Membentuk Anak Yang Hebat
Setiap permata hati yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita adalah unik dan mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Kadang-kadang permulaan sewaktu dari kecil sudah nampak keunikan kepada anak-anak kita tetapi ada juga sebahagiannya kehebatan anak-anak belum terserlah ketika di usia kecilnya. Ibu bapa perlu peka untuk dan sensitif dalam memerhatikan anak-anak.

Sedar Keistimewaan Anak-Anak
Sebahagian ibu bapa sering kecewa apabila melihat anak orang lain lebih hebat berbanding anaknya. Perbandingan telah menyebabkan ingin anak mereka menjadi sebagaimana anak orang lain di mata mereka. Sebenarnya situasi ini tanpa disedari, ibu bapa telah membentuk anak mereka tidak mengikut acuan dan potensi sebenar anak mereka. Ibu hanya ingin anak-anak mereka menjadi hebat mengikut acuan daripada kehebatan orang lain sedangkan hakikatnya anak mereka tidak mampu mencapai tahap yang diingikan oleh ibu bapa mereka.
Bentuk Anak Mengikut Potensi
Perlu diingtkan bahawa sebagai ibu bapa, kita perlu memerhatikan di mana kelebihan dan keunikan yang dimiliki oleh anak kita, kerana pengharapan ibu bapa yang bertentangan dengan kehendak anak-anak akan menjejaskan potensi sebenar yang dimiliki oleh mereka. Mungkin anak kita bukan seorang ahli sukan, maka jangan sekali-kali kita ibu bapa berkecil hati dan terus berharap untuk menjadikan mereka seorang ahli sukan. Potensi anak-anak sebenarnya telah diberikan oleh Allah SWT. Cuma terpulang pada kebijaksanaan ibu bapa untuk menggilap atau membiarkan potensi anak-anak malap begitu sahaja.
Jadilah Mentor Yang Bermotivasi
Sebagai pembimbing dan mentor kepada anak-anak, ibu bapa perlu memberikan galakan dan dorongan semaksimum mungkin kepada anak-anak untuk mencapai kecemerlangan melalui usaha yang gigih di samping memberikan tunjuk ajar dan strategi yang tepat agar setiap usaha dan bakat yang dimiliki oleh anak-anak akan membuahkan hasil. Apa yang lebih penting, sekiranya anak-anak diasuh mengikut keistimewaan dan keunikan yang dimilikinya maka sudah tentu anak-anak bukan sahaja berjaya bahkan mampu mengeluarkan potensi di tahap paling maksimum.
Anak Sebagai Pembantu
“Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: anak-anak dan cucu cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda-benda yang baik lagi halal, patutkah mereka (yang engkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala) dan mereka kufur pula akan nikmat Allah.”
[An-Nahl :72]
Di antara nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia, ialah memberikan pasangan hidup untuk berkasih sayang dan membina hubungan yang dirahmati. Hubungan perkahwinan yang dirahmati Allah SWT sudah tentu akan dikurniakan pelbagai rezeki. Dalam ayat di atas Allah SWT menyebut bahawa anak adalah sebahagian rezeki yang dikurniakan oleh Allah sebagai tanda hubungan
perkahwinan yang dirahmati oleh Allah. Allah SWT meletakkan di dalam ayat ini juga tentang peranan sebagai seorang anak lelaki dalam membantu dan meringankan beban di dalam keluarga.
Anak lelaki telah disebut sebagai ‘hafdah’ menggambarkan bahawa antara tugas penting yang perlu dilaksanakan oleh anak lelaki ialah memberikan bantuan dalam urusan-urusan untuk meringankan beban keluarga. Dalam tafsir Ibn Kathir, dalam satu hadis daripada Nadrah ibn Aktsam memberikan perumpamaan bahawa peranan anak lelaki adalah diibaratkan seperti hamba.
Tugas sebagai anak lelaki bukan hanya sekadar menjaga kedua ibu bapa, bahkan keselamatan, kesihatan dan ekonomi keluarga juga perlu disandarkan kepadanya sebagai membantu tugas seorang bapa. Allah SWT Yang Maha Adil meletakkan tanggungjawab ini kepada lelaki sebagai satu pengiktirafan bahawa lelaki perlu memimpin dengan baik lebih-lebih lagi dalam konteks memimpin keluarga. Pengiktirafan ini disebut oleh Allah SWT di dalam surah an-Nisa’ayat 34:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”
Masalah yang sering berlaku dalam masyarakat kita, mereka sering mempersoalkan tentang anak yang mereka terima. Mungkin dalam suatu keluarga yang mempunyai anak perempuan yang ramai akan mempersoalkan kenapa mereka tidak dianugerahkan anak lelaki, dan seandainya keluarga mereka hanya dikurniakan anak lelaki, mereka akan mempersoalkan mengapa mereka tidak dikurniakan
anak perempuan? Kita sebagai hamba Allah perlu menyedari bahawa kurniaan anak adalah rezeki kepada kita tanpa melihat jantina mereka. Kita mulai lupa bahawa nilai syukur kita terhadap Allah yang telah memberikan pembantu yang setia dalam melalui kehidupan ini iaitu anak.

