Profil Perunding Utama

Pengenalan Diri Beliau

Ahmad Shukri Yusoff dilahirkan pada 24 Mac 1969 di Kampung Gelugor Kedai, Kuala Terengganu. Beliau merupakan putera keempat daripada 5 orang adik-beradik. Telah mendirikan rumah tangga  dan dikurniakan dengan 5 orang cahayamata.

Pendidikan Awal

Pendidikan awal beliau bermula di Sek. Keb. Gelugor. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran peringkat menengah di SMKA Tok Jiring Kuala Terengganu, seterusnya melanjutkan pengajian di peringkat Thanawi di SMA Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk Terengganu yang merupakan antara sekolah agama tertua dan terbaik di negeri Terengganu.

Pendidikan Tinggi

Berkelulusan Diploma Bahasa Dan Kesusasteraan Arab di Kolej Agama Sultan Zainal Abidin ( KUSZA ) dan menerima Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang Pengajian Islam & Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, Kaherah Mesir.

Pengalaman Kerja

Pernah bertugas sebagai Ketua Syariah dan Penerangan Khas Di Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan selama 12 tahun . Kini beliau merupakan Pengarah Urusan Fitrah Power Resources dan pengasas Athira Perfume di samping menjadi duta umrah Vreka Travel & Tours Sdn Bhd.

Selain daripada itu, beliau juga terlibat dengan aktiviti dakwah melalui ceramah dan forum di seluruh negara termasuk negara Singapura dan Brunei Darussalam.

Sejak tahun 1998 lagi, beliau telah muncul dalam lebih seribu program di televisyen dan radio. Bermula 2002 hingga kini beliau adalah penceramah tafsir Al-Quran dalam rancangan “Wahyu”, Radio Malaysia KLFM. Kini beliau adalah pengacara tetap program “Halaqah” dan tetamu undangan dalam rancangan “Tanyalah Ustaz” di TV9.