Yakin dengan Pasangan Anda!

Memang kita sukar meramalkan apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Lalu tatkala berada di persimpangan untuk memilih sesuatu yang terbaik, kita sering memejamkan mata dan meneruskan langkah, dengan menaruh harapan itulah yang terbaik buat kita.

Apakah tindakan kita itu betul?

Jangan Was-was

Sama ada ia terbaik atau sebaliknya, sekali kita telah mengambil keputusan dan berjalan di atasnya, kita memang tidak boleh berpatah balik. Sekali kita melangkah untuk mencapai matlamat kita, kita memang tidak harus berasa was-was lagi. Mengapa harus berpatah balik jika itulah langkah yang telah kita yakini paling tepat untuk kita? Masa hadapan tiada siapa tahu, apa yang dilakukan hari ini adalah mukaddimah kepada satu kejayaan ataupun satu kegagalan di hari muka. Pokoknya, kita harus melangkah.

Sebagai seorang manusia yang cintakan kecemerlangan kita perlu meneruskan usaha. Sama ada kita yakini keputusan yang kita buat itu terbaik atau sebaliknya, langkah perlu terus diorak. Jadi, mengapa harus was-was dengan pilihan yang dibuat?

Mengapa Berasa Sangsi?

                Jika anda telah mengambil seseorang untuk dijadikan pasangan hidup, setelah anda membuat pilihan dan merasmikan pilihan anda melalui ijab dan kabul, anda tidak boleh berpatah balik. Mengapa mesti berpatah balik? Mengapa mesti menoleh-noleh dan berasa sangsi dengan pilihan anda itu? Mengapa  tidak teruskan sahaja dan mendapatkankecemerlangan di situ?

                Demikian juga jika anda seorang wanita yang telah memilih seorang lelaki untuk bernama suami. Mengapa setelah membuat keputusan dan menerimanya sebagai seorang suami anda masih berdolak-dalik dengan menyatakan anda telah tersalah pilih? Mengapa harus sangsi, mengapa harus mempertikaikan keputusan yang telah dibuat?

Rasa Sangsi Permainan Syaitan

       Rasa sangsi atau was-was apakah pilihan anda itu terbaik atau tidak akan hanya menyebabkan hati anda dipermainkan-mainkan oleh syaitan. Syaitan memang mencari peluang menusuk jarum hasutannya supaya rumah-rumah anda goyah kerana anda tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pasangan hidup anda itu. Kebahagian 100% yang sepatutnya  anda nikmati tidak dapat anda kecapi sebab ada sangsi, was-was dan merasakan ada pilihan yang lebih baik di luar sana daripada pilihan yang telah di buat.

                Mengapa perlu begitu? Mengapa tidak anda mantapkan hati dan terus membina kecemerlangan hidup rumah tangga  bersama si dia yang telah anda pilih dan merelakan diri untuk bergelar suami atau isteri melalui lafaz ijab dan kabul.

Yakini Pasangan Anda Adalah Yang Terbaik

                Yakinilah pasangan anda itu adalah yang terbaik buat anda dan tiada orang lain yang lebih baik daripadanya. Tumpukan sepenuh perhatian terhadapnya dan berikan kasih sayang sepenuhnya kepada dia. Jika pasangan anda juga demikian, tidakkah kecemerlangan dan kebahagiaan adalah jawapan kepada kehidupan anda nanti?

                Malangnya, kalau kita jengok-jengok sejenak keadaan di sekeliling kita, kita akan melihat, mendengar atau terjebak dengan situasi kalut, di mana seorang isteri menyangka ada ramai lagi lelaki di luar sana yang lebih baik daripada suaminya. Atau menyangka ramai lagi lelaki yang masih tertarik kepadanya. Kalaulah dia memilih si anu si anu, alangkah baiknya. Demikian juga seorang suami yang merasakan dia telah membuat pilihan yang salah kerana masih ramai wanita yang sedia memberikan layanan yang lebih baik daripada yang diterimanya kini. Mengapa begitu? Sampai bila hendak berasa rumput di seberang sungai lebih hijau dan subur daripada yang dihadapan mata? Sampai bila hendak mengangan-angankan sesuatu yang di luar jangkauan, sedangkan yang pasti sudah sedia disisi? Alangkah baiknya menganggap pilihan yang asal itulah yang terbaik dan membina  kecemerlangan di situ?

                Demikian juga dalam apa jua hal dan keadaan. Dalam bidang pekerjaan misalnya, setelah anda memohon sesuatu jawatan dan mendapat jawatan itu, mengapa masih ada rasa sangsi, was-was dan tidak bekenan? Bukankah itu akan hanya menyebabkan anda malas, lemah, tiada motivasi diri dan lemban untuk melakukan sesuatu pekerjaan itu?

                Lalu, jawapannya apa? Anda tidak akan muncul sebagai seorang yang cemerlang. Orang lain semakin mahir anda masih tertolak-tolak untuk membuat sesuatu. Orang lain sudah mendapat pangkat dan gaji yang lumayan, anda masih di takuk yang lama. Masih berwas-was, masih berkalau-kalau, masih tidak percaya pilihan anda itu yang terbaik. Justeru, di manakah sudahnya? Mengapa perlu berdolak-dalik dengan pilihan yang telah dibuat? Setiap dolak-dalik, sangsi dan was-was akan hanya menyebabkan anda kehilangan hormat diri. Natijahnya anda akan gagal dan berada jauh dari kecemerlangan.

Keputusan Memerlukan Kesungguhan dan Keyakinan

                Sebagaimana memilih pasangan hidup, memilih kerjaya, apa juga keputusan yang perlu anda  buat sebenarnya menuntut kesungguhan, keyakinan dan kemantapan hati. Hanya dengan kesungguhan dan keyakinan anda akan berjaya, hanya dengan kemantapan hati anda akan dihormati.

                Maka hargailah pasangan anda. Yakinilah dia insan terbaik yang telah ditentukan buat anda. Binalah kecemerlangan melalui dia di sisi. Bantulah minda anda membina imaginasi yang adil, tenang dan bulai…

Artikel Rujukan:

Membina Hati Bahagia; penulis Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj