Tazkirah - Sebutlah ‘Insya Allah’

August 7, 2008 – 9:53 am

Assalamualaikum w.b.t

Salam Fitrah buat semua Sahabat Fitrah dan pengunjung laman ini. Semoga Allah sentiasa memberkati
kita semua.

Melafazkan janji atau merancang sesuatu pekerjaan untuk hari esok adalah perkara yang mudah
untuk dituturkan. Bahkan kebiasaan inilah yang telah menjadi sebati dengan kehidupan kita, tanpa
kita menyedari hakikat hari esok adakah masih diberikan rahmat oleh Allah SWT untuk meneruskan
kehidupan. Apa yang anda selalu jawab apabila rakan anda mempelawa anda menghadiri majlis
keramaian di rumah mereka? Atau apakah yang selalu anda katakan kepada boss anda apabila
diminta menyiapkan kerja-kerja tertentu pada esok hari?

Kebanyakan di antara kita hanya menyebut perkataan ‘OK’ sebagai satu lafaz perjanjian bahawa
kerja tersebut bakal disiapkan, atau jemputan tersebut akan dihadiri? Adakah kita yakin bahawa
esok masih menjadi milik kita?

Sebab itu Allah SWT menganjurkan kita cara yang terbaik dalam segala aspek kehidupan manusia.
Firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 23-24:

“Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu: “Sesungguhnya aku akan mengerjakan
itu esok pagi, kecuali (dengan menyebut): “Insya-Allah”. Dan ingatlah kepada Tuhanmu jika
kamu lupa dan katakanlah: “Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih
dekat kebenarannya daripada ini”.

Lafaz ‘Insya Allah’ menjadi saksi penting bahawa kita meletakkan bahawa setiap apa yang bakal
berlaku pada hari esok adalah milik dan sesuatu yang ditentukan oleh Allah SWT. Andainya kita
terlupa atau ditimpa musibah yang boleh menghalang kita dari melakukannya, Allah SWT tidak akan
meletakkan kita antara mereka yang sengaja ingin memungkiri janji.

Post a Comment