Hari Kemenangan Yang Bermakna
-

Assalamualaikum kepada semua Sahabat Fitrah. Terima kasih kerana sentiasa memberi sokongan di laman ini.
Dari Abu Sa’id Al Khudri r.a, katanya: “Rasulullah s.a.w. pergi ke tempat solat pada hari raya Idul Fitri dan hari raya Idul Adha. Mula-mula beliau solat hari raya. Sesudah solat beliau menghadap kepada orang ramai dan mereka masih duduk dalam saf masing-masing. Nabi berkhutbah memberikan pengajaran dan pimpinan, serta memberikan perintah-perintah kepada mereka. Jika Nabi hendak mengirim pasukan tentara, maka dibentuknya lah ketika itu, dan kalau Nabi hendak memberikan perintah, diperintahkannya lah ketika itu. Sesudah itu barulah baginda pergi.”
[HR Bukhari]Alhamdulillah kita telah memasuki fasa terakhir Ramadan, fasa yang Allah SWT janjikan pelepasan api neraka kepada mereka yang beriman. Selepas itu kita akan menyambut hari raya Aidilfitri. Maka apabila kita menyambut hari yang kemenangan ini kita akan bersama-sama ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Apa yang diamalkan oleh kita pada hari ini, inilah juga yang telah diajarkan oleh baginda s.a.w kepada kita. Kemeriahan hari raya bukan hanya terletak kepada kemeriahan menziarahi antara satu sama lain. Tetapi Islam mengangkat kemuliaan hari ini dengan kita mendapat suatu santapan rohani sebagai satu peringatan dan kemenangan di hari ini. Inilah konsep hari kemenangan yang ingin diterapkan oleh Rasulullah s.a.w. Aidilfitri yang menjadi lambang kemenangan kepada orang-orang yang berpuasa bukan hanya diisi dengan aneka juadah hari raya, bukan juga dihiasi
dengan pelbagai hiasan hari raya tanpa kita mendapat momentum rohani sebagai panduan untuk kita menyambut kemeriahan ini dengan rasa syukur kepada Allah SWT.Rasulullah juga mengajarkan kita dua perkara yang amat penting pada hari mulia ini, iaitu menghubungkan silaturahim dan bersedekah. Mudah-mudahan Aidilfitri ini tidak akan melupakan kita pada mereka yang kurang upaya dan kurang mampu untuk menyambut hari raya. Jalinkahlah
silaturahim dengan menziarahi sanak saudara dan sahabat handai mudah-mudahan pertemuan di hari ini akan lebih akrab kerana masing-masing sudah tentu akan menghulurkan kemaafan di atas segala salah dan silap.Di kesempatan ini saya juga memohon kemaafan dari Sahabat Fitrah di atas kesalahan dan kekurangan yang mungkin berlaku. Maaf zahir dan batin. Saya bersyukur kerana diberikan ruang ini untuk sama-sama kita mengingati antara satu sama lain. Kepada sahabat-sahabat yang pulang ke kampung, berhati-hati ketika memandu. Salam Aidilfitri dari saya dan krew Fitrah Power Resources untuk semua Sahabat Fitrah.
Ahmad Shukri Yusoff
www.fitrahpower.com




September 27th, 2008 at 10:24 pm
Di hari yang penuh keberkatan ini saya dengan rendah diri ingin menyusun sepuluh jari memohon maaf sekiranya terdapat salah silap dalam tempoh perkenalan dengan Ustaz. Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada ALLAH S.W.T dengan memperbanyakkan lagi amal ibadah kita di jari-hari terakhir Ramadhan 1429H ini, semoga amalam puasa kita akan diterima ALLAH S.W.T INSYAALLAH.