Posts tagged "kisah rasul"

Berani Mengaku Kesalahan Diri

Assalamualaikum wbt. Salam Fitrah untuk semua.

Dari Imran bin Husain r.a. katanya: “Seorang perempuan dari suku Juhainah datang menghadap kepada Nabi saw. padahal dia sedang hamil akibat melakukan zina. Lalu katanya, “Ya, Nabiyallah! Aku telah melanggar hukum; maka tegakkanlah hukum itu atas diriku!” Kerana itu Rasulullah saw memanggil wali perempuan itu, lalu beliau bersabda kepadanya, “Rawatlah perempuan ini sebaik-baiknya. Apabila dia telah melahirkan, bawalah dia ke hadapanku!” Perintah Nabi saw. Itu dijalankan oleh walinya sesuai dengan yang diperintahkan beliau. Setelah perempuan itu melahirkan, maka dia dihadapkan kepada Rasulullah saw. Lalu dikenakan pakaiannya dengan erat. Kemudian Nabi saw. memerintahkan supaya dia dihukum rajam, lalu ia dirajam. Setelah dia tewas, Nabi saw. melakukan solat jenazah baginya. Maka bertanya ‘Umar kepada beliau, “Perlukah dia disolatkan, ya Nabiyallah? Bukankah dia berzina?” Jawab beliau, “Dia telah taubat sebenar-benarnya taubat. Andaikata taubatnya itu dibagi kepada tujuh puluh orang penduduk Madinah, pasti cukup bagi mereka. Manakah lagi taubat yang lebih utama daripada menyerahkan nyawa kepada Allah Ta’ala secara ikhlas?” [HR Muslim]

Berdasarkan hadis ini pengajaran yang paling penting ialah kita berani mengaku kesalahan yang kita lakukan walaupun mungkin impak buruk dari pengakuan itu mungkin akan memakan diri kita dan menerima penghinaan di sisi manusia. Kita sebagai manusia sememangnya tidak lepas dari kesalahan dan kelalaian. Namun mengapa kita tidak mampu mengaku kesalahan kita?

Pengajaran dari hadis ini juga bahawa Allah SWT telah menurunkan agama yang sangat menyayangi umatnya kerana perbuatan zina yang buruk di sisi agama tetap mendapat tempat yang tinggi di akhirat sekiranya dia benar-benar bertaubat dan menyesal di atas apa yang telah lakukannya.
Dan agama Islam tidak mendiskriminasikan mereka yang melakukan kesalahan dan dosa asalkan mereka bertaubat. Rasulullah s.a.w dan para sahabat tetap menyembahyangkan jenazah perempuan dari suku Juhainah yang melakukan zina ini.

Be the first to comment - What do you think?

Zainab Isteri Rasulullah Paling Banyak Sedekahnya

Zainab binti Jahsy adalah seorang wanita yang cantik jelita dari kaum bangsawan yang terhormat. Dipandang dari ayahnya, Zainab adalah wanita keturunan suku Faras yang berdarah bangsawan tinggi. Ia dinikahkan oleh Rasulullah s.a.w dengan anak angkat kesayangannya iaitu Zaid bin Haritsah. Tetapi jodoh pertemuan mereka berdua tidak kekal lama, kerana akhirnya mereka berpisah.Kemudian Allah SWT telah memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w untuk mengahwini Zainab.

“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: “Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah”, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.”
[Surah Al-Ahzab: 37]

Imam Bukhari meriwayatkan dari Anas, Zainab sering berkata, “Aku berbeza dari isteri-isteri Rasulullah S.A.W yang lainnya. Mereka dikawinkan oleh ayahnya, atau saudaranya, atau keluarganya, tetapi aku dikawinkan Allah dari langit.”

Zainab adalah seorang wanita berhati lembut dan penuh kasih sayang, suka menolong fakir miskin dan kaum lemah. Dia senang sekali memberi sedekah, terutama kepada anak yatim. Rasulullah pernah bersabda kepada isterinya, “Yang paling dahulu menyusulku kelak adalah yang paling murah tangannya.” Maka berlumba-lumbalah isteri baginda dalam memberikan sedekah kepada fakir miskin. Namun tak ada yang mampu mengalahkan Zainab dalam memberikan sedekah.

Dari Aisyah r.a berkata, “Zainab binti Jahsy adalah seorang dari isteri-isteri Nabi yang aku muliakan. Allah S.W.T menjaganya dengan ketaqwaan dan saya belum pernah melihat wanita yang lebih baik dan lebih banyak sedekahnya dan selalu menyambung silaturahim dan selalu  mendekatkan dirinya kepada Allah selain Zainab.”

Zainab mempunyai bakat dalam menyamak kulit, memintal serta menenun kain sutra, hasil inilah yang dijual dan disedekahkan. Hal itulah yang menyebabkan wanita cantik isteri Rasulullah ini bersedekah lebih banyak dari yang lainnya. Setelah Rasulullah wafat, Zainab terus aktif dengan
usahanya, terus bersedekah kepada fakir miskin. Ketika ia mendapat bagian harta dari Baitul Mal semasa pemerintahan khalifah Umar r.a dia berdoa, “Ya Allah janganlah harta ini menjadi penyebab fitnah.”Maka segera ia membahagikan harta itu kepada anak-anak yatim dan fakir miskin. Mendengar kata-kata itu Umar r.a mengirim lagi, tetapi Zainab tetap membahagikannya kepada anak yatim dan fakir miskin. Wanita pemurah itu wafat pada tahun 44H pada masa pemerintahan Khalifah Muawiyah.

2 comments - What do you think?