-
Pilih Jodoh: Restu Ibu Bapa Beri KeyakinanJuly 5th, 2008 | 19 Komen
“Kita sangat perlu kepada redha atau restu ibu bapa dalam semua perkara termasuk dalam membina rumah tangga,” kata Ustaz Hj. Ahmad Shukri Yusoff, yang merupakan Ketua Unit Syariah dan Penerangan Khas, Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan.Menurutnya, redha ibu bapa amat penting kerana ia membekalkan kita keyakinan untuk melangkah ke alam perkahwinan. Dan untuk mendapat redha ibu bapa, kita perlu menjaga hati mereka.
“Bayangkan kalau kita melangkah ke alam perkahwinan tanpa doa, restu atau redha ibu bapa, maka di hati kecil kita tidak akan ada keyakinan untuk menempuh alam yang baru itu,” ujar beliau.
Beliau berkata, perkahwinan merupakan satu proses untuk menyempurnakan agama. Tetapi, soal beliau, “Adakah sempurna agama jika sesuatu perkahwinan itu tidak mendapat restu ibu bapa?”
Katanya, perkahwinan yang dibina atas dasar cinta semata-mata umumnya tidak akan kekal lama. “Kalau berkahwin semata-mata kerana cinta, cinta boleh luntur. Kalau disebabkan dorongan seksual, ia juga boleh berkurang. Kalau berkahwin kerana duit, ini juga mungkin satu hari tidak stabil. Begitu juga kalau sebab kecantikan, kecantikan akan pudar akhirnya. Sebab itu Nabi s.a.w. menekankan bahawa perkahwinan itu adalah untuk menyempurnakan agama. Tanda kita betul-betul beragama, kita berkahwin mengikut sunnah Nabi,” jelasnya dalam temubual di kediamannya di Bandar Baru Bangi.
Dalam soal ini, katanya, ibu bapa umumnya lebih tahu menilai kesesuaian calon menantu kerana mereka melihat dari banyak aspek.
Jika Tak DirestuiKesan yang jelas bagi perkahwinan yang tidak direstui ibu bapa adalah gagal mendapat keberkatan. Ustaz Ahmad Shukri Yusoff berkata, hilangnya keberkatan menyebabkan timbul masalah silih berganti dan timbul rasa tidak yakin dalam menghadapi masalah akibat tidak mendapat doa dan redha ibu bapa tadi.
“Kalau ada restu ibu bapa, apabila menghadapi sesuatu masalah, kita rasa yakin boleh menyelesaikannya walaupun masalah itu nampak berat,” ujarnya. Katanya, perkahwinan itu sesuatu yang membahagiakan tetapi tanpa redha ibu bapa maka lebih mudah berlaku huru-hara. Sebaliknya dengan keredhaan ibu bapa, perkahwinan terasa lebih menyeronokkan.
“Kita sering membaca kisah rumah tangga yang porak-peranda dan berlaku cerai-berai. Kalau dikaji, di hujungnya kita akan dapati perkahwinan itu dulunya tidak mendapat keredhaan ibu bapa. Ada yang disebabkan telah berlaku perkara tidak elok sebelum kahwin maka ibu bapa terpaksa setuju mereka berkahwin walaupun hati kecil mereka tidak meredhainya,” jelasnya.
Ustaz Ahmad Shukri mengajak kita merenung perkahwinan orang-orang dulu yang jodoh mereka betul-betul atas pilihan ibu bapa. “Kita tengok jangka hayat rumah tangga mereka lebih lama. Sekarang kahwin bermula dari cinta tapi peratus cerai tinggi. Hendak kata tak kenal, sudah kenal. Hendak kata tak cinta sudah cinta. Di situ sebenarnya peranan keredhaan ibu bapa. Keredhaan ibu bapa lebih kuat daripada cinta. Lafaz cinta tidak sekuat keredhaan ibu bapa,” ungkap Ustaz Ahmad Shukri.
