Huraian Tafsir bagi surah An-Nahl ayat 67

Assalamualaikum wbt..

Sambungan huraian tafsir Al-Quran bagi Surah An-Nahl ayat 67 ini bersiaran di Radio KL fm dalam rancangan WAHYU, pada minggu ini, Isnin – Jumaat, pada jam 7:00 ptg, 19 – 23 Sept 2011 oleh Ustaz Ahmad Shukri..

 

Maksudnya:

Dan dari buah tamar (kurma) dan anggur kamu jadikan daripadanya minuman haram dan makanan serta minuman yang halal; sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang mahu menggunakan akalnya.

Ringkasannya:

Tsamaratun Nakhil adalah tamar. Sedangkan al-inab juga adalah anggur. Dalam ungkapan Al-quran ini dapat dilihat bahawa meskipun Allah menganugerahkan rezeki yang baik, namun Dia tidak memperkenankan mereka untuk menjadikan anggur sebagai minuman yang memabukkan. Ayat ini turun sebelum pengharaman khamar ( arak ).

Di dalamnya terkandung mukaddimah bagi pengharaman khamar yang mereka anggap baik saat itu dan memujinya. Para ulama berkata:” Orang yang membaca ayat ini dengan pemahaman yang mendalam akan mengetahui bahwa Allah memiliki hukum yang akan berkaitan dengan perilaku mabuk.

Kita boleh makan anggur itu jika tanpa diubah dan dicampurkan dengan sesuatu yang dibuat oleh manusia, tetapi jika kita merubah sifatnya ( anggur ) menjadi khamar yang memabukkan, maka ia adalah melakukan kerosakan bagi sifat rezeki yang baik kepada rezeki yang buruk.

Seolah-olah Allah swt memperingatkan hamba-hamba-Nya, “Aku tidak memberikan kepada kamu apa yang diharamkan dan Aku pun tidak pernah mengharamkannya,maka jadikanlah anggur ini sebagai buah yang segar dan nikmat, dan jangan jadikan ia sebagai minuman yang memabukkan. Ambillah iktibar darinya bahawa yang haram dan buruk itu terjadi daripada perbuatan manusia sendiri.

Seharusnya kita renungi : Mengapa Alalh tidak menyifatkan mabuk itu adalah baik? Bukankah ia menunjukkan bahawa Allah tidak suka dan tidak meredhainya?

Kesimpulannya ialah, dalam ayat ini telah ada niat pengharaman, dan apabila diputuskan Allah terhadap pengahraman khamar, maka inilah pendahuluannya.

Walalhua’lam.

Be the first to comment - What do you think?

Huraian Tafsir bagi surah An-Nahl ayat 66

Sambungan huraian tafsir Al-Quran bagi Surah An-Nahl ayat 66 ini bersiaran di Radio KL fm dalam rancangan WAHYU, pada minggu ini, Isnin – Jumaat, pada jam 7:00 ptg, 19 – 23 Sept 2011 oleh Ustaz Ahmad Shukri..

Maksudnya:

Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang  bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.

Ringksannya:

Wahai manusia! Sesungguhnya pada binatang ternakan terdapat pengajaran bagi kamu bagi membuktikan kebenaran, kekuasaan Allah swt, keindahan buatannya, dan keluasan kurniaan serta rahmat-Nya terhadap para hamba. Kami memberi minuman untuk kamu daripada apa yang terdapat di dalam perutnya iaitu susu yang bersih dari segala kekotoran benda asing yang mudah dicerna dan lazat diminum iaitu yang keluar di antara tahi dan darah.

Allah swt yang kekuasan-Nya sangat nyata itu memberikan makanan kepada haiwan yang berupa tumbuh-tumbuhan, daging dan sebagainya. Akhirnya apabila ia memamah makanannya, dengan izin Allah swt, makanan itu berubah menjadi saripati yang memberi manfaat kepada tubuh dan menjadi sisa lebihan yang keluar. Daripada sari pati ini terbentuklah darah yang mengalir ke dalam urat tubuh untuk hidup, dan sebahagian darah ini pun mengalir kepada kelenjar yang terdapat di dalam tetek lalu berubah menjadi susu. Seolah-olah peraturan Yang Maha Bijaksana ini menjadikan kelenjar tersebut sebagai kilang  yang mengubah darah menjadi susu. Demikianlah  di dalam tubuh terdapat banyak kelenjar lain, seperti kelenjar hingus, kelenjar air mata, dan kelenjar mani yang mengubah darah menjadi zat perkahwinan.

Setelah menerangkan susu yang dijadikan sebagai minuman yang mudah lagi lazat kepada manusia, selanjutnya Allah swt menerangkan minuman yang dibuat daribada buah tamar dan anggur.

Wallahua’alam.

Be the first to comment - What do you think?

