Fitrah Anak-anak Cenderung Mewarisi Peribadi Bapa

Assalamualaikum w.b.t
Allah berfirman di dalam Al-Quran surah Al-Kahfi ayat 82:

Maksudnya: “…dan di bawah (tembok) itu ada simpanan dari harta kekayaan kedua anak yatim iu, seorang bapa mereka dahulu adalah seorang yang soleh…”
Dan firman Allah dalam surah Maryam ayat 28:

Maksudnya: ” Wahai saudara perempuan Harun, bapamu dahulu bukanlah orang yang berakhlak buruk…”
Huraian
Ayat pertama menceritakan tentang kisah nabi Khidir yang memperbaiki pagar tmbok yang hampir roboh milik dua anak yatim di suatu desa di Palestin ketika beliau merantau bersama Musa A.S. Di bawah pagar tembok anak yatim ini terdapat kekayaan terpendam. Nabi Khidir mengetahui hal ini dari wahyu yang Allah berikan kepadanya. kerana itu, pagar tembok yang hampir roboh ini diperbaiki oleh nabi Khidir. Kemudian Nabi Musa meminta Nabi Khidir supaya meminta upah dari pemilik pagar tembok tersebut, tetapi nabi Khidir enggan dan memberitahu bahawa bapa pemilik itu dahulunya adalah seorang yang soleh.
Mengapa bapa?
Disebutkan bapa pada sebahagian besar ayat-ayat Al-Quran yang membicarakan masalah ibu bapa yang harus memberikan tumpuan kepada perasaan yang terpendam dalam diri anak-anak. Allah menyatakan masalah ini dengan lebih menyebutkan bapa sehingga istilah ibubapa itu lebih cenderung bermaksud bapa.
Al-Quran menyebutkan bapa lebih menonjol daripada ibu dalam sebahagian besar ayat-ayat yang berkenaan keluarga bukan semata-mata mengikuti langgam bahasa Arab, tetapi kerana fitrah anak-anak itu cenderung membanggakan bapanya berbanding ibunya. Antara beberapa alasan yang logik di sini seperti:
a) Anak dilahirkan dengan benih daripada lelaki
b) Bapa lebih besar kewibawaannya daripada ibu.
c) Tanggungjawab bapa lebih besar dalam usaha memenuhi keperluan keluarganya.
d) Allah menetapkan lelaki adalah sebagai pemimpin dan pembimbing keluarga.
Jelaslah di sini peranan seorang lelaki itu besar, justeru mental anak-anak akan lebih dominan mengakui kehebatan dan kepentingan bapanya berbanding ibunya. Apabila bapa memberikan contoh yang baik, maka secara automatiknya anak akan lebih cenderung mengikutnya dan sekaligus membantu kepada pertumbuhan keperibadian anak yang positif. Namun apabila bapa tidak memberikan contoh yang baik kepada anak-anaknya, maka di situ akan terjadilah kekecewaan dan kehampaan anak itu terhadap bapanya lalu mengakibatkan gangguan kepada mental anak-anak tersebut. Apabila berlaku gangguan mental ini, anak-anak akan mencetuskan masalah seperti memberontak dengan melakukan perbuatan-perbuatan tertentu untuk menunjukkan tanda protesnya kepada ibu bapa. Di sini bapa haruslah memuhasabah diri dan membetulkan kembali kesilapannya untuk mengelakkan gangguan yang berterusan kepada mental anak-anak. Sebagai contohnya seorang anak yang mempunyi bapa yang suka merompak dan mencuri,anak pastinya merasa malu dengan rakan-rakannya. Perkara yang dilakukan oleh bapanya itu bukan sahaja merosakkan martabat bapa tetapi rasa kebanggaan anak terhadap orang tuanya. Ibu bapa hendaklah mengerti bahawa fitrah anak itu membaggakan bapanya, dan dengan fitrah inilah yang mampu membantu orang tua untuk memberikan bimbingan, arahan dan dorongan kepada anak-anaknya demi mencapai cita-cita yang diinginkan oleh orang tua mereka.
Memahami fitrah anak mungkin boleh diperoleh melalui pengalaman dan penelitian. Namun dengan memahami ayat-ayat yang telah tertulis di dalam Al-Quran akan lebih memantapkan keyakinan tentang fitrah anak kerana firan Allah itu pasti berbanding dengan pengalaman dan penelitian kerana ianya samar-samar dan ragu-ragu. Binalah emosi anak-anak dengan baik dan positif, jangan calarinya dengan peribadi kita yang masih belum bersih dan masih kotor. Berusahalah memperbaiki peribadi dan sikap kita ke arah membina generasi pewaris kita yang cemerlang dan berjasa.

