Panduan Menjadi Fasilitator Berkesan
Fasilitator yang berkesan adalah seorang yang mempunyai peribadi yang mantap dan berwibawa dan mempunyai ciri-ciri yang membolehkannya diterima oleh kumpulan. Fasilitator adalah orang yang sangat menjadi perhatian dan tumpuan oleh para peserta di dalam sesuatu kursus atau bengkel. Akan tetapi ramai dikalangan kita yang masih kabur tentang fungsi dan peranan sebenar menjadi fasilitator program sehingga mengakibatkan sesuatu program itu menjadi hambar dan adakala objektif program tidak tercapai dengan sempurnanya. Berikut kami berikan beberapa panduan yang boleh dipraktikkan oleh individu yang menjadi fasilitator.
Fasilitator yang Mendengar Secara Aktif.
Fasilitator begini apabila dia menyoal dia akan tunggu jawapan dengan tekun. Antara ciri yang terserlah adalah kemahirannya menganalisis secara tepat terhadap peserta kumpulannya. Seorang fasilitator yang bijak mencari peluang secara spontan untuk mengeluarkan pandangan untuk difikirkan bersama di dalam kumpulan. Bukan itu sahaja, fasilitator tersebut akan membantu para peserta meningkatkan potensi dan keupayaan peserta dalam berfikir, berkomitmen dan bertindak. Fasilitator begini dikategorikan oleh peserta sebagai fasilitator yang perihatin.

Fasilitator yang Suka Menambah Ilmunya.
Satu perkara yang dianggap hebat adalah berdasarkan tabiatnya yang suka mengumpul maklumat tidak kira samada ianya dalam bentuk ilmiah atau pengetahuan am. Seorang fasilitator adalah manusia yang sangat dahagakan ilmu. Dia suka membaca dan bertanya bagi mendapatkan maklumat dan suka berkongsi buah fikiran. Sikapnya yang suka berkongsi kemampuan dan haknya dengan orang lain menjadikan dia disenangi. Sebagai seorang yang banyak membaca dia mampu berbual dan berbincang dalam pelbagai tajuk dan perkara dengan para pesertanya.
Dalam mencari dan berkongsi ilmu dia tidak lokek. Dalam dirinya sudah tertanam niat yang baik, (“kalau boleh dia mahu menjadi penyampai maklumat yang banyak”). Mungkin kerana sikapnya yang beginilah dia mudah dihampiri dan mudah jadi mesra. Dia tidak malu memperkatakan, ” Maafkan saya, saya tidak tahu perkara ini. Boleh tak saudara terangkan pada saya?” Ketika mendengar sebarang penjelasan seorang fasilitator akan mendengar dengan tekun. Sudah tentu orang yang menjelaskan juga akan berkelakuan bersungguh-sungguh apabila melihat fasilitator berbuat demikian.
Fasilitator Berkebolehan Merancang dan Mengatur
Fasilitator yang bijak dapat menyampaikan pembelajaran tanpa memberitahu apa yang patut dibuat. Perkara ini akan berlaku apabila fasilitator tidak menguasai majlis dan berkecuali semasa kumpulan mencari jawapan dan kesimpulan. Kebolehan merancang dan mengatur yang terdapat pada seorang fasilitator akan sentiasa dilihat sebagai sifat keunggulannya. Dia mampu membuat kesimpulan daripada maklumat yang diberikan oleh kumpulan. Kecekapannya menganalisis dan mencerakin membolehkan dia memahami dan mentafsir maklumat dan menjelaskannya. Rumusan yang disusun dengan kata-kata yang kemas mudah difahami oleh pendengarnya.
Admin: Ikuti sambungan topik ini di posting yang akan datang.

