyampaikan pembelajaran tanpa memberitahu apa yang patut dibuat. Perkara ini akan berlaku apabila fasilitator tidak menguasai majlis dan berkecuali semasa kumpulan mencari jawapan dan kesimpulan. Kebolehan merancang dan mengatur yang terdapat pada seorang fasilitator akan sentiasa dilihat sebagai sifat keunggulannya. Dia mampu membuat kesimpulan daripada maklumat yang diberikan oleh kumpulan. Kecekapannya menganalisis dan mencerakin membolehkan dia memahami dan mentafsir maklumat dan menjelaskannya. Rumusan yang disusun dengan kata-kata yang kemas mudah difahami oleh pendengarnya.

Admin: Ikuti sambungan topik ini di posting yang akan datang.

2 comments - What do you think?

Menjadi Seorang Pekerja yang Efektif

Pekerja yang efektif memfokuskan pada kekuatan mereka dalam segala yang dilakukan. Mereka akan memastikan segala kebolehan mereka produktif. Kebanyakan pekerja tidak tahu apa yang mereka tidak dapat lakukan. Kadangkala mereka ini membuang terlampau banyak masa dan tenaga dengan bersungut berkenaan apa yang tidak dapat dilakukan.

Mengetahui had dan kemampuan diri

Pekerja yang efektif juga sedar terhadap had kemampuannya, tetapi beliau sentiasa mencari apa yang dapat dilakukan. Sementara yang lain masih merungut, pekerja yang efektif keluar dan bertindak. Akibatnya, ada antara had kemampuan asal tadi dapat diatasi.

Pekerja yang efektif akan mencari perkara-perkara ini dengan bertanya, ” Apa yang dapat saya lakukan? ” Mereka pasti sedar ada pelbagai perkara yang dapat dilakukan sehingga tidak cukup sumber dan asa bagi melakukan kesemuanya.

Menjadikan keselesaan itu tabiat dalam kerja.

Menjadikan kekuatan itu produktif juga penting dalam kebolehan dan tabiat kerja. Tidak begitu sukar bagi memastikan kita dapat menjadi produktif. Apabila terasa kita sudah faham waktu bila paling produktif kita bekerja, kita dengan sendirinya akan tahu bagaimana cara paling sesuai bekerja.

Semua ini mungkin dikatakan agak cetek tetapi sebenarnya tabiat kerja juga adalah sumber keberkesanan. Kebanyakannya sesuai bagi pelbagai jenis kerja. Pekerja yang efektif sedar akan perkara ini dan akan menggunakannya.

Melakukan kerja mengikut kecenderungan ilmu ataupun bakat

Pekerja yang efektif tidak akan cuba berlakon menjadi orang lain. Beliau akan bertanya, ” Apakah perkara-perkara yang mudah bagi saya, tetapi sukar bagi orang lain?” Ia mungkin menjadi seorang yang menulis laporan, membuat keputusan, rundingan, ataupun apa sahaja.

Ia bukan apa yang biasa orang fikirkan apabila bercakap berkenaan kekuatan. Biasanya apa yang dimaksudkan adalah ilmu ataupun bakat dalam sesuatu bidang. Namun, sifat dan tabiat juga memainkan peranan dalam pencapaian seseorang. Bagi menjadi efektif, kita perlu fokus pada apa yang kita mampu lakukan dan lakukannya dengan cara yang paling sesuai dengan diri kita.

Menjadikan kekuatan itu produktif adalah sikap, tetapi ia dapat diperbaiki dan dikembangkan dengan melatih diri. Jika kita mendisiplinkan diri bertanya, ” Apa yang dapat orang ini lakukan?” dan bukannya apa yang tidak dapat dilakukannya, kita perlu berubah sikap menjadi orang yang mencari dan menggunakan kekuatan orang lain dan lambat laun diri sendiri.

Sumber: EKSEKUTIF SMART Bekerja Dengan Lebih Efektif ditulis oleh PETER F. DRUCKER

Be the first to comment - What do you think?