Huraian Tafsir bagi surah An-Nahl ayat 65

Sambungan huraian tafsir Al-Quran bagi Surah An-Nahl ayat 65  ini bersiaran di Radio KL fm dalam rancangan WAHYU, pada minggu ini, Isnin – Jumaat, pada jam 7:00 ptg, 19 – 23 Sept 2011 oleh Ustaz Ahmad Shukri..

 

Maksudnya:

Dan Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Ia menghidupkan dengan air hujan itu akan bumi sesudah matinya; sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mendengar (peringatan ini dan memahaminya).

Ringkasannya:

Di dalam ayat ini Allah membawa kita kepada bukti yang kukuh atas kekuasaan yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun, iaitu turunnya hujan dari langit dan menghidupkan tanah yang mati dengannya. Seolah-olah Allah s.w.t berkata: ” Jika Aku berikan seperti ini kepada mereka dan Aku berikan bukti yang kukuh menunjukkan adanya peliharaan-Ku kepada mereka, maka percayalah Al-Quran yang Aku turunkan kepada kamu untuk memperbaiki keadaan kamu”

Turunnya hujan ini untuk membuktikan dan membuat percaya akan Al-Quran yang turun dalam bentuk maknawi. Dan Kami turunkan AL-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. kematian bumi juga bermaksud keadaannya yang gersang hingga tidak dapat ditumbuhi. Inilah puncak kebinasaan. Apabila tanah tidak subur, biasanya manusia akan melihat ke awan, memerhati mendungnya dan menantikan hujan turun agar dapat menghidupkan kembali tanah yang telah mati. Menghidupkannya dengan tanaman dan rumput setelah sebelumnya kering dan gersang. Jika kamu percaya Allah sebagai penurun air, tentu kamu percaya bahawa Allah sebagai penurun Al-Quran.

 

Be the first to comment - What do you think?

Huraian Tafsir Surah An-Nahl ayat 63 – 64

Huraian tafsir Al-Quran bagi Surah An-Nahl ayat 63 dan 64 ini bersiaran di Radio KL fm dalam rancangan WAHYU, pada minggu ini, Isnin – Jumaat, pada jam 7:00 ptg, 19 – 23 Sept 2011 oleh Ustaz Ahmad Shukri..

Maksudnya: Demi Allah! Sesungguhnya kami juga telah mengutus Rasul-rasul kepada umat-umat yang terdahulu daripadamu (wahai Muhammad), lalu Syaitan memperelokkan pada pandangan mereka yang ingkar akan amal-amal mereka yang jahat itu; maka dia lah menjadi pemimpin mereka pada hari ini; dan mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Ringkasan:

Demi Allah, sesungguhnya kami telah mengutus para Rasul sebelummu kepada umatnya dengan membawa risalah yang kamu bawa kepada umatmu iaitu menyeru mereka supaya mentauhidkan Allah SWT, melakukan ibadah dengan ikhlas hanya kepada-Nya sahaja dan menyingkirkan sekutu serta patung-patung. Kemudian syaitan membuatkan mereka memandang baik kekufuran dan penyembahan terhadap patung-patung yang mereka lakukan sehingga mereka mendustakan para rasul dan menolak apa yang mereka ( para rasul) bawa daripada Tuhan. Tidak ada yang menetapkan mereka daripada pilihannya itu selain daripada syaitan penolong yang paling buruk. Di akhirat kelak mereka akan menerima azab yang teramat pedih, sewaktu mereka datang mengadap tuhan, kerana pertolongan syaitan pada ketika itu tidak berguna untuk mereka, sebagaimana pertolongan itu tidak berguna untuk mereka di dunia.

Selanjutnya Allah swt menjelaskan bahawa Dia tidak akan mengazab sesiapa yang telah Dia azab kecuali setelah Dia menegakkan hujjah dan memberikan alasan:

Maksudnya: Dan tiadalah Kami menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) melainkan supaya engkau menerangkan kepada mereka akan apa yang mereka berselisihan padanya; dan supaya menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.

Ringkasan:

Kami tidak menurunkan kitab Kami kepadamu, tidak pula kami mengutusmu dengan membawanya kepada para hamba-Ku, kecuali kamu dapat menjelaskan kepada mereka apa yang mereka perselisihkan antara urusan yang berkaitan dengan agama Allah s.w.t. Sudah tentu mereka dapat membezakan antara yang benar dan yang batil, dan kamu menegakkan hujjah Allah s.w.t  terhadap mereka, iaitu hujah yang kamu diutus untuk membawanya. Kitab itu adalah petunjuk untuk hati yang sesat dan rahmat untuk orang yang beriman kepadanya. Seterusnya mereka membenarkan apa yang ada di dalamnya dengan mengakui perintah dan larangan Allahs.w.t yang terkandung di dalamnya, serta mengamalkannya.

Kesimpulannya,Al-Kitab ini merupakan hakim di antara manusia tentang apa yang mereka perselisihkan dan ia adalah petunjuk bagi mereka yang ingin menuju jalan yang lurus.

Be the first to comment - What do you think?