(more…) -
Surah Al-Mulk banyak fadhilatJuly 3rd, 2008 | 1 Komen
AL-QURAN adalah kalam Allah yang bermukjizat dan zikir terbaik untuk diamalkan kerana ia adalah cahaya, petunjuk serta pedoman mutlak dalam memandu kehidupan seluruh umat manusia. Daripada 6,236 ayat di dalam 114 surah yang termaktub dalam kitab suci yang dijamin penjagaannya oleh Allah S.W.T. sehingga hari kiamat, terdapat beberapa surah pilihan yang sering menjadi amalan zikir umat Islam kini.Surah Al-Mulk (kerajaan) yang mengandungi 30 ayat dan merupakan surah ke-67 dalam juzuk 29 adalah antara surah-surah yang menjadi zikir pilihan harian kebanyakan mukmin. Diturunkan sesudah surah Ath-Thuur dan termasuk dalam kelompok surah-surah yang diturunkan di Mekah (Surah Makkiyah), Al-Mulk juga dinamakan dengan surah At-Tabaarak (Maha Suci). Surah ini juga agak pendek (30 ayat) tetapi padat dengan peringatan, iktibar dan nasihat melibatkan akidah. Maka ia lebih mudah dihafal untuk difahami dan dijadikan pedoman hidup. Malah Al-Mulk yang dijadikan zikir ini, jika dihayati dan difahami sebaik-baiknya ia adalah penyelamat akidah Mukmin dalam mengamalkan kehidupan harian yang penuh pancaroba sekarang.
Daripada surah ini kita dapat mengetahui dan memahami akan penegasan dan bukti-bukti tentang kekuasaan Allah S.W.T. yang mutlak ke atas setiap makhluknya. Kuasa menghidup dan mematikan adalah hak mutlak-Nya. Penciptaan langit dan bumi untuk manfaat manusia ada ganjaran dan balasan di dunia dan di akhirat. Malah pelbagai amaran, peringatan dan petanda turut diberikan pada manusia supaya membuat pilihan yang betul dan tepat semasa di dunia. Kita juga diingatkan bahawa tidak ada makhluk yang dapat menyelamatkan diri daripada hukuman dan ketentuan Allah S.W.T. Setiap kekufuran, kekafiran dan helah dalam menolak seruan Rasul tidak akan terlepas dari azab seksaan-Nya.
Besarnya syafaat, fadilat dan pengaruh yang terkandung dalam surah ini mendorong Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZMAIWP) menerbitkan buku khas yang membincangkan mengenai surah Al-Mulk. Diterbitkan secara eksklusif dengan judul ‘Surah Al-Mulk: Terjemahan dan Huraian’, buku ini diedar khas untuk pembayar zakat di PPZMAIWP. Melalui usaha Muhammad Ramzi Omar sebagai penyusun dibantu oleh Ahmad Shukri Yusoff selaku penyunting, buku setebal 98 muka surat ini diterbitkan melalui cetakan pertama tahun 2006.
Muhammad memulakan penyusunan buku ini dengan siri pengenalan mengenai fadilat surah Al-Mulk diikuti terjemahan mengikut urutan ayat demi ayat sehingga habis 30 ayat. Diikuti dengan kebesaran fadilat dan intipati kalam Allah dalam surah ini melalui perincian huraian ayat-ayat dari rujukan pelbagai kitab tafsir muktabar termasuk Tafsir Pimpinan al-Rahman, Al-Qurtubi, Ibnu Kathir, Muhammad Ali al-Sobuni, Abu al-Hassan Ali bin Ahmad al-Wahidi al-Naisaburi, Dr. Muhammad Sayyid Ahmad al-Musayyar, Dr. Abdul Hayie Abdul Sukor, Muhammad Taqiyyuddin Al-Mudarrisi, Sa’id Hawwa dan Harun Yahya.
Namun pokok isi surah Al-Mulk menjelaskan hidup dan mati adalah ujian bagi manusia. Allah menciptakan langit berlapis-lapis dan semua ciptaan-Nya mempunyai keseimbangan. Lalu Allah s.w.t. memerintahkan agar manusia memperhatikan isi alam semesta kerana azab yang diancam terhadap orang-orang kafir dan janji Allah kepada orang-orang mukmin adalah satu ketentuan yang pasti.Nama Buku: Surah Al-Mulk: Terjemahan & HuraianTerbitan: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.Edaran: Terbitan Eksklusif untuk pembayar zakat (percuma)
Penyusun: Muhammad Ramzi Omar.
Penyunting: Ahmad Shukri Yusoff.
Ketebalan: 95 muka surat.
















Perbincangan